Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan emosi di rumah penting bagi kanak-kanak disleksia

Ibu bapa, adik-beradik boleh beri semangat, galakan
Oct 16, 2025 | 5:30 AM
belajar, kanak-kanak disleksia, dyslexia, Dr Haslina Hassan
Kanak-kanak disleksia mungkin tidak mendapat pujian atau pengiktirafan sekerap berbanding dengan kanak-kanak lain. Lantas, ibu bapa boleh memberi semangat dan perangsang agar anak terus mencuba dalam proses pembelajaran. - Foto ISTOCKPHOTO

Mempelajari subjek baru dan menduduki peperiksaan semasa di fasa persekolahan ada kalanya menjadi cabaran buat kanak-kanak. 

Apatah lagi jika pelajar itu mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia, yang menyukarkan proses membaca, menulis dan mengeja. 

Kanak-kanak disleksia turut melalui perasaan bingung, malu, marah dan risau apabila mengetahui tentang masalah pembelajaran yang mereka hadapi. 

Ini disebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan masalah pembelajaran yang nyata dan mungkin mengakibatkan kejayaan dan kegagalan yang tidak tekal dalam prestasi sekolah mereka. 

Pelajar turut menyifatkan cabaran yang dihadapi tiada bantuannya dan berasa diri kurang difahami oleh individu sekeliling. 

Kanak-kanak disleksia sama seperti kanak-kanak lain.

Mereka turut mahu disayangi dan dihargai oleh ibu bapa, adik-beradik, guru dan rakan. 

Mereka tidak mahu layanan ‘khas’ atau berbeza daripada kanak-kanak biasa kerana ingin menunjukkan bahawa mereka boleh mencapai kejayaan dan melaksanakan tugasan yang diberikan. 

Sebagai guru dan juga ibu, saya memahami kebimbangan yang ibu bapa lalui dengan anak disleksia. 

Saya sering bertemu dengan ibu bapa yang meminta pendapat dan panduan bagaimana mereka boleh menyokong proses pembelajaran anak di rumah. 

Bagi saya, selain mendapatkan bantuan profesional dan menghantar anak ke sesi campur tangan yang sesuai, ibu bapa dan anggota keluarga serumah yang lain boleh membantu dengan memberi sokongan emosi buat si anak di rumah. 

Sempena Bulan Kesedaran Disleksia yang disambut seluruh dunia pada Oktober, izinkan saya mengongsi lima panduan yang boleh diterapkan bagi pelajar disleksia semasa di rumah. 

Usah sembunyi masalah sebenar 

Ibu bapa tidak harus sesekali menyembunyikan masalah pembelajaran itu daripada anak.

Mereka harus menerangkan isu yang dihadapi – bahawa disleksia bukan satu penyakit dan ia tidak mengehadkan mereka daripada mencapai sesuatu.

Kanak-kanak disleksia harus mengetahui mengapa mereka menghadiri sesi campur tangan atau kelas khusus bersama pakar pendidikan – bukan memberitahu mereka bahawa ia sesi tuisyen atau kelas pengayaan. 

Perkara sebegitu akan membuat anak berasa mempunyai disleksia sebagai sesuatu yang memalukan. 

Galak anak kongsi cabaran

Sebagai ibu bapa, kita harus menggalak anak mengongsi cabaran dan kerisauan yang mereka hadapi di sekolah.

Ia dapat membantu mereka mengawal kemarahan atau kekecewaan yang mereka rasa. 

Kanak-kanak disleksia ada kalanya tidak menyedari mereka mungkin telah menyinggung perasaan rakan sekolah disebabkan isu pengurusan masa yang lemah atau tidak dapat membaca isyarat sosial. 

Bincangkan dengan si anak supaya mereka memahami keadaan sebenar dan bagaimana mereka boleh bertindak dalam situasi sebegitu. 

Cungkil bakat, potensi

Ibu bapa boleh cuba mengenal pasti bakat si anak yang boleh diasah.

Ada kalanya kanak-kanak disleksia ada bakat dalam bidang seni, muzik, tarian dan mempunyai minda yang kreatif.

Jika mereka mempunyai hobi positif seperti membina barangan unik dengan mainan Lego, anggota keluarga boleh turut memberi galakan dalam bidang tersebut. 

Beri semangat dan motivasi

Kanak-kanak disleksia mungkin tidak mendapat pujian atau pengiktirafan yang kerap berbanding kanak-kanak lain.

Lantas, ibu bapa dan anggota keluarga boleh memberi semangat dan perangsang agar mereka terus mencuba. 

Ungkapan positif seperti good try, great effort dan wonderful, boleh digunakan apabila mereka cuba menyelesaikan sesuatu tugasan sukar seperti membaca, tugasan sekolah atau kertas latihan. 

Usah guna disleksia sebagai alasan

Jangan sesekali gunakan masalah pembelajaran tersebut sebagai alasan supaya si anak tidak perlu melibatkan diri dalam kegiatan membaca atau menulis. 

Sebaliknya, ibu bapa boleh menggunakan peluang tersebut untuk menggalak mereka mencuba sesuatu yang mungkin dianggap sukar. 

Ibu bapa juga boleh menggalak anak dengan disleksia untuk membaca buku atau menulis nota kepada adik-beradiknya yang lain. 

Jika mereka membuat kesilapan mengeja atau menulis, ibu bapa boleh memberi motivasi agar anak boleh melakukan tugasan lebih baik pada kesempatan lain. 

Akhir kata, sokongan emosi di rumah diharap dapat membantu kanak-kanak disleksia melalui cabaran harian. 

Anggota keluarga harus sentiasa memberi peluang kepada kanak-kanak disleksia untuk membuat keputusan dan mengharungi masalah mereka. 

Ini dapat membangun keyakinan dan sifat berdikari dalam diri mereka.

Penulis merupakan mantan guru dan kaunselor di sekolah rendah dan kini konsultan kanan pendidikan di MindChamps Allied Care. Beliau mempunyai pendidikan khusus dan pengalaman luas dalam bidang pendidikan khas. Beliau juga ahli lembaga pengarah di SGEnable.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg