Pelakon Fattah Amin bukan sahaja dipanggil ‘Duta Hot’ selepas berpisah daripada isterinya, pelakon Nur Fazura Sharifuddin.
Rezekinya juga dilaporkan melimpah ruah selepas perpisahan yang menarik perhatian banyak pihak dan pelbagai lapisan peminat.
Ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM), Fattah, 34 tahun, berkata beliau setakat menjalankan amanahnya dan bersyukur atas rezeki yang diraih.
Pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-30 itu menyedari semuanya datang dengan satu tanggungjawab besar yang harus dilunaskan sebaik mungkin.
“Rezeki ini sudah tertulis dan ia perkara yang saya tak tahu seperti yang sering saya cakap seperti ajal dan jodoh.
“Alhamdulillah, saya pun tak sangka rezeki sangat murah sekarang. Apa yang patut saya buat adalah bersyukur dengan rezeki Allah beri ini,” katanya.
Beliau juga cuba mengelak menjadi tamak dan hanya bersetuju untuk menerima sesuatu tawaran jika ia bersesuaian dengan prinsip yang dipegang.
“Tak juga (terima semua). Saya tengok juga dari segi jenama dan latar belakang produk termasuk dari segi komitmen.
“Saya cuba elakkan produk lebih kurang sama sebab saya tak nak ada masalah pada kemudian hari. Syarikat pengurusan saya juga begitu menitikberatkan jenis produk untuk kerjasama ini,” ujarnya.
Disebabkan tawaran kerja yang datang bertimpa-timpa, Fattah memaklumkan jadualnya padat hingga Februari 2025.
Dalam pada itu, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu turut berkongsi tentang keadaan tubuhnya yang sedikit susut sebelum ini.
“Mungkin juga disebabkan sibuk bekerja. Makan pun tak teratur. Tubuh saya susut sebanyak tiga kilogram,” jelas Fattah.
Sementara itu, mengulas momen pertemuan dengan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berada di bawah jagaan bekas isteri, Fattah akui seronok dapat menghabiskan masa dengan puteri kesayangannya itu.
“Fatima sangat ‘happy’ dapat jumpa ‘daddy’. Saya dapat luangkan masa dengannya, bawa jalan-jalan dan belikan permainan.
“Alhamdulillah, terubat juga kerinduan ini,” ungkap Fattah sambil tersenyum.
Mengulas mengenai sokongan tidak putus-putus diterima selepas melalui episod duka, aktor tinggi lampai itu meluahkan rasa terharu dengan kata-kata pembakar semangat yang diberikan.
“Saya terharu dengan sokongan luar biasa terutama peminat yang tidak jemu-jemu mendoakan yang baik-baik.
“Bila sentiasa bercakap perkara positif, sebenarnya ia akan jadi refleks diri sendiri juga. Bila doakan yang baik-baik terhadap orang dan Allah nampak, insya-Allah saya juga akan dapat ganjarannya,” ujar pelakon drama rantaian Hero Seorang Cinderella ini.
Baguslah kalau Fattah telah meraih semangat baru di sebalik segala kedukaan dan tekanan yang dilalui.
Peminatnya pun tumpang gembira dengan harapan lebih banyak kerja seni dapat dihasilkan Fattah yang berpotensi tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg