Ethiopian Airlines tawar diskaun hingga 40% sempena Ramadan
Ethiopian Airlines tawar diskaun hingga 40% sempena Ramadan
Sempena Ramadan, Ethiopian Airlines, syarikat penerbangan kebangsaan Habsyah, menawarkan diskaun tambang hingga 40 peratus. Tawaran istimewa ini, yang merangkumi penerbangan dari Singapura ke beberapa destinasi di Afrika dan Amerika Selatan, juga meraikan ulang tahun syarikat yang ke-80.
Inisiatif ini diharap dapat memudahkan keluarga dan pengembara untuk menyelami warisan Islam benua Afrika, melalui hab kebudayaan yang ikonik seperti Nairobi, Cape Town, dan Kilimanjaro, jelas Ethiopian Airlines dalam kenyataan mereka.
Untuk menikmati potongan ini, tempahan perlu dibuat selewat-lewatnya 18 Mac, bagi tempoh perjalanan hingga 14 Jun 2026. Namun, ia terhad kepada penerbangan pada Isnin dan Rabu sahaja.
Destinasi yang layak untuk tawaran ini ialah Johannesburg, Cape Town, Nairobi, Kilimanjaro, Victoria Falls, Seychelles, Antananarivo, São Paulo dan Buenos Aires.
Diskaun ini hanya boleh digunakan untuk tambang asas bagi kelas ekonomi.
Tempahan boleh dibuat melalui semua saluran rasmi Ethiopian Airlines, termasuk laman web, aplikasi mudah alih dan ejen pelancongan yang diiktiraf.
Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM) dalam laporan sebelum ini mengenai permintaan pelancongan ke Afrika, Encik Enquanhone Minyashal, pengurus serantau Ethiopian Airlines bagi Singapura, Australia dan New Zealand, mendedahkan bahawa perjalanan keseluruhan antara Singapura dengan Afrika telah melonjak 57 peratus sehingga 1 November 2025, berbanding pada 2024.
Pada masa yang sama, bilangan penumpang Ethiopian Airlines meningkat mendadak sebanyak 87 peratus dari tahun ke tahun.
Kenaikan ini, jelas Encik Enquanhone, membuktikan bahawa Afrika bukan lagi sekadar impian destinasi seumur hidup buat warga Singapura, tetapi pilihan perniagaan dan percutian yang praktikal dan menyeluruh.
Beliau turut menambah bahawa syarikat itu sedang giat melabur dalam prasarana Addis Ababa, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bishoftu baru.
“Hab mega bernilai AS$12.5 bilion ($15.77 bilion) ini dirancang untuk menampung sehingga 110 juta penumpang setiap tahun, iaitu empat kali ganda kapasiti hab lapangan terbang kami yang sedia ada.
“Ini akan mewujudkan koridor Timur-Barat generasi seterusnya, yang menghubungkan Changi dan Addis Ababa, sekali gus melonjakkan ketersambungan global ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

