Sambutan luar biasa drama rantaian, Keluarga Itu terbitan Rumah Karya Citra memberikan dorongan kepada barisan pelakon dan penerbitan untuk menghasilkan karya berkualiti dan berbeza.
Izara Aishah, antara pelakon utama drama itu, bersyukur dan bertuah dapat kembali bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Puteri Balqis, Amir Ahnaf dan Muaz Zabir dalam drama yang ditayangkan di TV3 Malaysia.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat berlakon dengan pelakon mapan. Kami berlakon bersama, bantu antara satu sama lain.
“Umie dan Rosyam sentiasa beri tunjuk ajar. Mereka tidak kedekut ilmu,” katanya.
Izara berkata, beliau tidak berfikir lama untuk kembali berlakon selepas ditawarkan membintangi drama arahan Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Rizan itu selepas enam tahun tidak berlakon, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau turut berkongsi jadual kerjanya sangat padat dalam Ramadan, ditambah lagi, mengusahakan perniagaan.
“Saya terlalu sibuk, bukan hanya bekerja, tapi kena seimbangkan dengan tugas sebagai isteri dan ibu. Nak uruskan sahur, jaga anak-anak dan luangkan masa bersama keluarga.
“Itulah cabaran saya dalam Ramadan ini. Bukan hanya saya, tapi suami pun sama. Kasihan anak-anak kena tinggal di rumah. Alhamdulillah semuanya okey,” katanya.
Justeru, Izara berkata, Aidilfitri digunakan untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Syawal lalu saya rehat dan hanya beraya sekitar Kuala Lumpur. Pagi raya bersama bapa mentua, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, tengah hari beraya di ibu mentua, Datin Tengku Zawyah Tengku Izham dan kemudiannya, barulah bersama ibu saya.
“Mereka semuanya di Kuala Lumpur, jadi waktu beraya juga ditentukan oleh mereka. Emak memang minta datang petang sebab mahu mengemas rumah dan bapa pula mahu pergi solat bersama anak-anak lain,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg