Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fattah, Fazura tidak tahu menahu duet ‘Bertahan Demi Cinta’ dilancar 10 Okt

Oct 9, 2024 | 2:10 PM
Single terbaru Fattah Amin dan bekas isteri, Fazura, berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’ difahamkan akan dilancarkan pada 10 Oktober.
Single terbaru Fattah Amin dan bekas isteri, Fazura, berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’ difahamkan akan dilancarkan pada 10 Oktober. - Foto FB ADAM RON SHARE

KUALA LUMPUR: Di tengah sensasi isu perceraian pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, timbul pula kisah single duet mereka yang berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’, bakal dilancarkan pada 10 Oktober.

Pengurus Fattah, Sakirin Acha atau ‘Acha’, menyangkal dakwaan warganet terhadap Fattah yang dituduh memanfaatkan isu perceraian sebagai gimik untuk mempromosikan single tersebut.

Menurut laporan Harian Metro Online pada 8 Oktober, Acha mendakwa pihaknya tidak tahu-menahu tentang pelancaran single ini yang dinyatakan bakal dilancarkan pada 10 Oktober.

“Sewaktu saya menghubungi Fattah, beliau memaklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet terbabit.

“Saya ingin tegaskan bahawa perceraian ini bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet. 

“Sayalah orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu sekarang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fattah, 34 tahun, menyatakan single duet itu sudah lama dirakam dan pernah menjadi salah satu runut bunyi dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2.

Penggambaran video muzik juga sudah lama dirakam di Indonesia sejak Februari 2024.

“Cuma tidak sangka pula single ini dilancarkan sekarang hingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak berasas. 

“Jadi, saya harap warganet berhenti membuat spekulasi tidak benar,” tambahnya lagi.

Acha turut mengesahkan bahawa Fattah sedang berada dalam keadaan yang baik dan yakin beliau kuat menghadapi dugaan ini.

Ditanya Utusan Online pada 9 Oktober pula, pengurus Fazura, Iman Tang, mengatakan:

“Pihak kami juga tidak tahu ia akan dilancarkan esok (10 Oktober). Jika kami tahu, pastinya kami akan halang perkara itu daripada berlaku. Lagipun, masanya kurang sesuai apatah lagi dengan tajuk lagu single yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sekarang,”

Sebelum ini, sebuah syarikat rakaman Indonesia, HitsRecords, dilapor memuat naik video promosi di laman Instagram, memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single berkenaan di semua wadah penstriman digital pada 10 Oktober.

Pada 7 Oktober, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari, selepas tujuh tahun hidup sebagai suami kepada Fazura.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang berusia empat tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg