Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syamsul Yusof-Ira Kazar cerai talak satu

Sep 5, 2024 | 3:17 PM
Ira Kazar (kiri) dan Syamsul Yusof kini membawa haluan masing-masing setelah berlakunya lafaz cerai taklik sekali gus menyebabkan jatuh talak satu.
Ira Kazar (kiri) dan Syamsul Yusof kini membawa haluan masing-masing setelah berlakunya lafaz cerai taklik sekali gus menyebabkan jatuh talak satu. - Foto FAIL

KUALA SELANGOR: Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September, mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilafaz oleh pengarah kontroversi, Syamsul Yusof terhadap isterinya, Ira Kazar ketika masih bergelar suami isteri.

Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib, mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.

Peguam syarie mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak, berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik, sekali gus jatuh talak satu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Mahkamah sudah putuskan perceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara Syamsul dan Ira. Itu sahaja yang berlaku hari ini.

“Keterangan sudah diambil dan keputusan sudah dibuat hari ini. Terima kasih kepada mahkamah.

“Jadi, hari ini sudah jatuh talak satu pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan kes di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tidak diteruskan” katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata, Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.

“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai hari ini di mana mahkamah mendapati Ira melanggar taklik.

“Ada pelanggaran taklik dilakukan Ira dan mahkamah mendapati Ira melanggar taklik sebanyak lima kali. Kali pertama pada 14 Ogos lalu.

“Ia berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Tempoh edah juga bermula pada tarikh sama iaitu 14 Ogos,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40 tahun, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian, sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun 2023.

“Saya tiada komen. Alhamdulillah, semuanya selesai. Tiada sebab nak kongsi,” ujar Syamsul.

Pengarah filem Munafik itu berterima kasih kepada mana-mana individu yang banyak memberikan kata-kata semangat.

“Saya banyak terima mesej menerusi WhatsApp dan dalam media sosial. Mereka doakan yang baik-baik, terima kasih,” katanya.

Ditanya mengenai komen yang pernah dikeluarkan bapanya yang juga penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam yang sentiasa mendoakan terbaik untuknya, Syamsul mengharapkan orang ramai menghormati urusan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya tak kisah tentang yang lain. Itu urusan keluarga yang sepatutnya diselesaikan antara ahli keluarga.

“Macam saya cakap, apa sahaja isu peribadi, saya pilih untuk tidak kongsi dengan orang ramai termasuk hal apa pun.

“Kalau ada isu keluarga, kita tak boleh libatkan sesiapa sahaja, betul tak? Sebab semua ini boleh mengeruhkan keadaan.

“Itu sahaja yang mampu saya cakap. Kalau apa sahaja saya cakap, pasti akan jadi tajuk berita,” tambahnya.

Dalam nada tenang, Ira hanya memberikan komen ringkas.

“Tiada apa. Alhamdulillah, selesai,” katanya.

Kemudian Ira juga mengangguk apabila ditanya sama ada beliau tidak mahu memberikan sebarang komen.

“Minta maaf ya. Terima kasih,” katanya.

Peguam syarie mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata, anak guamnya dalam keadaan bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah.

“Sejak awal, saya minta Ira bersedia. Jadi, apa yang berlaku hari ini sudah jatuh dan sudah disabit.

“Soal emosi Ira, saya percaya kita kena hormati. Cuma, saya sudah pesan pada Ira sejak awal untuk bersedia,” katanya.

Bekas isteri Syamsul, Puteri Sarah Liyana, ketika dihubungi Harian Metro, berkata:

 “Inilah takdir yang tertulis buat mereka.

“Saya dan Syamsul sudah tiada apa-apa ikatan, hanya berurusan soal anak-anak.

“Apa yang berlaku hari ini, saya tak nak komen apa-apa. Saya enggan menambah penderitaan sesiapa.”

Ditanya adakah beliau dapat membuka hati untuk menerima semula bekas suaminya, Puteri Sarah berkata, fokus utamanya kini hanya untuk anak-anak.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Alhamdulillah.

“Saya nak cari duit untuk anak-anak. Saya nak besarkan mereka sebaik mungkin,” katanya.

Ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail pula sedih melihat anaknya mengharungi proses perceraian secara bersendirian.

Patimah menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story berkata air matanya mengalir melihat takdir hidup anak kedua daripada empat beradik itu.

“Sejujurnya, mengalir air mataku melihat anakku mengharungi takdir hidupnya seorang diri.

“Namun, doaku sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu agar dipermudahkan segala urusan,” tulisnya dengan berlatarbelakangkan gambar wajahnya sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg