Selepas dua perkahwinan berdepan episod perceraian, penyanyi senior, Fauziah Latiff, mengakui masih belum membuka pintu hati untuk kembali menerima insan baru dalam hidupnya.
Fauziah atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 55 tahun, berkata tumpuan utamanya mahu menjaga ibu yang sudah lanjut usia.
Beliau menyifatkan ibunya adalah insan paling penting dalam hidup dan mahu terus menabur bakti selagi hayat masih dikandung badan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Alhamdulillah, saya selesa dengan keadaan sekarang sebab kalau nak fikir mengenai perkara itu, diri sendiri pun tak terjaga. Apatah lagi, kalau nak menjaga orang pula.
“Sekarang, saya gembira Alhamdulillah. Saya menjaga mak, itu tanggungjawab sebagai anak kerana dia juga nyawa saya.
“Ini adalah giliran saya untuk menjaga mak. Kalau nak fikir perkara lain, nanti dululah. Saya rasa belum masanya lagi,” katanya ditemui selepas tampil sebagai penyanyi undangan menerusi Konsert JessC X Fauziah Latiff di Arena of Stars pada 28 Mei.
Penyanyi yang popular dengan lagu, ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’, itu berkata beliau mahu memperbaiki diri dan mencari ketenangan dengan melakukan hal-hal positif.
“Untuk masa sekarang, saya percaya masih banyak perlu perbaiki termasuk mengenali diri dan persekitaran. Jadi, sebab sekarang sudah akhir zaman.
“Apa-apa yang boleh buat saya untuk terus positif dan tenang, saya akan memilih jalan itu. Macam sekarang, saya banyak menjaga mak kerana dia adalah nyawa saya, maksudnya dia segala-galanya.
“Saya bersyukur dengan perkara itu, malah, boleh katakan sebagai penyelamat,” jelas ibu kepada dua anak itu.
Pada masa sama, Fauziah berkongsi fasa sekarang juga adalah waktu untuk dirinya lebih menghargai diri, selain meminta orang ramai untuk terus mendoakan yang terbaik buatnya.
“Kita tak tahu usia sampai bila, jadi ia jadi peringatan kepada diri untuk lebih menghargai. Jadi, perlu terus menghargai diri sendiri dan saya juga minta untuk doa baik-baik kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Anak muda sekarang pun ramai yang sudah mengalami banyak masalah kerana tak boleh sesuaikan diri dengan keadaan semasa. Saya fikir perlu kuatkan psikologi sendiri dan jadikan apa berlaku di sekeliling sebagai peringatan.
“Kita memang ada masa buat kesilapan, tapi dengan kita boleh tahu apa yang perlu dielak pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Fauziah pernah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992, namun bercerai selepas tiga tahun.
Selepas lima tahun berstatus solo, Fauziah berkahwin buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Johan Indot, di London, tetapi bercerai pada 2007.
Hasil perkahwinan kedua, Fauziah dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Jeffri Joaquim, 26 tahun, dan Jeremy Jay, 24 tahun.
Sementara itu, kemunculan Fauziah di Konsert JessC X Fauziah Latiff disambut dengan sorakan gemuruh peminat.
Menerusi konsert, Fauziah mempersembahkan lagu ‘Tak Terpisah’ secara duet bersama JessC, diikuti dua lagi lagu, iaitu ‘Dia’ dan ‘Sekilas Senyumanmu’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg