Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fauziah Latiff masih belum berani pentas konsert solo

Setiap tahun, penyanyi lagu hit ‘Dia’ terima lamaran penganjur konsert M’sia tetapi minta mereka tunggu dulu
May 3, 2025 | 3:34 PM
Walaupun hampir setiap tahun menerima tawaran mengadakan konsert solo, penyanyi jelita, Fauziah Latiff, merasakan belum bersedia untuk melakukannya tanpa persiapan rapi.
Walaupun hampir setiap tahun menerima tawaran mengadakan konsert solo, penyanyi jelita, Fauziah Latiff, merasakan belum bersedia untuk melakukannya tanpa persiapan rapi. - Foto FACEBOOK FAUZIAH LATIFF

Biarpun sudah merakamkan lebih 10 album sejak mula bertapak dalam dunia muzik pada era 1980-an, penyanyi bertaraf legenda, Fauziah Latiff, masih belum bersedia mengatur langkah menjayakan konsert solo.

Fauziah, atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 54 tahun, memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), setiap tahun beliau mendapat tawaran daripada promoter konsert di Malaysia untuk menjayakan persembahan eksklusif buat peminat.

Namun, Fauziah memilih untuk menolak buat sementara waktu sehingga tiba waktu sesuai.

Anttara alasan yang diberinya adalah masih belum mampu mengumpul keberanian kerana sedar mengenai persiapan perlu dilakukan untuk beraksi dalam konsert.

“Untuk buat konsert belum lagi. Takutlah, jadi nanti dulu. Suatu hari nanti, insya-Allah.

“Kalau untuk persembahan sebegitu, sekurang-kurangnya perlukan masa antara tiga bulan hingga enam bulan untuk mempersiapkan semuanya, termasuklah dalam aspek penerbitan dan diri sendiri.

“Jadi, sekiranya mahu buat (konsert) perlu rancang sebaik mungkin,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu seperti Bukan Kemahuan Fikiran dan Tiada Noktah Cinta ini berkata untuk membuat persiapan terbaik, lebih-lebih lagi dalam penganjuran konsert bukanlah perkara mudah.

Berdasarkan pengalaman menjayakan projek persembahan bersama RTM suatu ketika dahulu, Fauziah berkata segala-galanya memerlukan persiapan rapi.

“Mungkin sesetengah orang cakap senang (pentaskan konsert). Tetapi, saya ambil projek itu dengan sangat serius.

“Kalau ikut pengalaman dahulu ketika menjayakan program di RTM, kita diajar daripada A sampai Z.

“Saya tertarik kepada semua bahagian daripada pihak penerbitan, termasuk kru belakang dan depan pentas. Kemudian mengenai bagaimana persembahan itu dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, Fauziah yang mesra disapa Jee mengakui dengan pelbagai kecanggihan teknologi masa kini, sedikit sebanyak akan menambah seri dalam penganjuran konsert.

“Sekarang ini ada macam-macam idea boleh dibuat, tak sama seperti sebelum ini.

“Sekarang lebih mudah untuk diakses dan boleh buat perkara menarik di pentas, itu bahagian yang menyeronokkan.

“Insya-Allah kalau ada rezeki suatu hari nanti. Saya akan buat persediaan dulu,” kata penyanyi yang turut aktif dalam bidang lakonan ini.

Mengulas rutin harian sekarang, Fauziah berkongsi, dirinya masih sibuk dengan pelbagai kegiatan seni, baik dalam nyanyian mahupun lakonan.

“Saya masih di sini, cuma sibuk dengan tugasan harian. Kadang-kadang saya buat persembahan atau berada di studio. Saya masih lagi aktif dalam dunia seni.

“Tahun lalu (2024), saya juga ada menjayakan penggambaran drama terbitan Zeel Production, Pewaris Cinta. Drama itu sudah ditayangkan. Saya memang ambil tawaran lakonan, tetapi saya tetapkan setahun sekali sahaja,” katanya, yang mempunyai sentuhan emas termasuk dalam dua lagu yang agak terkini, Mencintaimu, runut bunyi rasmi (OST) drama Pewaris Cinta, dan Nanti Mama Pulang, OST drama Singapura, Mencari Marina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg