Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘Bila Esok Ibu Tiada’ bawa reaksi berbeza, berdasar pengalaman diri

Jan 11, 2025 | 5:30 AM
Christine Hakim (kiri), selaku ibu yang penyayang, Rahmi, dibelenggu emosi sedih dek kematian suami sehingga jatuh sakit. Anak bongsunya, Hening (lakonan Yasmin Napper), sering bersama dengannya ketika adik-beradik lain sibuk.
Christine Hakim (kiri), selaku ibu yang penyayang, Rahmi, dibelenggu emosi sedih dek kematian suami sehingga jatuh sakit. Anak bongsunya, Hening (lakonan Yasmin Napper), sering bersama dengannya ketika adik-beradik lain sibuk. - Foto LEO PICTURES

Air mata penonton di pawagam Indonesia mencurah-curah, tersentuh dengan jerih payah seorang isteri yang kehilangan suami yang selama ini menjadi tempat untuknya bergantung harap.

Ini disingkap dalam beberapa video tular di TikTok, yang saya tonton sekitar November ketika filem, Bila Esok Ibu Tiada, ditayang di pawagam serata Indonesia.

Ibu bernama Rahmi (lakonan Christine Hakim) itu kemudian menyusul pergi selepas terasa pening dan terjatuh sehingga kepalanya terhempap ke lantai dek penyakit vertigo yang melandanya.

Pemergiannya menyahut seruan Ilahi benar-benar menyentak nadi empat anaknya, Ranika (Adinia Wirasti); Rangga (Fedi Nuril); Rania (Amanda Manopo); dan Hening (Yasmin Napper) yang bertelagah dan menyesali mereka kadangkala mengabaikan keperluan ibu mereka.

Pastinya apabila menyaksikan video berkenaan, saya teruja menanti tayangannya di pawagam Singapura meskipun perlu menanti hingga 2 Januari untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, saya akui lakonan pelakon veteran seperti Christine dan pelakon mapan yang meningkat naik namanya dalam kalangan generasi milenial, Adinia, tidak diragui kehebatannya.

Apa yang membuatkan saya lebih teringin menyaksikan filem ini adalah pengalaman peribadi kehilangan ibu yang meninggal dunia tiga hari sebelum Syawal diraikan pada 22 April 2023.

Bagi saya, ukur tara sebuah filem itu hebat adalah apabila ia dapat menyentuh perasaan saya hingga berjurai air mata dek rasa sebak yang mengasak jiwa.

Saya mengajak dua teman yang senasib dengan saya, iaitu meratapi pemergian ibu mereka.

Yang seorang kehilangan ibu yang mengalami masalah ginjal kronik pada hari lahir ibunya pada 2022, manakala yang seorang lagi sudah 15 tahun hidup tanpa kasih sayang ibu setelah ibunya meninggal dunia ketika usia teman saya baru sembilan tahun.

Pada penghujung filem itu, teman saya yang merupakan seorang lelaki, menangis tanpa henti sebab dapat mengaitkan dirinya dengan situasi genting adik-beradik kacau-bilau setelah ibunya meninggal dunia.

Kami yang perempuan masih ‘steady’ sahaja tetapi hairan mengapa kami tidak terasa untuk menangis meskipun rasa sebak singgah ke hati seketika sewaktu melihat si ibu, Rahmi, membawa diri ke kampung terpencil sewaktu kerinduan suaminya, Haryo (Slamet Rahardjo).

“Kak, kita okey ke tak ni? Mengapa tak menangis ya?” tanya teman saya.

Saya sendiri payah menjawab soalannya kerana tidak terlalu terkesan meskipun saya teringat detik-detik menyedihkan (seperti yang dialami empat beradik dalam filem ini) menerima hakikat ibu yang sering jadi tempat mengadu sudah pergi buat selama-lamanya.

Cukup berbeza keadaannya apabila saya menonton filem, Air Mata Di Ujung Sajadah, mengenai konflik emosi ibu kandung dan ibu angkat ketika berebut anak yang mereka sayangi.

Saya menangis hampir 20 minit sehingga tamat tayangan filem berkenaan. Hairan, sebab saya tidak mempunyai anak, apa lagi melalui situasi berebut anak tetapi dapat menyelami emosi yang dirasakan kededua ibu itu.

Bagaimanapun, teman saya yang tidak dapat menahan sebak menjelaskan beliau dapat mengaitkan dirinya dengan keadaan keluarga Rahmi.

Kecenderungan adik-beradik yang ramai menyalahkan satu sama lain di atas peristiwa kematian ibu itu memang lumrah berlaku.

Masing-masing akan berasa diri mereka tidak bersalah dan menuding jari kepada kakak, abang atau adik mereka yang kononnya mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu mereka.

Pada asasnya, filem ini menasihati penonton agar tidak mengabaikan orang tua selagi mereka ada bersama kita.

Jangan sampai mereka tiada, barulah kita nak menyesali kepergian mereka kerana kurang meluangkan masa bersama mereka atas sebab kesibukan kerja.

Bila Esok Ibu Tiada juga mencungkil isi hati seorang kakak, Ranika, yang lebih rela membujang dan menolak tepi cinta yang singgah di hatinya kerana perlu mencari rezeki untuk keluarga, khususnya adik-adik yang masih bersekolah.

Sebagai wanita berkerjaya dalam dunia pemasaran dan pengiklanan, beliau pernah diwawancara seorang wartawan yang menyindirnya kerana berstatus andartu.

Ia juga membentangkan kisah anak bongsu, Hening, seorang mahasiswa yang perlu mengetepikan kegiatan sosialnya, demi menjaga keperluan ibunya ketika abang dan kakaknya sibuk dengan tugas mereka.

Ada hal Rangga yang sibuk ingin membina nama dalam dunia muzik tetapi terlupa tentang tanggungjawab sebagai suami manakala adiknya, Rania, pula hampir difitnah mengambil dadah kerana bergaul dengan teman-teman berpengaruh negatif.

Bagi saya, Bila Esok Ibu Tiada, merupakan filem yang membawa banyak nasihat tentang kerukunan adik-beradik dan kepentingan menjaga hati dan keperluan ibu yang keseorangan.

Tapi sama ada anda akan terkesan sehingga menangis, ia bergantung pada pengamatan anda pada jalan ceritanya. Setiap orang, lain kesan emosinya, bukan?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg