Tahun 2025 membawa tuah berganda buat pelakon dan pengacara popular, Qi Razali, atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali, baik dari segi peribadi mahupun kerjaya.
Pada usia 48 tahun, bintang filem, Babah, itu bukan sahaja menamatkan zaman bujangnya, malah bakat lakonannya semakin menyerlah dan diiktiraf dalam industri seni Malaysia.
Lakonan Qi sebagai Isyak, bapa yang mengalami masalah pendengaran dalam filem Babah, meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan penggiat seni.
Keberkesanan watak itu turut membuka ruang buatnya membolosi pencalonan akhir Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37.
Di FFM34, Qi tersenarai antara lima calon terbaik bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Manakala di ABPBH 37, pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit itu tersenarai dalam kategori Aktor Filem Popular 10 Terbaik.
“Iya, tahun ini (2025) memang manis buat saya.
“Tetapi, pada masa sama, penuh ujian yang tidak ramai orang tahu.
“Saya bukan suka berkongsi hal peribadi kecuali perkara yang saya fikir wajar dikongsi.
“Cerita sedih terakhir yang orang tahu mengenai saya mungkin ketika kehilangan ayah dulu.
“Tetapi, selain itu, 2025 memang istimewa kerana saya berkahwin, dicalonkan pada FFM34 dan kini tersenarai dalam ‘Top 10’ ABPBH 37.
“Mula-mula tengok senarai awal ABPBH37 ada 20 calon, saya fikir susah hendak lepas sebab ada nama besar seperti Fattah Amin.
“Tetapi apabila dapat tahu nama saya bolos ‘Top 10’, saya betul-betul terkejut dan bersyukur kerana Babah beri kesan besar,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Qi mengakui tidak pernah menyangka naskhah Babah dan lakonannya mampu melonjakkan namanya ke carta populariti.
“Alhamdulillah, orang menghargai perjalanan seni saya dengan mengundi saya dalam kalangan ramai calon popular.
“Sebenarnya, saya anggap diri saya ‘underdog’ (tidak ternama).
“Dalam dunia lakonan, nama besar seperti Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad dan ramai lagi jauh lebih berpengalaman.
“Kalau tiga tahun lalu (2022), orang cakap Qi Razali akan masuk FFM, memang tak terbayang pun.
“Tetapi, saya percaya karya seni yang jujur boleh membuktikan kemampuan kita. Babah jadi bukti dan rezeki saya tahun ini (2025),” katanya.
Menurut Qi, meskipun tidak mengharapkan kemenangan, peluang tersenarai bersama pelakon hebat lain sudah cukup membanggakan bagi dirinya.
Di samping itu, pemain dram kumpulan OAG itu turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan padu isterinya yang juga seorang jurusolek, Wardah Hayati, yang tidak pernah jemu mengundi Qi setiap hari.
Pasangan merpati dua sejoli itu telah mendirikan rumah tangga pada 25 Mei lalu, di Gopeng, Perak, Malaysia.
“Saya pernah nampak dia tersengih seorang diri masa makan. Rupanya, dia tengah mengundi saya. Comel betul!
“Dia pun terkejut saya dapat ‘lepas’ ke ‘Top 10’ sebab katanya, ‘Kawan-kawan saya (Qi) saja yang undi!,” seloroh Qi.
Dalam perkembangan lain, Qi akan membintangi filem seram sulungnya berjudul, Pemuja, terbitan MIG Productions.
“Saya dah selesai penggambaran sebelum kahwin lagi, tapi tak pasti bila akan ditayangkan.
“Ini kali pertama saya berlakon filem seram, sesuatu yang di luar zon selesa saya.
“Mula-mula berat hati nak terima (tawaran) sebab penat.
“Tapi selepas jumpa pihak penerbitan, saya setuju.
“Apabila menonton sedutan filem itu, saya rasa puas hati sebab mereka ambil masa untuk hasilkan yang terbaik,” tambah Qi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg