Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edry KRU luah anak istimewanya dilayan kurang sopan di tempat awam

Kongsi di Instagram pengalaman anaknya dimarahi, ingin lebih ramai peka tentang golongan autistik yang bersikap impulsif
Dec 23, 2024 | 3:19 PM
Edry Abdul Halim salah seorang anggota tiga beradik KRU, telah berkongsi tentang layanan orang awam terhadap anak istimewanya di Instagram.
Edry Abdul Halim salah seorang anggota tiga beradik KRU, telah berkongsi tentang layanan orang awam terhadap anak istimewanya di Instagram. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM EDRYABDULHALIM
View post on Instagram
 

Edry, telah berhijrah ke Manchester, United Kingdom (UK) bersama keluarganya sejak 2018.

Keputusan itu dibuat untuk memberikan kehidupan dan pendidikan yang lebih baik kepada anak ketiganya, Emery, yang autistik dan tidak boleh bertutur.

Menurut Edry pengalaman makan malam di Kuala Lumpur baru-baru ini telah membuat mereka berasa trauma disebabkan persekitaran, seperti penjual, pekerja atau pelanggan yang tidak memahami keadaan golongan kurang upaya.

“Mereka tidak faham orang-orang istimewa ini berbeza.

“Mereka mula tinggikan suara, marah-marah, maki-maki… Masyarakat kita tidak peka dengan orang-orang yang kurang upaya dari segi mental.

Dalam satu hantaran terbaru di Instagram di tengah-tengah persiapan untuk konsert KRU pada 2025, salah seorang anggotanya, Edry Abdul Halim, 48 tahun, berkongsi tentang cabaran yang dihadapi anaknya, Emery Edry.

Emery, 17 tahun, merupakan anak ketiga daripada empat orang anak Edry bersama isterinya, Milia Mohammed.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga selama 25 tahun.

“Minta maaf ini bukan video menjual tiket, muzik atau muzik video.

Emery, anak istimewa saya, dia autistik, non-verbal (tidak bercakap) dan tidak ada cara komunikasi sepertimana kita yang sempurna ni,” kata Edry dalam video itu.

Edry yang sedang bercuti di Malaysia pada waktu ini bersama keluarganya, berkongsi di media sosial tentang pengalaman mereka sewaktu makan luar di pusat bandar Kuala Lumpur, dua hari berturut-turut baru-baru ini.

“Tindakan anak-anak istimewa ni kadang-kadang unpredictable (tidak dapat diramal) sedikit.

“Dia impulsif, kalau dia rasa nak minum, dia ambil saja dan tak reti konsep kena bayar, pergi ke kaunter dan sebagainya,” terang Edry dalam video yang dirakamnya sewaktu memandu kereta.

View post on Instagram
 

“Kalau kamu nampak golongan seperti ini (individu kurang upaya) dengan keluarga mereka, berikanlah mereka ruang.

“Penjaga atau ibu bapa yang ada bersama akan bertanggungjawab terhadapnya, tetapi janganlah mengusutkan lagi keadaan dengan meninggikan suara,” jelas Edry.

Edry turut menerangkan bahawa anak-anak istimewa itu setakat ‘menumpang lalu’ dalam hidup orang lain untuk sementara waktu, supaya dapat rasakan suasana ‘normal’ di luar sana untuk beberapa minit, tetapi mereka sebagai ibu bapa harus menghadapinya setiap hari.

“Ibu bapa seperti kami, harus menghadap anak-anak ini untuk seumur hidup.

“Kalau kamu rasa, satu dua minit perhatian yang kamu terpaksa berikan itu susah, bayangkan menghadapinya seumur hidup.

“Tapi kami tidak merungut, hanya inginkan masyarakat lebih peka dan bukan semua kecacatan dapat dilihat.

“Saya bukan ingin merubah dunia, tetapi kalau ada seorang dua dalam masyarakat yang mengikuti saya, mereka dapat faham,” kata Edry.

Perkongsian Edry itu ditonton 329,000 kali dengan lebih 17,000 tanda suka dan ramai yang meninggalkan komen bersimpati dengan keadaan yang mereka lalui.

Mengakhiri video hampir tiga minit itu, Edry berkata :

“Dunia akan lebih baik jika kita saling bertolak ansur.”

Di ruang komen, Edry turut memberi penghargaan kepada mereka yang memberikan kata-kata sokongan.

“Terima kasih atas semua kata-kata sokongan. Bukan minta simpati, tetapi rasa penat terpaksa minta maaf kerana mempunyai seorang anak autistik, sampai terpaksa menerangkan (dengan menggunakan perkataan) ‘anak cacat’ untuk orang biasa faham.

“Mungkin kena ada pendidikan sivik moral di sekolah supaya masyarakat lebih prihatin terhadap insan istimewa dan untuk meningkat kesedaran.”

Kumpulan KRU yang dianggap trio legenda Malaysia, pernah popular sekitar era 90-an terdiri daripada tiga beradik, Edry, Yusry dan Norman.

KRU dalam persiapan untuk konsert GenKRU yang akan dipentaskan di Axiata Arena, di Bukit Jalil Kuala Lumpur, pada 3 Mei 2025.

Konsert terakhir KRU yang berjudul GenerasiKRU25 ialah enam tahun lalu, pada Mei 2018 di Istana Budaya.

KRU menjangkakan persembahan mereka yang akan datang menyemarakkan nostalgia bersama peminat yang telah membesar dengan muzik mereka seperti melalui lagu, Awas, Oh La La, Janji Tinggal Janji dan banyak lagi.

Tiket untuk persembahan 3 Mei telah habis dijual lebih awal dari jadual.

Tiket untuk konsert hari kedua, pada 4 Mei, sudah dibuka atas permintaan ramai.

Laporan berkaitan
Konsert kenangan KRUJul 22, 2024 | 1:34 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg