Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peserta harus lebih yakin dengan potensi, tidak gentar

Sesiapa sahaja boleh juarai ‘GV11’ walau Liza Aziz lebih cemerlang
Jan 15, 2025 | 5:30 AM
Kumpulan The Lima yang terdiri daripada (dari kiri) Taura, Bony dan Arif, mengejutkan ramai apabila berjaya merebut tempat pertama dalam konsert minggu kelapan bahkan mengatasi juara mingguan sebanyak lima kali, Liza Aziz.
Kumpulan The Lima yang terdiri daripada (dari kiri) Taura, Bony dan Arif, mengejutkan ramai apabila berjaya merebut tempat pertama dalam konsert minggu kelapan bahkan mengatasi juara mingguan sebanyak lima kali, Liza Aziz. - Foto ASTRO

Walaupun bintang legenda bersuara emas, Liza Aziz, yang berdarah seni, sudah pun meraih gelaran juara mingguan sebanyak lima kali dalam peraduan realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11), peserta lain tidak boleh diburu kebimbangan sehingga menjejas keyakinan diri.

Sebaliknya, mereka harus yakin mereka memiliki kekuatan tersendiri dan harus gagah mengharungi setiap pusingan dengan gigih berlatih dan cuba keluar dari zon selesa yang biasanya menjadi sandaran.

Itulah yang saya rasakan selepas menyaksikan persaingan sengit GV11 di pentas auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lapan minggu berturut-turut sejak lewat November 2024.

Hanya kerana Liza, 61 tahun, sering mendapat tempat pertama bahkan meninggalkan jauh peserta di tangga kedua dengan peratusan mata hampir 10 peratus, ini tidak bermakna ia merupakan perkara yang akan dijangka berlaku setiap minggu.

Bahkan, pada konsert minggu kelapan pada 12 Januari, Liza berada di tangga kedua dengan 74 peratus dengan mendendangkan lagu ‘berhantu’ Ernie Zakri, Masing Masing.

Sebaliknya, keharmonian kumpulan dari Indonesia, The Lima, yang menyanyikan lagu Datuk Seri Rossa, Aku Bukan Untukmu, menarik perhatian juri, sehingga mereka secara mengejut, dinobatkan sebagai juara mingguan dengan markah 74.4 peratus.

Berbekal tema ‘Kengkawan’, lapan peserta perlu menyanyikan lagu yang dipilih saingan mereka.

Saya lihat kelebihan setiap peserta dalam menyampaikan sebaik mungkin tugasan lagu yang diberi rakan mereka.

Taufani Rahadian (Taura), 41 tahun, Bony Adam (Bony), 44 tahun, dan Arif Topan Sanjaya (Arif), 39 tahun, daripada kumpulan The Lima, menunjukkan peningkatan setelah saban minggu ditegur kerana gagal mencapai keserasian harmoni suara yang enak didengar juri.

Bagaimanapun, kali ini, dengan berpakaian seperti jejaka Korea, mereka mampu seiring sejalan menyampaikan jalan cerita cinta yang sedih dan menghambat jiwa untuk dikongsi bersama penonton.

Bony yang selalu ditegur kerana merupakan vokalis paling lemah dalam kalangan trio itu juga mendapat pujian daripada juri tetap, Hetty Koes Endang, 67 tahun, yang melihat usaha cef sepenuh masa itu menggilap vokalnya untuk disetarakan dengan suara rakan-rakannya.

Saya tertarik dengan komen seorang lagi juri, Datuk Syafinaz Selamat, 52 tahun, mengenai kebolehan satu-satunya peserta yang menyanyikan dua lagu Misha Omar serentak, Sheila Abdull.

Medley lagu Dedebu Cinta dan Bunga-Bunga Cinta dilontarkan dengan begitu baik tetapi Sheila, 36 tahun, masih kelihatan kurang yakin dengan potensi sebenarnya untuk memberi yang terbaik di pentas itu.

Katanya: “Sheila, siapa pesaing terbesar anda? Jangan namakan banyak sangat. Saya hanya mahu tahu siapa. Liza Aziz?

“Sesiapa sahaja boleh jadi juara sebenarnya walaupun Kak Liza dah menang lima kali dalam konsert mingguan.

“Dari awal peraduan lagi, saya tahu Sheila mempunyai kebolehan yang selama ini orang tak nampak. Awak perlu yakin dan jangan teragak-agak. Saya tahu masih ada lagi yang awak simpan dan belum cukup yakin lontarkan.”

Jangan katakan Sheila yang dianggap peserta paling muda GV11 yang kelihatan tercabar dek kehadiran Liza dan kebolehan vokalnya yang luar biasa.

Saya lihat Ning Baizura, 49 tahun, yang berada di tangga ketiga dengan markah 73.6 peratus pun rasanya macam masih simpan banyak lagi aset seni suara yang beliau miliki.

Beliau yang menyanyikan lagu Anuar Zain, Keabadian Cinta, melihat Liza sebagai idolanya dan saingan terdekat tetapi selepas itu akur tidak lagi melihat faktor saingan itu kerana lebih menghormati penyanyi legenda itu sebagai artis tiada tandingannya.

Sewaktu ditanya mengenai perkara ini dengan beberapa peserta lain seperti Sheila, The Lima dan Dadali Dyrga mampu mengatasinya di peringkat akhir, Liza agak ‘chill’ dan menjawab pada sidang media di MBSA:

“Saya beri yang terbaik bagi setiap pusingan. Apa pula peserta lain nak rasa takut dengan saya?

“Kita sama-sama berusaha. Kalau ada yang katakan saya akan ‘makan’ Sheila dalam pusingan duet pada minggu kesembilan nanti menerusi lagu, Di Akhir Garisan, tak adalah sebab Sheila juga penyanyi yang baik.

“Saya lebih gementar sebab ini lagu Ning Baizura. Kami akan nyanyi di depannya nanti. Harap-harap lagu ini kekal merdu.

“Macam hari ini The Lima menang. Saya tonton persembahan mereka. Memang bagus.”

Arif dari The Lima pun bagaikan tidak percaya kumpulannya mampu menyaingi Liza dan berada di tangga pertama pada minggu kelapan pertandingan GV11.

“Kami bersyukur dan terkejut sebenarnya. Macam tak percaya mengatasi Kak Liza dan juri semua okey dengan suara kami serta ada peningkatan dalam prestasi Bony,” ujarnya.

Adat pertandingan memang ada kalah dan ada yang menang.

Bagi pusingan ‘Mendunia’ pada 19 Januari ini, apabila peserta diuji dengan lagu Korea, Jepun, Arab dan Sepanyol, diharapkan prestasi mereka akan lebih meningkat dengan keyakinan diri yang lebih menyerlah.

Cuma penonton macam saya yang seronok amati lirik terpaksa buat kajian dahulu untuk memahami isi cerita lagu-lagu asing yang disajikan ya?

Kalau tak, setakat nikmati iramanya sahajalah tanpa memahami apa yang disampaikan. Kurang seronok pula.

‘GV11’ disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam setiap Ahad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg