Pakaian lelaki dengan zip yang pendek, atau quarter-zip, kini peliknya telah menjadi tumpuan.
Pakaian itu – dengan zip singkat dijahit di bahagian bahu hingga ke paras dada – selama ini dianggap biasa, tetapi kini tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan fesyen.
Lama dianggap sebagai item fesyen asas, ia jarang dilihat sebagai sesuatu yang mengikut perkembangan fesyen.
Namun selepas satu video TikTok oleh pengguna dari Amerika Syarikat, Encik Jason Gyamfi, yang memuji gaya ringkasnya, pakaian yang sebelum ini sering diabaikan itu kini kembali mendapat perhatian sebagai item bergaya.
“Saya tidak mengenakan gaya Nike Tech seperti golongan muda,” ujar Encik Gyamfi.
“Saya lebih memilih gaya elegan dan berkelas, sesuai untuk pelbagai keadaan dan tampak kemas.”
Sejak itu, beliau muncul di televisyen untuk membincangkan video tularnya, yang kini mencatat lebih 23 juta tontonan, lapor The Star.
Kemasyhuran mengejutnya telah membawa kepada tawaran kerjasama daripada jenama seperti Tommy Hilfiger, manakala penyanyi rap, T-Pain, baru-baru ini memuat naik foto Instagram dirinya memakai zip-suku.
“Mereka merupakan orang yang saya kagumi sejak kecil, dan mengetahui mereka perasan (video itu) memang menaikkan keyakinan saya,” kata Encik Gyamfi.
Namun, tidak ada penjelasan sebenar tentang mengapa video tersebut menjadi tular.
Perhimpunan peminat fesyen zip-suku kini dianjurkan di pusat beli-belah di seluruh Amerika, mencerminkan kemasyhuran corak itu.
Sebenarnya, zip-suku ialah pakaian yang begitu ‘biasa’ sehingga ada yang mungkin tidak tahu namanya, walaupun mereka pernah melihatnya berkali-kali.
Rekaannya pada asasnya berupa baju berlengan panjang dengan zip pendek di bahagian hadapan.
Ia boleh dipakai terbuka untuk penampilan santai atau dizipkan sepenuhnya bagi gaya yang lebih kemas.
Zip-suku boleh didapati dalam pelbagai jenis bahan – daripada pakaian yang dikait atau ‘knit’, campuran kapas dan banyak lagi – sekali gus menjadikannya sangat fleksibel.
Warnanya pula selalunya sederhana, menambah kepada gaya ringkas atau minimalis.
Dalam industri fesyen, zip-suku begitu biasa hingga hampir tidak diberi perhatian.
Ia kurang menonjol berbanding kemeja-T atau kemeja polo.
Di pentas peragaan, zip-suku kadangkala ditampilkan tetapi selalunya dipakai bersama jaket atau pakaian luar.
Sementara itu, hampir semua jenama fesyen menyertakannya dalam koleksi mereka.
Personaliti terkenal seperti Brad Pitt dan David Beckham, pernah dilihat memakainya, selalunya digayakan untuk penampilan kasual di luar waktu kerja.
Di permaidani merah, zip-suku tampil dalam pelbagai gaya – ada yang direka sebagai jaket, ada yang menyerupai shrug (pakaian pendek berlengan panjang ala kardigan), serta ada yang digayakan bersama sut.
Terdapat dua estetik yang biasanya dikaitkan dengan zip-suku.
Yang pertama ialah gaya finance bro (kaum Adam yang bertugas dalam bidang kewangan), ia dipadankan dengan seluar panjang polos diperbuat daripada kapas jenis chinos dan dipakai sebagai pakaian pejabat yang kemas tetapi santai.
Ia juga dikaitkan dengan gaya golongan kaya atau old money, biasanya bersama seluar potongan kemas (tailored) dan kasut santai seperti loafer.
Kerabat diraja, seperti Putera Harry, pernah dilihat menggayakan rupa itu, memberikan zip-suku daya tarikan aristokratik.
Daripada perspektif fesyen, ketularan zip-suku adalah sesuatu yang luar biasa, kerana selama ini ia merupakan pakaian yang sederhana dan bukannya sesuatu yang menonjol.
Popularitinya di media sosial, lengkap dengan perhimpunan peminat gaya tersebut, kemunculan selebriti dan tawaran kerjasama, menunjukkan trend fesyen kini boleh berubah dengan pantas, dengan pakaian paling ringkas boleh mencetuskan fenomena dalam sekelip mata
Namun, sesetengah pengkritik masih menganggap gaya zip-suku hambar dan tidak mencetus inspirasi walaupun kini popular.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg