KUALA LUMPUR: Pelakon Nur Fazura bersyukur atas kehadiran individu yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan dalam hidupnya.

Fazura atau nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 43 tahun, berkata kehadiran insan yang sentiasa membawa aura positif dan bersikap matang membantunya mengharungi pelbagai fasa kehidupan, lapor BH Online.

Menurutnya, golongan terbabit tidak pernah jemu menghulurkan sokongan dan kasih sayang, sekali gus membuatkan dirinya berasa lebih dihargai serta tidak keseorangan dalam menempuh perjalanan hidup.

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih buat kalian serta semua yang berada di sekeliling saya.

“Anda sentiasa sudi hadir menjadi sistem sokongan yang kuat, positif dan matang.

“Ketika hati terasa cukup penat dan tertanya-tanya berapa lama lagi sisa kehidupan yang masih ada, terima kasih kerana sentiasa memeluk saya dengan erat dan penuh kasih sayang,” katanya menerusi platform Threads.

Bagaimanapun, bintang filem Pisau Cukur itu tidak mendedahkan secara terperinci perkara yang sedang dihadapi, sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.

Fazura turut memohon doa daripada orang ramai agar terus diberi kekuatan untuk mengharungi ujian mendatang.

“Banyak perkara yang mungkin tidak dapat diungkapkan, namun, cukuplah Allah swt yang tahu isi hati serta segala yang tersirat dan tersurat.

“Penawarnya hanya Allah swt… Doakan saya,” katanya.

Meninjau ruangan komen, ramai warganet menitipkan doa agar Fazura terus diberi ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi setiap ujian, selain tidak putus-putus berkongsi kata-kata semangat kepada pelakon itu.