Di tengah-tengah keretakan mahligainya bersama pelakon filem Magika, Diana Danielle, pelakon Farid Kamil mengumumkan bakal melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, pada Mac sekiranya permohonan diterima.
Teraju utama filem biopik, Anwar: The Untold Story itu, turut menyatakan bahawa langkah menyambung pengajian adalah sebahagian sasarannya pada 2025.
Bagaimanapun, Farid, 44 tahun, enggan mendedahkan bidang pengajian yang bakal diambil sebelum statusnya sebagai pelajar di pusat pengajian tinggi awam (IPTA) itu disahkan.
“Saya akan meningkatkan pelajaran saya ke peringkat sarjana dan seterusnya ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Proses melanjutkan pengajian sudah dibuat, di mana saya kemukakan permohonan ke UM.
“Jika tiada halangan, saya akan mulakan pengajian pada Mac ini (2025).
“Pendaftaran pun sudah dibuat, tetapi saya perlu rahsiakan dulu mengenai bidang pengkhususan pengajian yang akan diambil.
“Ini kerana permohonan masih diproses lagi.
“Sekiranya sudah diterima masuk, saya akan uar-uarkan,” lapor Farid kepada Berita Harian Malaysia (BHM) ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem terbarunya, Hukum Kifarah.
Apabila ditanya sebab utama melanjutkan pengajian, Farid mendakwa beroleh inspirasi selepas menghadiri Program Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Malaysia.
“Dalam program itu, UiTM panggil 100 alumni terbaik sepanjang zaman.
“Apabila mereka menyertai program itu, ada penuntut seusia, lebih berumur dan lebih muda.
“Kebanyakan mereka mempunyai ijazah sarjana dan PhD, tetapi hanya saya sahaja dengan ijazah sarjana muda.
“Sepulang daripada program itu, saya fikir sudah agak ketinggalan banyak perkara dalam hidup yang sepatutnya saya capai lebih awal, namun, saya pilih untuk jadi pelakon profesional terlebih dahulu,” tambahnya.
Sementara itu, Farid terpaksa menolak tawaran menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti swasta di Malaysia kerana menganggap dirinya belum layak.
“Saya fikir masih belum mampu untuk memberi ilmu pengetahuan secara spesifik kepada pelajar.
“Pada pendapat saya, selagi masih belum ada ijazah sarjana atau PhD, saya tidak fikir kelas itu akan berkesan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg