Kali terakhir pelakon Malaysia Deanna Yusoff terlibat dalam projek lakonan adalah pada 2017 dalam filem seram, Aku Haus Darahmu, memainkan watak Cempaka Sulastri dan bergandingan dengan Nad Zainal dan Sweet Qismina.
Ditanya jika beliau terbuka untuk kembali berlakon, Deanna berkongsi bahawa beliau terbuka untuk menerima tawaran namun watak itu perlulah menarik dan memainkan peranan penting.
“Saya mendapat satu tawaran selepas tamat perintah kawalan pergerakan Covid-19 namun saya tidak boleh menerimanya kerana sedang sibuk dengan peperiksaan akhir bagi diploma saya ketika itu.
“Baru-baru ini saya menerima tawaran untuk karya seram tetapi saya menolaknya kerana saya telah membintangi beberapa filem seram dan inginkan kelainan,” ujar Deanna yang memahami watak yang ditawarkan kepadanya mungkin terhad disebabkan usianya.
Mengimbas kembali lakonan pertamanya dalam filem Selubung, Deanna berkata beliau dipelawa bagi sesi uji bakat filem tersebut selepas baru pulang ke Malaysia daripada melakukan satu pementasan teater di Switzerland.
Antara watak yang meninggalkan kesan kepadanya termasuk watak Mastura dalam filem Chermin.
Ia membuatnya cuba memahami keputusan yang dibuat watak itu dengan suaminya menikahi wanita lain dan hubungannya dengan cermin tersebut.
“Ia bukan watak ‘hantu’ semata-mata. Saya dapat memahami mengapa watak Mastura itu rapat dengan cermin tersebut. Kadangkala dalam kehidupan, seseorang boleh membuat keputusan disebabkan kematian, rasa sakit yang dialami atau dikhianati oleh individu yang dekat dengan mereka,” ceritanya.
Deanna turut berkongsi pementasan Wangi Jadi Saksi di Singapura pada 2007 arahan U-Wei Haji Saari yang merupakan antara cabaran lakonan yang berat buatnya namun merupakan pengalaman yang menarik.
“Pementasan itu menggunakan bahasa Melayu lama dan bahasa Melayu saya bukanlah hebat sangat. Ia amat mencabar bagi saya tetapi saya seronok bekerjasama dengan U-Wei dan para pelakon lain,” kongsi Deanna.
Beliau juga tidak dapat melupakan membawa watak Khatijah dalam filem Singapura, 1965, kerana dapat mengimbas kembali apa yang dikongsikan arwah neneknya.
“Jalan cerita itu berlaku semasa era arwah nenek saya alami ketegangan antara kaum di Malaya ketika itu. Saya sendiri pernah mengalaminya ketika membesar sebagai seorang berbangsa Serani di Malaysia,” ujarnya.
Ditanya bagaimana beliau sering terlibat dengan penerbitan di Singapura, Deanna berkata beliau memulakan kerjaya sebagai peragawati semasa di Singapura pada usia 21 tahun.
Selain filem 1965, antara karya tempatan lain yang beliau berlakon termasuk filem Army Daze, drama Cemas, Stories of Love: The Anthology, Random Acts dan What Do Men Want.
“Saya mempunyai beberapa kenalan di Singapura dan mereka sering memberi saya tawaran berlakon, mengacara dan juga menyanyi.
“Bagi filem 1965, penerbitnya, Daniel Yun, berkata kepada rakan karib saya yang merupakan seorang jurukamera bahawa beliau mahukan saya membawa watak wanita Melayu tersebut,” kongsinya. – HAKIM NORMAN HASSAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg