Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fesyen kasut tonjol jejari kaki

Meskipun aneh dan ada sifatkan ia hodoh, gaya kasut sebegitu mula menapak dan jadi pilihan anak muda masa kini
Oct 27, 2025 | 11:24 AM
Vibram FiveFingers KSO EVO, toe-spreader
Encik Sheearam Karthigesan dengan kasut, Vibram FiveFingers KSO EVO, di rumahnya. - Foto ST

Kasut yang paling popular setakat ini telah digelar “paling hodoh di dunia” dan “sangat pelik”.

Vibram FiveFingers yang kebanyakannya dijual pada harga bawah AS$200 ($259.65) merupakan kasut sukan yang serupa sarung tangan.

Ia mempunyai renggangan setiap jari kaki, kini sangat popular.

Gaya itu juga telah menembusi dunia fesyen sebagai pilihan anak muda masa kini.

Pada Ogos, platform membeli-belah global Lyst, meletakkan kasut itu di tempat kelima senarai 10 produk paling banyak dicari dan dibeli dalam talian, lapor The Straits Times (ST).

Ini sangat aneh kerana sesuatu yang dianggap ‘hodoh’ kini menjadi popular, satu perubahan budaya yang masih sukar diterima ramai.

Peminat Vibram tempatan, Cik Kylie Low, 26 tahun yang dahulunya gemar berlari, tidak berani memakai kasut ‘toe-spreader’ atau mempunyai renggangan antara jari kaki, sehingga Jun lalu, dua dekad selepas ia dilancarkan pada 2006.

“Saya sudah tahu tentang kasut gaya seperti ini selama 15 tahun, tetapi pada waktu itu, orang akan mengejek jika saya memakainya.

“Memang sangat hodoh,” katanya.

Kemudian model kasut pilates jenama Italy, V-Soul ($154) yang lebih anggun, mengubah pandangannya. 

Gaya tersebut mula dipakai pempengaruh, kemudian penyanyi rap Amerika, Doechii dan Jennie dari kumpulan K-pop, Blackpink.

Cik Low menganggapnya cantik kerana kasut itu mendedahkan hampir keseluruhan kaki, kecuali hujung dan belakang, dengan dua tali nipis melintas di tengah.

Kasut pilates V-Soul mendedahkan hampir keseluruhan kaki, kecuali hujung dan belakang, dengan dua tali nipis melintas di tengah.
Kasut pilates V-Soul mendedahkan hampir keseluruhan kaki, kecuali hujung dan belakang, dengan dua tali nipis melintas di tengah. - Foto KYLIE LOW

Kasut ‘toe mittens’ Vibram antara enam kasut yang memasuki senarai produk paling dicari platform Lyst untuk suku kedua 2025.

Kasut lain yang popular termasuk sandal flip-flop,The Row dari Amerika (AS$690), kasut Miu Miu dan Prada yang tipis.

Namun, tiada kasut yang dapat menandingi Vibram dengan keanehan bentuknya.

Keanehan adalah tujuan utama, kata pereka gaya berpengalaman 19 tahun, Encik Tok Wei Lun.

Beliau berkata: “Kasut lima jari yang renggang seperti itu tiada tarikan, tetapi penuh makna dan mencerminkan zaman kini.”

Budaya kasut dengan reka bentuk jari kaki boleh dikesan melalui kasut, Tabi Maison Margiela, yang dilancarkan pada 1988.

Gaya renggangan di jari kaki itu diinspirasikan kasut kayu Jepun abad ke-15 dan menjadi ciri ikonik jenama Margiela.

Nike memasuki dunia kasut renggangan di jari kaki pada 1996 dengan model Air Rift silhouette, reka bentuk bahagian atas kasut yang lembut dengan Velcro di tengah.

Keluaran Air Rift tidak dihentikan secara rasmi, tetapi reka bentuk itu mulai hilang pada 2010-an.

Apabila trend ‘Tabi’ menghidupkan semula minat terhadap sekitar 2020, kasut tersebut sukar ditemui di kedai. 

Pada 2025, Nike melancarkan tiga gaya baru model Air Rift sebagai kemunculan semula kasut jari kaki.

Kasut tiruan kini dijual serendah $30 di Shein dan Taobao. 

Model bebas, Encik Sheearam Karthigesan, seorang peminat ‘Tabi’ sejak lama, melihat Vibram sebagai pendatang baru dalam reka bentuk kasut jari kaki.

Beliau mempunyai flip-flop dan but Tabi Margiela, kasut Puma dengan depan yang tajam, serta Nike Air Rift dalam koleksinya.

Encik Sheearam Karthigesan bersama koleksi kasut Vibram FiveFingers, selipar dan but Mason Margiela Tabi, Puma Mostros, dan kasut Nike Air Rift.
Encik Sheearam Karthigesan bersama koleksi kasut Vibram FiveFingers, selipar dan but Mason Margiela Tabi, Puma Mostros, dan kasut Nike Air Rift. - Foto ST

Beliau memakai model Vibram KSO EVO (AS$120) hampir setiap hari untuk menyegarkan penampilannya. 

Namun, bagaimanakah rasanya memakai kasut jari kaki sebegitu?

“Anda dapat merasai semua tekstur tanah,” kata Encik Sheearam. 

Cik Low, yang juga seorang pempengaruh, berkata: “Ia seperti berjalan tanpa kasut dengan lapisan perlindungan yang sangat nipis.”

Fungsi juga menarik perhatian, kata pemerhati budaya, Cik Yan Jia Yun, 32 tahun, yang tinggal di Singapura selama 12 tahun sebelum berpindah ke Shanghai untuk mengetuai media sosial bagi wadah belia, Radii.

Beliau melihat kebangkitan FiveFingers sebagai reaksi logik kepada trend tapak kasut rata, yang menggantikan kasut tumit tinggi dan kasut sniker berat pada akhir 2010-an hingga awal 2020-an.

“Kesimpulannya, ia adalah kasut tanpa tapak kasut. Kasut yang benar-benar seperti stoking,” tambah Cik Yan.

Peruncit Outside melaporkan kenaikan jualan model Keen Hyperport (bermula $169), yang separuh sandal dan separuh kasut pada 2020, meskipun ia sering dianggap tidak menarik sebelum itu.

Keen Hyperport H2, separuh sandal separuh kasut, sering digelar tidak menarik, dilaporkan kenaikan jualan pada 2020.
Keen Hyperport H2, separuh sandal separuh kasut, sering digelar tidak menarik, dilaporkan kenaikan jualan pada 2020. - Foto OUTSIDE

Menurut jurucakap Outside, Cik Nina Cabela, pendapatan mereka telah meningkat dua kali ganda sejak itu.

Beliau menambah: “Garis antara fungsional dan fesyen sudah tiada.”

Birkenstock, jenama kasut ortopedik yang popular dalam dunia fesyen, terus digemari.

Dulu dianggap ‘hodoh’, kini sandal itu tetap disukai golongan muda.

Birkenstock, jenama kasut ortopedik Jerman, muncul sebagai pendatang baru dalam senarai jenama terhangat Lyst untuk suku kedua 2025.
Birkenstock, jenama kasut ortopedik Jerman, muncul sebagai pendatang baru dalam senarai jenama terhangat Lyst untuk suku kedua 2025. - Foto REUTERS

Jenama Jerman itu baru sahaja memasuki senarai jenama paling popular Lyst, pada suku kedua 2025, menduduki tempat ke-19 daripada 20.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg