KUALA LUMPUR: Penerbit filem terkemuka Malaysia, Datuk Yusof Haslam, bersyukur dapat bertemu anaknya, pengarah kontroversial, Syamsul Yusof, setelah lima tahun tidak bersua muka.
“Saya beritahu pada dia, saya sebagai ayah, saya tetap rindukan dia. Begitu juga dengan ibunya. Yang lepas, biarlah lepas. Janji, jangan simpan dalam hati apatah lagi dia anak kami,” jelas Yusof kepada laman web, Utusan Online.
Isterinya, Datin Patimah Ismail, berkongsi rasa syukur dengan memuat naik foto keluarga bersama Syamsul di media sosial setelah sekian lama tidak pulang ke kediaman orang tuanya.
Ibarat “buang yang keruh, ambil yang jernih”, Yusof tidak lagi mampu membendung kesedihan dengan mengakui rindu terhadap anaknya yang kini menginjak usia 40 tahun.
Beliau bahkan sudah berlapang dada dengan setiap perkara yang telah berlaku.
“Pada usia begini, saya hanya mahu menjaga keharmonian keluarga sahaja. Pada saya, krisis keluarga itu bukanlah perkara yang bagus. Kami sebagai orang tua yang sudah di penghujung usia, kami nak segala-galanya baik, berdamai, tiada simpan dalam hati,” kata beliau.
Menurut penerbit dan pengarah filem pecah panggung itu, kepulangan Syamsul bukan atas desakan sesiapa.
Beliau malah bersyukur kerana doanya menanti kepulangan anaknya kini sudah termakbul.
“Kami sudah lama tidak pujuk dia. Kami hanya berdoa dan berserah. Dia sebagai anak, dia kena selalu bertanggungjawab.
“Dia hampakan kami pun sudah bertahun-tahun. Saya hanya reda sebab itu takdir Allah.” jelas beliau dengan penuh rasa syukur.
Pelakon drama Malaysia, Puteri Sarah Liyana, yang juga bekas isteri Syamsul, turut menyaksikan kepulangannya.
Keberadaan Sarah di kediaman tersebut adalah untuk mempertemukan anak-anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah dengan bapa mereka, Syamsul.
Demi mengelak sebarang spekulasi, Yusof turut menjelaskan bahawa mereka datang secara berasingan.
Pengarah filem, Maria Mariana, itu sekali gus menegaskan bahawa beliau enggan masuk campur dalam soal jodoh antara anak dengan bekas menantunya.
Sebagai seorang bapa, Yusof menyatakan beliau hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk jodoh anak lelakinya itu.
“Soal jodoh dia, dengan sesiapa pun kami tidak boleh pertikaikan. Itu hak dia, kami keluarga tidak mahu masuk campur.
“Bagi saya, tidak adil kalau kami jodohkan dia dengan sesiapa, akhirnya berlaku lagi perceraian, kita tidak tahu ’kan,” ulas beliau.
Selepas penantian yang lama, Yusof kini dapat menghela nafas lega dan menganggap setiap kisah pahit mahupun manis yang berlaku dalam keluarganya mempunyai hikmah di sebaliknya.
“Setiap manusia lakukan kesilapan dalam kehidupan. Jadikan ia satu ujian. Kita lalui dengan tenang dan kembali ke pangkal jalan,” nasihat beliau kepada anaknya.
Sebelum ini, Syamsul dilaporkan sah bercerai talak satu dengan isteri keduanya, pempengaruh Ira Kazar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg