Fazura bersara dari lakonan drama tapi terbuka bagi filem jika projek bersesuaian
Fazura bersara dari lakonan drama tapi terbuka bagi filem jika projek bersesuaian
KUALA LUMPUR: Aktres popular, Nur Fazura secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada bidang lakonan, khususnya membabitkan projek drama bersiri di semua stesen televisyen (TV) tempatan.
Fazura, atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 43 tahun, berkata keputusan besar itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk keinginannya memberi perhatian penuh kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia enam tahun.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, jadi saya bercakap dengan beralas. Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia.
“Dari segi filem pula, saya masih terbuka bergantung kepada projek. Fokus saya kini lebih kepada filem, sama ada di Malaysia atau Indonesia.
“Namun untuk drama, memang secara rasmi saya bersara daripada semua lakonan drama di stesen TV tempatan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 pada 22 Januari.
Pada majlis itu, Fazura turut diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya 2026 keluaran jenama tekstil dan fesyen terkemuka itu.
Fazura yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan berkata keputusan untuk tidak lagi terbabit dengan drama TV juga dibuat susulan kekangan masa dan komitmen panjang yang diperlukan dalam penggambaran.
“Sejujurnya, saya sudah tidak mempunyai masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan tempoh penggambaran panjang.
“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami kebimbangan akibat perpisahan atau ‘separation anxiety’. Dia sukar berjauhan dengan saya terlalu lama.
“Jika saya keluar bekerja dalam tempoh panjang, dia akan mencari saya. Malah, ketika tidur pun dia menunggu saya pulang,” katanya.
Pelakon filem Manisnya Cinta di Cappadocia itu berkata selain kekangan masa, terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi keputusannya.
“Kekangan masa ini antara faktor utama saya mengambil keputusan ini. Sudah tentu ada juga beberapa perkara lain yang mendorong saya untuk berhenti berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia,” katanya yang turut berpengalaman dalam bidang pengacaraan.
Dalam pada itu, Fazura menegaskan langkah diambil adalah bagi mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, selain menyerahkan sepenuhnya ketentuan masa depan kepada Yang Maha Esa.
“Ia satu keputusan besar dan saya tekad melakukannya. Sekali lagi saya bercakap dengan beralas. Hari ini, secara rasminya saya mengumumkan bersara daripada drama televisyen.
“Namun, kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Fazura masih terbuka untuk terus berkarya dalam bidang muzik di bawah naungan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.
“Untuk bidang muzik, masih ada beberapa perancangan termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.
“Ketika ini, saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional kerana minat utama saya tetap pada lakonan.
“Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, insya-Allah saya terbuka,” katanya.
Fazura memulakan kerjaya lakonan pada usia 21 tahun menerusi filem Bicara Hati pada 2004 dengan menggalas watak utama, Noraini.
Sepanjang kerjayanya, Fazura sudah membintangi kira-kira 16 drama televisyen. Antara naskhah yang melonjakkan namanya ialah Gol & Gincu The Series pada 2006, sebelum diteruskan dengan musim kedua setahun kemudian.
Kali terakhir Fazura muncul di layar kaca TV menerusi drama Lelaki Itu yang ditayangkan di Slot Samarinda TV3 pada 2024.
Menerusi naskhah tulisan Erma Fatima yang diarahkan Along Kamaludin dan Nur Ain Sharif itu, Fazura berkongsi layar bersama Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda dan barisan pelakon lain.

