Pelakon jelita, Erra Fazira, tidak menolak kemungkinan menamatkan zaman solo dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain, atau lebih dikenali sebagai Mr E dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, Erra dan Ezwan lebih selesa membiarkan perkara itu berlaku tanpa memberi tekanan kepada kedua-dua belah pihak.
“Memang ada perancangan (kahwin) tapi tak mahu beri tekanan. ‘Just go with the flow’ (tempuhi sahaja apa yang berlaku)‘ dengan matlamat betul.
“Tidak mahulah kata berkawan tetapi hubungan ‘terapung’ begitu sahaja, pun sangsi juga.
“Berkawan saja-saja tu sampai bila? Doakanlah kalau semuanya okey, baik dan lancar… kita harapkan secepat yang mungkin.
“Tetapi, tidak tahulah sama ada tahun ini (2025) atau tahun depan (2026),” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka ‘Raya Sempoi’ di kafe Kueh diusahakan Ezwan pada 27 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 51 tahun, turut dipersetujui Ezwan, 44 tahun, yang tidak mahu melengah-lengahkan jika ia membabitkan perkara baik.
“Selalunya perkara yang baik ni kita hendak cepatlah. Cuma seperti kata Erra, kami nak laluinya tanpa tekanan.
“Jadi, saya nak tenang-tenang sahaja. Kita jalani sahaja apa yang sudah ditakdirkan,” katanya.
Erra, yang popular dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara, mengakui berada dalam fasa bahagia sekarang.
“Alhamdulillah, saya rasa bahagia tetapi tidak berani hendak kata terlalu bahagia. Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur dan gembira dengan apa yang saya ada,” katanya, yang tampil mengenakan persalinan rona merah sedondon dengan Ezwan pada rumah terbuka itu.
Mengenai hala tuju dalam perhubungan matang yang dilalui, Ezwan berharap ada pengakhiran yang baik buat mereka.
“Saya dan Erra berkongsi misi dan visi yang sama untuk kehidupan di peringkat umur sebegini. Maksudnya kehidupan selepas ini (kahwin) macam mana.
“Apa lagi yang kami hendak kejar? Kami hendak menuju pengakhiran yang baik, seimbang dunia dan akhirat dan kami sepakat nak sumbangkan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, pernah dilaporkan Ezwan mengakui hubungan dengan Erra yang mula terjalin sejak Ogos 2024, semakin serius.
Januari lalu, kecoh dalam media sosial Erra dikatakan dilamun cinta selepas memuat naik ucapan berbaur romantis, dipercayai ditujukan kepada seseorang.
Selepas itu, Erra yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu dilihat semakin terbuka dengan hubungannya apabila muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg