Pelakon filem era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68 tahun, mendedahkan antara faktor kehidupannya menjadi lebih sukar adalah apabila terbatal perjanjian dengan sebuah stesen televisyen (TV) Malaysia untuk membeli program berunsur keagamaan terbitannya beberapa tahun lalu.
Dharma mendakwa selepas ditayangkan pada 2022, stesen TV terbabit membuat perjanjian untuk membeli dan mendapatkan hak milik program terbitannya itu dengan menawarkan RM360,000 ($103,265).
Justeru, Dharma berkata beliau mahu menuntut kembali haknya.
“Sebelum ini, kami sekeluarga ambil keputusan berpindah ke rumah baru, iaitu yang didiami sekarang, apabila dapat tawaran.
“Malah, anak-anak tidak berfikir panjang untuk melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Namun, tiba-tiba stesen TV terbabit tidak lagi berminat mendapatkan hak milik program berkenaan atas faktor tertentu menyebabkan kehidupan kami berdepan kesulitan.
“Jadi, apa yang kami mahukan adalah hak daripada program berkenaan. Sudah tentu apa yang diminta ini adalah daripada kontrak yang sudah dipersetujui,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, segala-galanya berubah apabila bintang veteran ini tidak lagi mampu bekerja dan menyara dua anak yang masih menuntut di Aswara sejak diserang angin ahmar pada 2019.
Dharma mendakwa mereka sekeluarga bakal dihalau dari kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, tidak lama lagi akibat gagal melunaskan tunggakan sewa beberapa bulan.
Buktinya, Dharma sudah menerima notis pemberitahuan agar mengosongkan rumah itu sejak awal 2024.
Sementara itu, anak-anak Dharma, Siti Qurratu Aini, 36 tahun, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35 tahun, memilih program seni dan kreatif di Aswara.
Siti Qurratu Aini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda penulisan dengan kepujian (penulisan filem dan televisyen), manakala adiknya, Muhammad Al Syafiq, berada pada peringkat asasi seni kreatif di institusi pengajian itu.
Sejak mula terbabit dalam dunia seni pada era 1980-an, Dharma membintangi banyak filem ‘pecah panggung’. Ini termasuk Adik Manja, Sikit Punya Gila, Langit Petang dan Aku Yang Berhormat.
Dharma turut membuat kemunculan pertama dalam filem Hollywood, Fifty/Fifty, pada 1992 dan Anna and The King, pada 1999.
Watak Cikgu Azmi dalam filem, Adik Manja, yang ditayangkan pada 1980 masih diingati hingga ke hari ini.
Antara lagu popular yang pernah dirakam ketika zaman kegemilangannya adalah, Jika Kau Bermimpi Aku Di Disisimu, Baru Kini Cinta Dipadu dan Hanya Dikau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg