Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elizabeth Tan akan kembali nyanyi selepas atasi masalah resah

Pelakon filem ‘Abang Long Fadil 3’ itu akui hilang keyakinan buat persembahan
Nov 29, 2023 | 5:33 PM
MENARUH HARAPAN: Seteleh empat hingga lima tahun tidak menyanyi kerana masalah keresahan dan kurang keyakinan diri, Elizabeth Tan, berharap masih ada yang sudi mendengar suaranya.
MENARUH HARAPAN: Seteleh empat hingga lima tahun tidak menyanyi kerana masalah keresahan dan kurang keyakinan diri, Elizabeth Tan, berharap masih ada yang sudi mendengar suaranya. - INSTAGRAM ELIZABETH TAN

KUALA LUMPUR: Tertanya-tanya peminat pelakon dan penyanyi jelita, Elizabeth Tan, 30 tahun, tentang mengapa beliau jarang-jarang menyanyi ‘live’ kini di acara luar.

Apakah beliau sudah memperlahankan kerjaya nyanyiannya atau sudah tidak lagi minat menyanyi?

Bagaimanapun si manis yang manja dengan panggilan Lizzy, memberitahu akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) baru-baru ini, beliau tidak yakin menyanyi kerana mempunyai masalah keresahan atau ‘anxiety’.

Lizzy ditemui pada sidang media pelancaran Viu Original W: Two Worlds, karya adaptasi daripada drama bersiri popular Korea dengan tajuk sama.

Namun, selepas tempoh berehat daripada kerjaya nyanyiannya, Lizzy akan kembali menghasilkan karya nyanyian seperti dahulu. Beliau juga rindu menyanyi sebab kerjaya seninya pun bermula daripada nyanyian sebelum beralih ke bidang lakonan.

Lizzy mengakui, dirinya mengambil ubat akibat masalah kurang keyakinan itu.

“Beberapa tahun ini saya fokus pada lakonan dan saya mahu fokus untuk mengeluarkan lagu, tahun depan. Setakat ini, sudah ada tiga single – dua bahasa Melayu dan satu bahasa Inggeris.

“Saya akan keluarkan pada Januari, April dan Julai. Itu perancangannya setakat ini.

“Sebenarnya, saya ambil tempoh berehat daripada nyanyian sebab saya ada ‘anxiety’ apabila buat persembahan atas pentas. Saya tertekan sebab kena menyanyi dengan baik, tak boleh sumbang langsung, tetapi saya tetap gagal.

“Sebab itulah saya kecewa. Jadi, saya rasa antara empat dengan lima tahun ini saya tak ambil mana-mana ‘show’.

“Saya ada berjumpa pakar psikiatri selepas keadaan sangat teruk. Selepas berehat, saya akan kembali menyanyi dan harap orang masih nak tengok saya menyanyi sebab sudah rehat lama,” katanya.

Lizzy juga berkata, banyak yang dipelajari sepanjang tempoh berkenaan dan berharap boleh kembali berseronok menyanyi menghiburkan peminat.

“Saya banyak letak tekanan pada diri sendiri, jadi saya perlu relaks dan jangan terlalu serius pada diri sendiri.

“Saya nak menyanyi sebab nak kembali berhubung dengan peminat.

“Menyanyi adalah platform yang bagus untuk saya berjumpa ramai orang. Saya hanya mahu berseronok atas pentas,” katanya lagi.

Selain perihal nyanyian, Lizzy juga kerap ditanya tentang bila dirinya ingin menimang cahaya mata pertama.

Beliau mengakui masih belum hamil selepas lebih dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suami, Dr Siew Jim.

Lizzy pernah mendedahkan bahawa tahun ini untuknya berusaha menjadi seorang ibu, bagaimanapun bintang filem, Abang Long Fadil 3 itu masih menunggu dikurniakan zuriat.

“Saya belum lagi hamil, kami mungkin akan mencuba tak lama lagi. Kalau dapat, dapatlah. Tapi, buat masa ini, saya tidaklah mencuba sangat, namun saya tak menolak rezeki,” ujarnya.

Selepas berehat, saya akan kembali menyanyi dan harap orang masih nak tengok saya menyanyi sebab sudah rehat lama. Saya nak menyanyi sebab nak kembali berhubung dengan peminat. Menyanyi adalah platform yang bagus untuk saya berjumpa ramai orang.
Elizabeth Tan, penyanyi dan pelakon Malaysia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg