Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fauziah Latiff duet dengan penyanyi Cina dalam ‘Tak Terpisah’

May 16, 2025 | 6:29 PM
Penyanyi mapan Malaysia, Fauziah Latiff bersama pasangan duetnya, penyanyi yang menempa nama di Australia, JessC dalam lagu ‘Tak Terpisah’ yang dilancarkan pada 2 Mei.
Penyanyi mapan Malaysia, Fauziah Latiff bersama pasangan duetnya, penyanyi yang menempa nama di Australia, JessC dalam lagu ‘Tak Terpisah’ yang dilancarkan pada 2 Mei. - Foto BHM

Perkenalan selepas menjayakan konsert bersama kira-kira 10 tahun lalu, meyakinkan penyanyi mapan Malaysia, Fauziah Latiff, 54 tahun, menerima pelawaan, penyanyi yang menempa nama di Australia, Jessie Chung atau JessC merakamkan lagu duet berjudul Tak Terpisah.

Fauziah atau nama sebenar, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff yang sudah lebih tiga dekad bertapak dalam dunia seni, sangat gembira berpeluang bekerjasama dengan JessC.

“Sebenarnya, kerjasama ini terjadi dengan cepat, iaitu selepas kami kembali berhubung. JessC bertanya mengenai lagu duet dan apabila dengar lagu ini, saya tersentuh.

“Boleh dikatakan projek bersama JessC ini istimewa sebab lagu ini berkisar mengenai persahabatan. Jadi, ia membuatkan saya lebih menghargai.

“Kali pertama mendengar Tak Terpisah saya mengalirkan air mata. Lagu ini ada ‘jiwa’.

“Jadi, saya cuba yang terbaik untuk menyampaikan untuk semua,” katanya pada majlis pelancaran album Melayu JessC berjudul Dekati di Shah Alam, baru-baru ini.

Album itu memuatkan enam lagu baru termasuk Tak Terpisah.

Tambah Fauziah, beliau sangat menghormati cara JessC bekerja hingga memberi inspirasi kepadanya untuk terus menyanyi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Saya tengok beliau bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Ketika menjayakan lagu dan video muzik ini, saya sangat terpegun dengan kegigihannya. 

“Beliau memberi sokongan untuk saya melakukan yang terbaik. Ini adalah projek kerjasama yang bagus kerana memberi tenaga yang bagus buat saya dan kerjaya ini,” katanya.

JessC yang berasal dari Sarawak mengaku sudah lama menyimpan impian bekerjasama dengan Fauziah.

“Ketika menyanyi bersama pada sebuah konsert kira-kira 10 tahun lalu, saya ada bercakap dengan Kak Fauziah mengenai lagu duet. Saya tunggu lama sebab beliau sibuk.

“Saya mengaku tidak mudah untuk meyakinkannya. Selepas saya balik dari Australia, beberapa bulan lalu, saya gembira apabila beliau setuju.

JessC juga gembira Fauziah bersetuju untuk tampil pada konsert solo di Arena of Stars, Genting Highlands, akhir bulan ini.

“Kak Jee akan nyanyikan tiga lagu. Sudah tentu beliau akan menyanyikan lagu kegemaran saya, iaitu Dia pada konsert itu nanti,” katanya.

JessC yang menetap di Gold Coast, Australia berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai penyanyi tempatan.

“Saya membesar di Kanada dan Amerika Syarikat. Sekarang, saya menetap di Australia, namun masih warganegara Malaysia. 

“Saya selalu pulang ke sini dan berjumpa keluarga serta peminat. Saya dilahirkan di Malaysia dan sukakan bahasa Melayu,” katanya.

JessC cenderung menghasilkan muzik yang berperanan sebagai terapi. Beliau juga pemegang ijazah perubatan Cina dan Western Integrative Medicine-Oncology dari Guangzhou University of Chinese Medicine di China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg