Pada pandangan pertama, filem Lilo & Stitch, yang berlatarbelakangkan Hawaii, kelihatan seperti sebuah filem yang ceria dan mencuit hati tentang pengembaraan makhluk asing (Stitch) dan pencarian persahabatan oleh seorang kanak-kanak (Lilo).
Namun, terdapat kisah yang lebih mendalam tentang kesedihan kanak-kanak yang dialami Lilo, serta bagaimana dia mengharungi kehilangan ibu bapanya.
Kisah Lilo memberi gambaran bermakna tentang bagaimana rasa duka muncul dalam kalangan kanak-kanak melalui emosi dan tindakan mereka.
Kesedihan dalam zaman kanak-kanak sering disalah erti dan diabaikan.
Salah tanggapan yang biasa ialah kanak-kanak tidak berduka kerana mereka terlalu muda untuk memahami erti kehilangan.
Namun, hanya kerana cara mereka meluahkan kesedihan berbeza dengan orang dewasa, bukan bermakna mereka tidak berduka.
Kita harus ingat, setiap manusia dikurniakan perasaan – mereka yang mampu mencintai, juga mampu berduka, dan kanak-kanak sememangnya mampu mencintai.
Kesedihan Lilo tidak pernah disebut secara langsung dalam filem itu, tetapi ia jelas kelihatan – dia sering marah, suka menyendiri dan terlalu bergantung kepada Stitch.
Tingkah laku ini mencerminkan bagaimana ramai kanak-kanak meluahkan kesedihan melalui perbuatan, bukan kata-kata.
Kajian oleh National Child Traumatic Stress Network menyatakan bahawa kanak-kanak kecil kerap meluahkan kesedihan melalui tingkah laku seperti agresif, regresi atau menarik diri.
Ini berkait rapat dengan tahap perkembangan kognitif mereka.
Menurut teori perkembangan kognitif oleh ahli psikologi terkenal, Dr Jean Piaget, kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun berfikir secara konkrit, menyebabkan konsep abstrak seperti kematian sukar difahami.
Contohnya, terdapat beberapa babak di mana Lilo enggan mendengar kata-kata kakaknya, Nani, menggambarkan bagaimana perasaan duka menjejas tingkah laku.
Canadian Alliance for Children’s Grief menganggarkan satu daripada 14 kanak-kanak di Canada akan kehilangan ibu bapa atau adik-beradik sebelum 18 tahun.
Namun, walaupun kes ini lazim, kesedihan kanak-kanak kerap terabai terutamanya di sekolah, di mana kesedihan sukar dikesan.
Dalam Lilo & Stitch, kita melihat realiti ini melalui watak Lilo.
Dia sedar dia tidak diterima dan bertanya pada kakaknya mengapa tiada siapa yang suka padanya.
Rakan sekelasnya mengejek kerana dia “aneh” dan mudah emosi.
Dalam satu babak, dia cuba berkongsi gelang buatan tangan semasa kelas tarian, tetapi diperli dan diasingkan.
Detik kecil itu menggambarkan realiti lebih mendalam: kesedihan boleh membuat kanak-kanak rasa terasing, terbeban dan berasa sangat berbeza daripada rakan sebaya.
Penyelidikan mengesahkan ini. Kajian dalam Journal of School Psychology menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berduka sering menggambarkan diri mereka sebagai “tidak normal” atau “berbeza,” terutama apabila rakan sebaya tidak mengalami kehilangan serupa.
Tanpa ruang selamat dan pengesahan emosi untuk memproses duka, perasaan ini boleh menyebabkan kesunyian, masalah tingkah laku dan rasa rendah diri.
Duka kanak-kanak bukan hanya untuk jangka waktu yang pendek, ia berkembang dan mendalam apabila mereka membesar.
Mereka kerap ‘mengunjungi’ kembali kesedihan pada peringkat perkembangan yang berbeza, menghadapinya dengan cara berlainan.
Lilo & Stitch turut menggambarkan perkara ini.
