Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syafinaz sudah tinjau rumah warga tua untuk masa depan

Jan 20, 2025 | 6:00 PM
Datuk Syafinaz Selamat tidak risau untuk teruskan hidup membujang.
Datuk Syafinaz Selamat tidak risau untuk teruskan hidup membujang. - Foto ASTRO

Sejurus usianya mencecah 52 tahun pada 11 Januari lalu, juri tetap Gegar Vaganza 11 (GV11), Datuk Syafinaz Selamat, diusik pula pihak media mengenai jodoh dan masa depannya.

Guru vokal dan penyanyi itu menjelaskan beliau sudah terfikir tentang sisa usia yang barangkali akan dihabiskan di rumah penjagaan orang tua. 

Baginya, rumah penjagaan warga emas sekarang bukan seperti dahulu dan beliau sendiri pernah meninjau kemudahan yang disediakan.

“Saya terfikir dan telah tinjau rumah orang tua yang mungkin saya boleh masuk suatu hari nanti. Sebab rumah orang tua zaman sekarang ‘best’. Bukan macam kita tengok dulu-dulu.

“Jadi, saya tidak menidakkan kemungkinan yang saya akan masuk rumah orang tua suatu hari nanti,” katanya diselangi gelak ketawa, kepada laman Kosmo! Online.

Ditanya mengapa tidak mencari teman hidup sahaja agar dapat menjadi peneman meniti hari tua, pelantun lagu Ingin Bersamamu itu berhujah, perkahwinan mungkin akan membuatnya bertambah pening kepala. 

“Ramai orang asyik bertanyakan soal jodoh sejak hari pertama saya bergelar penyanyi sehinggalah hari ini. 

“Tetapi saya nak kongsikan suatu kisah yang saya tak pernah ceritakan kepada sesiapa pun. Allahyarham Datuk Sharifah Aini pernah beritahu saya, tak payah kahwinlah.

“Katanya, jika saya berniat untuk berkahwin, saya patut berkahwin dengan seseorang dari negara Barat, kalau tidak, tak payah kahwin katanya,” kongsinya. 

Syafinaz juga tidak pernah menganggap kata-kata biduanita Sharifah Aini itu sebagai sesuatu yang harus diambil serius pada masa itu kerana baginya, jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan.

“Jodoh di tangan Tuhan. Kalau Dia kata tak ada, maka tiada tetapi kalau Dia kata ada, saya terima. 

“Buat masa ini, berkahwin bukanlah keutamaan dalam hidup saya. Kalau ada lelaki yang sesuai dan senang mata memandang, saya okey, tiada masalah.

“Yang penting, dia perlu faham saya dan tidak meletakkan had tentang apa yang saya mahu lakukan dalam hidup,” jelasnya.

Mengenai susuk tubuhnya yang langsing dan wajahnya yang masih tegang, pasti ramai yang mencemburui bentuk fizikal yang dimiliki Syafinaz. Malah ada yang menggelarnya sebagai ‘vampire’ (puntianak) kerana tidak makan usia. 

Namun, kata Syafinaz, apa yang dimilikinya sekarang adalah hasil penjagaan diri merangkumi cara pemakanan dan senaman.  

“Penjagaan tubuh dan mental sangat penting. Tak mungkin dengan hanya berfikir untuk sentiasa kelihatan muda anda akan menjadi muda, perlu disulami tindakan. 

Pada saya, pemakanan yang seimbang sangat penting. Begitu juga dengan fikiran yang positif. Kalau nak kekal kelihatan muda, minda dan hati kena sentiasa muda. Perlu jalani hidup dengan gembira. 

“Cuma kini saya lebihkan pengambilan protein kerana sekarang saya amalkan senaman angkat berat. 

“Pada usia begini, kekuatan otot sangat penting. Orang selalu fikir nak kurus, nak cantik dan muda. Tetapi untuk saya semua itu jatuh nombor dua. Yang paling utama adalah kesihatan. 

“Bila kita kuat, lebih senang untuk bekerja, tak perlulah nanti bila dah tua nak kena ada orang tolong angkatkan beg,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg