Nasib menyebelahi peserta Gegar Vaganza 11 (GV11), Fairuz Selamat.
Setiap kali beliau ada di tangga terbawah dengan peratusan markah yang rendah, setiap kali itu, pihak penerbitan Astro mengambil keputusan untuk tidak mengadakan penyingkiran peserta.
Fairuz, 39 tahun, sekali lagi terselamat daripada tersingkir pada konsert minggu kesembilan pada 19 Januari, dengan markah 55.54 peratus.
Beliau yang menyanyikan lagu Jepun, Mirai E, yang digabungkan dengan lagu Jawa, Sayang, malahan, sempat bergurau bahawa nama bapanya iaitu ‘Selamat’ menyelamatkan keadaan dan merupakan satu keberkatan.
“Saya tak tahu apa yang menjadi masalah walaupun saya sudah bersedia untuk disingkirkan bila-bila masa.
“Saya menilai prestasi dari segi suara saya tetapi pihak penerbitan dan juri mungkin tengok aura persembahan, gerak mata dan ‘rating’ (penilaian) dari segi aspek lain juga.
“Ini bermakna masih banyak yang saya perlu belajar dan masih nak gali lagi. Keputusan tidak tersingkir ini adalah sesuatu di luar dugaan saya.
“Apabila lagu peringkat suku akhir diumumkan, saya pun tak jangka itu lagu saya,” jelas Fairuz, ketika ditemui media seberang di sidang media selepas konsert minggu kesembilan di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tamat.
Menurutnya lagi, beliau berdiri atas nama peminat dan menjadi bersemangat apabila mereka memberinya tepukan dan sorakan yang membangkitkan keinginan untuk buat yang terbaik.
“Apabila dua kali saya terselamat meskipun berada di tangga terbawah, saya kira Tuhan masih beri saya ruang untuk beraksi.
“Tapi saya kecewa sebab kecewakan mereka,” jelasnya dengan nada sedih.
Ketua juri, Datuk Ramli MS, pula berkata persemahan Fairuz jauh lebih baik daripada persembahan sewaktu latihan.
“Tapi pastinya kalau dibandingkan dengan yang lain, dia masih berada pada tahap persembahan yang rendah.
“Kalau tanya saya situasi dia terselamat dua kali, saya susah nak kata. Kalau ikutkan penilaian juri, memang tiada ruang untuk terselamat.
“Tapi pihak penerbitan yang buat keputusan tak nak singkirkan sesiapa. Saya sendiri tak tahu begitu format yang diambil,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg