Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makanan diproses tetap jadi pilihan utama si kecil?

Panduan galak anak pilih diet lebih sihat dan pelbagai
Jul 3, 2025 | 5:30 AM
makanan diproses, rendah nutrisi
Garis panduan pemakanan mengesyorkan agar pengambilan makanan yang terlalu diproses dihadkan kerana ia mengandungi tiada zat atau rendah nutrisi. - Foto ISTOCKPHOTO

Jika anda rasa yang diet anak anda terdiri sepenuhnya daripada bijirin sarapan, nuget ayam dan makanan ringan, anda tidak bersendirian.

Makanan yang diproses menjadi pilihan ramai kanak-kanak, dan bagi sesetengah mereka, ia satu-satunya makanan yang akan mereka makan.

Berikut sebabnya – dan apakah yang boleh anda lakukan tentangnya.

Makanan diproses

Makanan yang diproses adalah makanan yang diubah daripada keadaan semula jadinya.

Walaupun sesetengah pemprosesan makanan bermanfaat – seperti mempasteurkan susu untuk membunuh bakteria – apa yang menyebabkan kebimbangan ibu bapa adalah makanan yang terlampau diproses atau ultra-processed.

Makanan sebegitu menggunakan kaedah perindustrian bagi meningkatkan rasa, tekstur dan jangka hayat dengan menambah gula, garam, lemak dan perisa tiruan, warna dan pengawet.

Makanan yang terlalu diproses dan dikenali ramai ibu bapa ialah makanan segera dan ringan yang disukai oleh kanak-kanak.

Tetapi yang lain bersembunyi di depan mata, menyamar sebagai makanan ‘sihat’ seperti yogurt berperisa dan mufin.

Makanan yang terlampau diproses mengandungi tiada atau rendah nutrisi.

Itulah sebabnya garis panduan pemakanan mengesyorkan agar pengambilannya dihadkan.

Tetapi makanan itu membentuk satu pertiga daripada pengambilan tenaga harian kanak-kanak di Australia.

Tarikan makanan yang diproses

• Biologi asas

Makanan yang terlalu diproses direka bentuk untuk menyebabkan ketagihan.

Tambahan gula, garam dan lemak menghidupkan sistem ganjaran dalam otak kanak-kanak, mengeluarkan bahan kimia yang memberi rasa gembira.

Evolusi telah melatih manusia agar mencari makanan semula jadi yang kaya gula dan lemak – satu tindak balas fisiologi yang dibangunkan sejak zaman dahulu bagi mengelakkan kebuluran.

• Cerewet soal makanan

Seorang dalam dua kanak-kanak akan mengalami fasa apabila mereka agak cerewet dalam soal makan.

Kanak-kanak yang cerewet makan juga menggemari makanan yang terlampau diproses, seperti nuget ayam, kerepek dan bijirin sarapan kerana ia biasa dilihat.

Ia selalunya berwarna kuning air seperti susu ibu dan makanan pepejal pertama kanak-kanak.

• Kuasa pengaruh

Daripada iklan YouTube yang licik kepada paparan pasar raya yang mengundang pandang, kanak-kanak tidak henti-henti terdedah kepada pemasaran yang membuatkan mereka mengidam – dan meminta – makanan yang terlalu diproses.

Bagaimana makanan diproses jejas kesihatan kanak-kanak?

Makanan yang terlampau diproses boleh memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak dalam pelbagai cara, menyumbang kepada:

– Kekurangan nutrisi

Kanak-kanak yang kenyang dengan makanan yang terlampau diproses kurang berkemungkinan makan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan daging tanpa lemak.

Dengan itu, ia menghasilkan diet yang kurang serat dan nutrien utama lain yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan.

– Obesiti zaman kanak-kanak

Makanan yang terlampau diproses tinggi kalori, gula tidak sihat, garam dan lemak.

Mereka juga kerap kurang mengawal jumlah pengambilannya sehingga ia mencapai tahap berlebihan.

– Tingkat risiko penyakit

Pengambilan makanan yang terlalu diproses secara berlebihan dalam jangka panjang dikaitkan dengan risiko lebih tinggi mengalami pelbagai penyakit kronik termasuk penyakit jantung, kencing manis dan barah.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat boleh menjadi sukar untuk dihentikan.

Namun, perubahan diet dan gaya hidup positif boleh memperbaiki kesan kesihatan negatif itu.

Amalan pemakanan lebih sihat berasas sains

1. Makan bersama

Waktu makan keluarga membolehkan anda menunjukkan contoh pemakanan sihat.

Duduk bersama di meja, berkongsi hidangan yang sama dan jauhkan gadjet supaya perhatian semua orang tertumpu pada makan.

2. Perkenal makanan dengan berhati-hati

Kajian menunjukkan kanak-kanak memerlukan lapan hingga 10 pendedahan sebelum mereka secara sukarela makan makanan baru.

Jadi, tawarkan kepada mereka dengan kerap, galakkan mereka untuk rasa dan usah memaksa mereka makan.

Elak daripada menawarkan pencuci mulut sebagai ganjaran mencuba sesuatu yang sihat.

Menggunakan makanan sebagai ganjaran meningkatkan kecenderungan kanak-kanak terhadap makanan tidak sihat.

Kanak-kanak juga lebih cenderung mencuba makanan baru apabila mereka lapar, jadi elakkan makanan ringan satu hingga dua jam sebelum waktu makan.

3. Perkenal kelainan kepada makanan kegemaran keluarga

Kanak-kanak lebih terbuka mencuba makanan baru apabila terdapat sesuatu yang biasa di atas pinggan mereka.

Jadi, ubah suai hidangan kegemaran keluarga dengan menukar bahan, seperti menggunakan dal dan bukannya daging lembu dalam sos pasta bolognese atau memanggang lobak untuk membuat ‘kerepek oren’.

Memarut sayuran ke dalam sos juga meluaskan diet kanak-kanak tanpa membebankan mereka.

4. Jadikan makanan menyeronokkan

Kanak-kanak bertindak balas secara positif apabila makanan sihat disajikan dalam cara yang menyeronokkan, jadi letakkan warna, tekstur dan bentuk berbeza di atas pinggan bagi mengekalkan minat mereka.

Menukar tempat makan – dan menikmati perkelahan luar rumah sekali-sekala – adalah satu lagi cara mudah menjadikan waktu makan terasa istimewa dan menyeronokkan.

5. Ajar kanak-kanak tentang sains makanan

Mengajar kanak-kanak cara yang sesuai mengikut peringkat umur tentang makanan yang kita makan bagi menggalakkan pemakanan lebih sihat. Justeru:

– Galak kanak-kanak menanam herba dan sayur-sayuran supaya mereka faham dari mana datangnya makanan sihat. Kanak-kanak kecil boleh menuai hasil; kanak-kanak lebih besar boleh menanam.

– Kunjungi penjual sayur, penjual ikan dan penjual daging dengan kerap supaya kanak-kanak dapat melihat dan meneroka makanan sihat yang ditawarkan.

– Bercakap dengan kanak-kanak kecil tentang makanan daripada segi tenaga: “makan roti bijirin penuh membantu kamu bermain lebih lama”.

– Berkongsi fakta menyeronokkan dengan kanak-kanak lebih besar: “ikan mempunyai jenis lemak istimewa yang dipanggil omega-3 yang menjadikan kita lebih bijak”.

6. Libatkan kanak-kanak ketika memasak

Cetuskan minat kanak-kanak terhadap makanan sihat dengan melibatkan mereka dalam penyediaan makanan.

Biarkan mereka memilih resipi dan melakukan tugas yang sesuai dengan umur seperti mengadun dan mencencang.

Apabila kanak-kanak membantu menyediakan hidangan, mereka berasa bangga dengan usaha mereka dan kajian menunjukkan mereka lebih cenderung mencuba apa yang telah mereka hasilkan.

Ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membentuk tabiat, jadi jangkakan tentangan sepanjang perjalanan.

Tetapi dengan ketekunan, kita boleh mengalihkan minat kanak-kanak terhadap makanan yang diproses ke arah pilihan lebih sihat, membantu mereka mewujudkan tabiat pemakanan baik sepanjang hayat.

Nick Fuller ialah Pengarah Ujian Klinikal di Jabatan Endokrinologi, Hospital RPA, Universiti Sydney. Beliau penulis buku, ‘Healthy Parents, Healthy Kids – Six Steps to Total Family Wellness’. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam ‘The Conversation’ iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg