SHAH ALAM: Selepas tujuh tahun, pasangan pelakon terkenal, Fattah Amin dan Nur Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Malaysia pada 7 Oktober.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34 tahun, melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada 9.45 pagi.
Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dengan Fazura atau nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 41 tahun.
Menurut laporan Berita Harian Malaysia, Fazura mendakwa isu curang dan lalai membayar nafkah sebagai punca perceraiannya dengan Fattah.
Memperincikan perkara itu, Fazura turut mendakwa disebabkan sikap tidak bertanggungjawab Fattah, hidupnya menjadi sengsara sehingga nekad untuk menuntut cerai.
“Keputusan ini diambil bukan sekejap. Sudah bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara dan sudah berfikir panjang.
“Selama ini, saya ambil pendekatan mengunci mulut demi menjaga aib saya, Fattah dan masa depan anak, Nur Fatima Aisya.
“Disebabkan banyak sangat spekulasi, ingin saya jelaskan di sini punca perceraian pertama disebabkan Fattah abaikan nafkah saya dan anak selepas sekian lama.
“Kami juga tiada persefahaman, sudah lama tidak bahagia. Saya tertekan, tetapi saya tetap bertahan.
“Alasan ketiga yang menyebabkan saya tidak boleh terima ialah Fattah berlaku curang terhadap saya.
“Saya ada bukti Fattah curang,” katanya dengan linangan air mata ketika ditemui pada prosiding kedua kes perceraian di mahkamah.
Fattah menafikan tuduhan bekas isterinya yang mendakwa beliau berlaku curang.
Menurut Fattah, beliau terkejut dengan tindakan Fazura yang membangkitkan perkara itu sebaik sahaja bercerai talak satu.
“Saya nafikan, malah peguam beliau pun sudah cakap tiada kes curang, kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan?
“Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya.
“Sedangkan kami sudah ada perjanjian bersama sebelum lafazkan talak,” katanya ketika ditemui.
Pada masa yang sama, Fattah menegaskan bahawa beliau dan Fazura sudah memeterai perjanjian untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan mana-mana pihak.
“Perjanjian kami, masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik. Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz cerai.
“Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu daripada Fazura. Saya sedih sebenarnya,” katanya.
Ditanya mengenai punca perceraian, Fattah memberitahu mereka sudah tiada persefahaman.
“Tiada persefahaman, itu sahaja. Berkenaan curang, peguam Fazura sudah nafikan. Tiada kes curang kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu. Itu yang saya sedih,” katanya.
Fattah meluahkan kekesalan apabila Fazura mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan tidak memberi nafkah.
Fattah menegaskan beliau mempunyai bukti transaksi bank yang menunjukkan beliau memberi nafkah kepada Fazura.
“Janganlah main sentimen ini. Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan.
“Kalau rasa tak cukup, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah, kerana sebagaimana yang kita semua tahu, nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan mengikut kemampuan,” katanya.
Pasangan selebriti itu berumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, empat tahun.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Halil Nasil, pengurus perhubungan acara dan artis bebas, yang pernah bekerjasama dengan pasangan artis itu enggan mengulas lanjut tentang kes perceraian mereka.
Namun, beliau berkata:
“Apa yang saya boleh katakan ialah mereka berdua bersikap sangat profesional apabila saya bekerjasama dengan mereka beberapa tahun lalu dan ia satu penghormatan untuk menyambut kedatangan mereka untuk acara saya di Singapura.”
“
“Keputusan ini diambil bukan sekejap. Sudah bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara dan sudah berfikir panjang. Selama ini, saya ambil pendekatan mengunci mulut demi menjaga aib saya, Fattah dan masa depan anak...”“
“Saya nafikan, malah peguam beliau pun sudah cakap tiada kes curang, kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan? Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya. Sedangkan kami sudah ada perjanjian bersama sebelum lafazkan talak.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg