Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

TENGOK WAYANG

Filem aksi perang ‘Gadar 2’ cukup rencah

Gandingan serasi pelakon, jalan cerita cinta emosi beri kesan mendalam
Aug 16, 2023 | 05:30 AM



Setelah sekian lama payah mencari filem Hindustan yang menepati cita rasa dan benar-benar mampu membuat anda terpaku pada layar pawagam, Gadar 2, yang dijayakan wira aksi Bollywood, Sunny Deol, berjaya membuat penulis tersenyum gembira.


Ia adalah filem dengan bahan ‘secukup rasa’ yang lengkap dengan adegan aksi kejar-mengejar dan tembak-menembak, babak romantis wira dan wirawati yang sama cantik, sama padan serta penuh dengan pasang surut emosi sang pelakon yang menimbulkan rasa cemas dan sekali gus ihsan di jiwa anda.

Gadar 2 adalah susulan filem Gadar: Ek Prem Katha yang ditayangkan pada 2001 dan dibintangi Sunny dan Ameesha Patel. Dua dekad lalu, mereka adalah pasangan kekasih beza agama yang tersepit dalam peristiwa perbalahan India dan Pakistan.


Kini, berlatarbelakangkan Kempen ‘Crush India’ (Musnahkan India) pada 1971, Tara Singh (lakonan Sunny) hilang di sempadan dan dipercayai dipenjara di Pakistan.


Apa yang menarik, filem ini mengembalikan pelakon cilik (dalam filem asal), Utkarsh Sharma, sebagai anak Tara Singh dan Sakeena (Ameesha) yang sudah dewasa dan menuntut di maktab. Utkarsh yang merupakan anak pengarah filem ini, Anil Sharma, kini adalah pelakon Bollywood yang sudah berusia 29 tahun.

Keserasian Utkarsh dan Sunny sebagai pasangan bapa dan anak cukup ketara. Apabila bapanya hilang, Charanjeet ‘Jeete’ Singh (Utkarsh) berusaha menyelamatkannya walaupun tahu nyawanya diancam bahaya.

Tara pula rupanya tiada di Pakistan sementara Jeete didera di penjara oleh askar Pakistan di bawah pemerintahan Mejar Jeneral Hamid Iqbal.

Hamid ingin membalas dendam kepada Tara kerana menghapuskan 40 tenteranya pada 1954 ketika Tara melarikan diri bersama Sakeena dan Jeete.

Apabila Tara kembali ke pangkuan isterinya Sakeena setelah lama menghilang, misinya adalah untuk menyelamatkan anak tersayang daripada ancaman bahaya Hamid dan tenteranya.

Terdapat beberapa persoalan dan perutusan yang disampaikan dengan baik dalam Gadar 2.


Ada perihal bapa dan anak lelaki yang sering bertengkar kerana perbezaan pendapat. Si anak agak nakal dan enggan mendengar kata-kata bapanya untuk rajin belajar dalam maktab tentera. Sebaliknya, dia lebih berminat menjadi hero filem Bollywood.

Jeete inginkan kehidupan mewah seperti teman-temannya yang bermotosikal dan mendesak bapanya membelikan motosikal itu untuknya ke sekolah. Ibunya Sakeena menjadi teman yang memanjakan Jeete dan biasanya pemujuk hati Tara yang mudah bingit dengan sikap anaknya yang suka main-main.

Bagaimanapun, dinamisme hubungan mereka berubah apabila Tara hilang dan Jeete rasa amanahnya besar untuk mengembalikan Tara ke pangkuan keluarga menjelang Hari Raya. Dia sanggup menyamar dan membahayakan dirinya daripada diburu ejen risikan Pakistan yang menganggapnya sebagai ejen India.

Di Pakistan, dia bertemu gadis jelita yang sama-sama sukakan dunia filem Bollywood sepertinya iaitu Muskaan (Simrat Kaur).

Sesuatu yang saya gemari tentang filem perang dan aksi ini adalah selingan babak-babak berwarna-warni lagi menggambarkan bunga-bunga cinta berputik di hati Jeete dan Muskaan. Ia tidak lari jauh daripada kebanyakan filem Hindi lain yang memaparkan babak menyanyi dan menari atas gunung-ganang indah.

Sekurang-kurangnya, tiada rasa bosan timbul kerana filem ini tidak seperti filem perang lain yang dari awal hingga akhir sarat dengan aksi menembak, bergaduh dan membunuh tanpa ihsan.

Momentum filem ini dan keseimbangan antara babak cemas dengan romantis atau babak komedi dengan babak emosi cukup dijaga pengarah dan penulis naskhah filem ini.

Banyak isu yang menggambarkan harapan agar penduduk berbilang kaum dan agama dapat berbaik-baik semula sebagaimana yang terpapar daripada persefahaman yang terbina dalam keluarga Tara dan keluarga Muskaan yang berlainan agama.

Mereka saling membantu dan mengizinkan cinta antara dua anak muda tidak dilarang sebaliknya dipupuk dengan kasih sayang dan restu keluarga.

Imej janaan komputer (CGI) wajah Amrish Puri (bapa Sakeena) disisipkan sekali dalam filem ini bagi mengimbas kembali adegan lebih dua dekad lalu.

Hasil kutipan ‘box-office’ Gadar 2 sangat menggalakkan dengan hampir $5.3 juta dikumpulkan dalam masa tayangan empat hari di merata dunia. Ia adalah filem Bollywood dengan kutipan empat tertinggi bagi 2023 sejauh ini.


Ada isu pemerkasaan wanita dalam diri Sakeena dan Muskaan. Pengorbanan anak (Muskaan dan Jeete) untuk membahagiakan ibu bapa mereka walau mengancam nyawa mereka turut disorot. Sunny dan Ameesha sudah membina keserasian sebagai pasangan layar perak sejak digandingkan dalam filem 22 tahun lalu.

Kini pula, giliran Utkarsh dan Simrat pula meneruskan perjuangan cinta di layar perak buat generasi muda pencinta filem Bollywood.

Rasanya selepas kejayaan Gadar 2, nama kededuanya yang tidak kekok menari dan meluah emosi dijangka ‘meletup’ dan bermain di bibir ramai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >