Apabila namanya dijadikan kandungan hiburan di laman media sosial, pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar, 54 tahun, tidak rela nama baik yang dibina sepanjang kerjayanya musnah umpama nila setitik, rosak susu sebelanga.
Awal dari ini, Ellie meluahkan rasa kecewa ketika tindakan pempengaruh TikTok, Imran Bard, telah mencalar namanya melalui dua hantaran yang dimuat naik di TikTok.
Kandungan itu dinyatakan adalah fitnah, lantas Ellie menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran.
Beliau turut tidak terima melihat reputasi yang dibina lebih tiga dekad diperlekehkan dan dimusnahkan begitu sahaja, semata-mata kerana kandungan hantaran Imran itu.
“Dia buat secara sengaja, bukan tak sengaja dan bukan terbabas sehingga mendapat perhatian ramai.
“Saya menjadi bahan lawak jenaka dan kemusnahan sudah berlaku atas jenama, periuk nasi dan rezeki saya.
“Bila seseorang biadab tak faham adab, saya nak bercakap dengan ibu bapanya soal adab.
“Kalau datang minta maaf tak ikhlas, bukan itu yang saya hargai. Saya mahu ibu bapanya datang minta maaf dengan saya.
“Apa sahaja yang dia buat atas nama saya, demi Allah, saya tak izinkan dan reda.
“Apa sahaja rezeki dia dapat guna nama saya untuk popular, dapat rezeki dan tawaran, saya tak reda,” tegas Ellie dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM) sewaktu sidang media pada 20 Februari.
Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang, Selangor dan akan menyusul dengan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sejauh ini, Ellie sedang mempertimbangkan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap Imran.
“Dalam hantaran itu, dia menyentuh soal kesihatan mental. Ia diperbual dalam komen sehingga saya dituduh ambil barang terlarang. Saya bukan penagih dadah.
“Cuba cakap berapa nilai kalau saya nak saman dengan jenama dibina selama ini? Adakah nilai ini memadai dengan reputasi saya yang sudah dihina dan kemusnahan berlaku?” katanya.
Akibat daripada hantaran itu, perasaan dan rutin harian Ellie terganggu selain meninggalkan kesan kepada keluarga, terutama anak-anaknya.
“Berhari-hari saya tak dapat tidur selepas dapat tahu soal hantaran ini. Anak yang masih bersekolah sampai tiada motivasi hendak ke sekolah kerana cukup terkesan,” ceritanya.
Kontroversi itu mula mendapat perhatian Ellie apabila Imran sengaja memuat naik kandungan tersebut di media sosial pada 12 Februari, yang menyebut namanya terjebak dengan penggunaan bahan terlarang.
Ellie mula sedar mengenai video berkenaan ketika dimaklumkan oleh rakan-rakan, tiga hari selepas kandungan itu dimuat naik.
Video itu telah mencapai lebih 1.3 juta tontonan di laman TikTok.
Selain Ellie, beberapa nama artis lain turut disebut termasuk Datuk Fauziah Ahmad Nawi, Wan Maimunah, Zulin Aziz dan Mas Idayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg