Sedar mengenai keterbukaan media sosial yang membolehkan orang ramai melayangkan apa juga komen, penyanyi Malaysia, Fauziah Latiff, 55 tahun, tidak berkecil hati dengan kritikan berhubung lontaran vokalnya.
Penyanyi yang mula membuat kemunculan sejak era 1980-an itu berkata, kritikan dan setiap pandangan diberikan adalah perkara biasa dilalui setiap individu.
“Itu perkara biasa, yang mana mengenali dan tak mengenali. Tapi tidak mengapa, kita tahu diri sendiri.
“Itu tidak sepatutnya jadi masalah. Saya sangat positif mengenai perkara ini dan akan teruskan seperti biasa sahaja. Untuk yang menerima dan mengenali, Alhamdulillah.
“Kepada yang baru kenal, Alhamdulillah. Ini semua adalah peringatan. Jadi kita bertenang sahaja, tidak mengapa,” katanya ditemui pada majlis doa selamat drama slot Panggung RTM Cereka Khas, Srikandi di Auditorium P Ramlee, Wisma Radio, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.
Mengulas rutin hariannya, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Tiada Noktah Cinta itu mengakui, masih memenuhi undangan persembahan, lapor Berita Harian Malaysia.
Bukan itu sahaja, Fauziah yang mesra disapa dengan panggilan mesra Jee mengakui hari-harinya banyak dihabiskan untuk menjaga ibu tercinta, selain terbabit dengan penggambaran drama.
“Saya masih di sini, cuma sibuk dengan tugas harian. Kadang-kadang buat persembahan ataupun di studio.
“Ada masa saya jaga ibu di rumah. Masih lagi dalam dunia seni. Tempoh hari juga saya baru selesai penggambaran bersama Zeel Production.
“Saya memang ambil tawaran lakonan, tapi saya tetapkan setahun sekali sahaja,” katanya.
Sementara itu, Fauziah bakal terbabit dalam penggambaran drama epik terbitan RTM berjudul Srikandi.
Drama itu mendapat sentuhan pengarah Wan Mohd Afzam Wan Daud dan turut menampilkan pelakon lain seperti Fendy Bakry, Datuk Fauziah Nawi, Catriona Ross, Hafidzudin Fazil, Khatijah Tan dan Mubarak Majid.
Naskhah adaptasi puisi Siti Zubaidah itu menceritakan nekad wanita tabah dalam usaha menyelamatkan suaminya, Sultan Zainal Abidin daripada penculikan lanun meskipun sedang sarat mengandung.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg