Ketika pertama kali menghadiri simposium Serumpun pada 2024, saya baru berusia 23 tahun dan baru bermula dalam dunia penulisan makanan.

Pengetahuan saya ketika itu terbatas kepada masakan ibu, hidangan penjaja dan restoran yang sering dikunjungi.

Apabila mula menulis tentang makanan, saya ingin mengenali insan di sebalik dapur, memahami pengorbanan dan cabaran mereka, bukan sekadar membuat ulasan mengenai rasa atau harga.

Kini, penghargaan saya semakin mendalam setelah menyaksikan kegigihan pengusaha makanan yang bekerja berjam-jam sambil memikirkan kos sewa, tenaga kerja dan kelangsungan perniagaan.

Antara pesanan mereka yang saya ingati:

“Jangan lokek dengan bahan, masak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Jangan lokek berkongsi ilmu. Insya-Allah rezeki cukup untuk kami.”

Kembali ke Serumpun pada 2026, perkongsian duta masakan, Encik William Wongso, tentang ungkapan ‘lain tangan, lain rasanya’ dan penulis kulinari, Encik Harry Nazarudin, mengenai penapaian mengingatkan saya tentang nilai makanan warisan yang sering dianggap biasa.

Namun, bagi saya, keistimewaan makanan paling terasa apabila ia menghidupkan kenangan insan tersayang.

Setiap Aidilfitri, arwah mak cik saya menyediakan sambal goreng pengantin. Ketika remaja, saya gemar memilih paru dan udang, tetapi mengelakkan hati kerana belum menggemari rasanya.

Selepas pemergiannya, ibu saya meneruskan resipi itu dengan rasa hampir serupa. Ibu mengajar saya bahawa hati memberikan sedikit kemanisan dan rasa lemak, manakala keseimbangan bahan lain menentukan keenakannya.

Setiap suapan mengingatkan saya kepada arwah mak cik yang tidak pernah lokek. Sepupu-sepupu juga tersentuh kerana masakan ibu mengingatkan mereka kepada air tangan ibu mereka.

Ramadan lalu, saya pula menyediakan roti John yang diajar ibu untuk majlis berbuka puasa keluarga. Ibu pula menyediakan hidangan utama.

Saya menyiapkan inti daging, telur, bawang dan daun sup sebelum menggorengnya menjelang waktu berbuka.

Seorang sepupu berkata rasanya sama seperti roti John buatan pembantu rumahnya yang amat dirindui, lalu segera menghulurkannya kepada adik-beradik untuk turut mencuba.

Saya juga teringat arwah ibu angkat yang membantu membesarkan kami dan mengajar ibu saya memasak.

Beliau meninggal dunia pada 2024, manakala suaminya kini hidup dengan demensia. Namun, melalui ilmu masakan yang beliau kongsikan, kami terus mengingatinya hingga kini.

Saya tidak mampu memutar kembali waktu, tetapi rasa dan aroma makanan seolah-olah membawa saya kembali kepada saat ibu angkat dan mak cik saya masih bersama kami sekeluarga.

Saya sentiasa mendoakan agar mereka akan sentiasa dirahmati dan membalas segala kebaikan, kemurahan hati serta ilmu yang dikongsi dengan penuh keikhlasan.

Di situlah terserlah nilai budi, adab dan semangat gotong-royong masyarakat Melayu. Melalui makanan, kita berkongsi rezeki mengikut kemampuan, mengeratkan hubungan dan menyampaikan kasih sayang tanpa perlu banyak berkata-kata.

Simposium Serumpun menyedarkan saya bahawa warisan makanan lebih daripada satu hidangan, tetapi juga sejarah, pengetahuan dan hubungan antara generasi yang perlu dipelihara.

Semakin banyak yang saya pelajari, semakin saya sedar betapa sedikit yang saya ketahui tentang warisan sendiri.

Makanan lebih daripada sekadar mengisi perut. Ia menjadi jambatan kepada kenangan, menghubungkan kita dengan insan tersayang dan mengingatkan kita tentang asal usul kita.