Lilo jarang bercakap tentang kematian ibu bapanya, tetapi kita melihat kesedihannya melalui rutin seperti mendengar lagu Elvis atau berkongsi gambar keluarga lama.
Ini bukan sekadar tabiat pelik, tetapi cara dia mengekalkan ikatan dengan ibu bapanya.
Ini mencerminkan apa yang disebut oleh penyelidik kesedihan sebagai teori ‘hubungan berterusan’, yang menekankan bahawa mengekalkan hubungan emosi dengan yang telah meninggal boleh membantu penyesuaian yang sihat.
Kesedihan bukan sesuatu yang “dilupakan” oleh kanak-kanak, tetapi sesuatu yang mereka belajar untuk pikul dengan sokongan dan kasih sayang.
Penyembuhan tidak mengembalikan Lilo kepada keadaannya sebelum kehilangan. Dukanya kekal, tetapi dia mula membina kembali dunianya dengan Stitch, Nani dan ‘ohana’ (keluarga) barunya.
Mereka tidak menggantikan apa yang hilang, tetapi mencipta ruang di mana duka dan kasih sayang boleh wujud bersama.
Salah satu dialog dari Stitch yang paling menyentuh dalam filem ini ialah: “Ini keluarga saya. Saya temuinya sendiri. Ia kecil dan tidak sempurna, tapi tetap baik.”
Sepertimana kesedihan berakar daripada kasih sayang, penyembuhan berakar pada ikatan.
Penyembuhan Lilo datang daripada rasa disayangi.
Walaupun Stitch membawa kekacauan, dia tetap berada di sisi.
Kasih sayang itu membolehkan Lilo mula rasa cukup selamat untuk berduka.
Ini seiring dengan kajian yang menyatakan hubungan kuat dan selamat adalah faktor perlindungan terkuat untuk kanak-kanak yang mengalami kehilangan.
Apabila anak rasa selamat secara emosi bersama penjaga, mereka lebih mampu mengawal emosi, membina daya tahan dan menerima kehilangan dalam perkembangan mereka.
Dalam situasi duka, kehadiran orang dewasa yang stabil dan responsif boleh menentukan sama ada kesedihan anak itu menjadi trauma atau transformasi.
Dalam Lilo & Stitch, hubungan menjadi ruang bagi Lilo meluahkan dukanya dan juga jambatan menuju penyembuhan.
Filem ini dengan lembut mengingatkan kita: kasih sayang mungkin sebab kita berduka, tetapi ia juga jalan paling berkesan untuk menghadapinya.
1. Kekalkan rutin
Dalam masa berduka, struktur membantu kanak-kanak rasa selamat.
Rutin seperti persiapan ke sekolah, waktu makan dan jadual harian memberikan kestabilan ketika segalanya tidak menentu.
2. Fahami emosi
Bantu mereka mengenal pasti perasaan dan yakinkan bahawa apa yang mereka rasa adalah wajar.
Pengiktirafan ini mengurangkan rasa malu dan memberi ruang untuk anak memproses kedukaan secara terbuka.
3. Jawab soalan secara jujur
Kanak-kanak memerlukan maklumat yang tepat dan sesuai dengan usia mereka.
Elakkan frasa seperti ‘tidur selamanya’ atau ‘telah pergi’ yang boleh mengelirukan.
Gunakan bahasa jelas seperti, ‘badannya berhenti berfungsi dan telah meninggal dunia’.
Kejujuran membina kepercayaan dan menyokong perkembangan kognitif serta emosi kanak-kanak dalam memahami kematian.
4. Dapatkan sokongan
Kesedihan boleh terasa terlalu berat bagi anak mahupun ibu bapa atau penjaga.
Dapatkan bantuan daripada kaunselor sekolah, ahli terapi atau kumpulan sokongan tempatan.
Sokongan sedemikian dapat mengurangkan rasa terasing, membantu meluahkan perasaan dan meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dalam kalangan keluarga yang sedang berduka.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Guelph-Humber, Canada. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg