Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fattah Amin menang Aktor Filem Popular ABPBH

Dec 17, 2025 | 4:07 PM
fattah amin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, ABPBH, amira othman
Kegigihan peminat membuahkan hasil apabila Fattah Amin dinobatkan sebagai Aktor Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Kemenangannya dalam kategori Aktor Filem Popular Yang Diharumkan Daia pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, sama sekali tidak dijangka pelakon utama filem Pendekar Awang; Darah Indera Gajah, Fattah Amin.

Lebih banyak menjayakan projek drama, Fattah mengakui langsung tidak meletakkan sebarang harapan membawa pulang trofi bagi kategori filem pada malam berprestij yang berlangsung pada 12 Disember.

Menurut Fattah, ketika ditemui media seusai acara, jika melihat kepada pencabarnya dalam senarai Top 5, peluang itu dirasakan lebih memihak kepada Syafiq Kyle yang memiliki deretan filem berbanding dirinya.

Namun, suami kepada penyanyi, Amira Othman, itu bersyukur dan berterima kasih kepada peminat kerana menghadiahkan kemenangan berkenaan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang menyokong saya dari dulu lagi.

“Mereka pernah menghadiahkan saya trofi Bintang Paling Popular pada ABPBH 30 dan alhamdulillah, malam ini saya menang lagi.

“Kita tahu ABPBH ini adalah anugerah undian peminat. Jadi, sebenarnya rezeki saya malam ini juga adalah rezeki buat peminat,” katanya.

Menurut Fattah, beliau amat terharu melihat kegigihan peminat yang tidak jemu mengundi siang dan malam, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Saya nampak usaha mereka yang tak jemu-jemu mengundi, siang dan malam dan saya juga melihat kegigihan mereka berkempen di media sosial.

“Jadi, sebenarnya anugerah malam ini adalah untuk peminat kami,” katanya.

Fattah secara jujur mengakui beliau tidak menjangkakan kemenangan itu memandangkan penglibatannya dalam filem tidak sebanyak pencabar lain.

“Sejujurnya, saya tak jangka menang kategori filem kerana saya tidak banyak berlakon filem seperti Syafiq Kyle.

“Tapi saya percaya ini semua rezeki dan hasil kegigihan peminat mengundi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fattah turut menitipkan ucapan tahniah kepada penyanyi Ernie Zakri yang dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Menurutnya, keputusan ABPBH sememangnya sesuatu yang sukar dijangka, namun beliau yakin peminat setiap artis yang dicalonkan bekerja keras demi kemenangan idola masing-masing.

“Kita tahu peminat kita memang mengundi, tetapi kita tidak tahu bagaimana pula kegigihan peminat artis lain.

“Jadi, saya lihat finalis Bintang Paling Popular kali ini semuanya kuat. Bagi saya, malam ini memang rezeki Ernie dan saya tumpang gembira,” katanya.

Sebagai rakan dalam industri, Fattah berkata beliau berbangga melihat kejayaan rakan-rakan seperjuangan yang turut mencipta nama.

Pada malam sama, Fattah turut memenangi trofi Artis Kontroversi Popular.

Ini adalah kemenangan ketiga Fattah bagi kategori berkenaan selepas pernah menggenggam trofi sama pada edisi ke-32 dan ke-34.

Pada ABPBH 30, selain Pelakon TV Lelaki Popular, Fattah turut memenangi kategori Gandingan Serasi Drama Popular bersama Neelofa dan Artis Sensasi Popular.

Populariti pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Playboy Itu Suami Aku pada 2013 itu kembali melonjak selepas perceraian dengan pelakon Nur Fazura pada 2024, sebelum berkahwin dengan Amira Othman pada 14 September lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg