Aura peragawati dan pelakon kacukan Indonesia-Canada, Yasmin Napper atau nama sebenarnya, Yasmin Safira Napper, semakin bergemerlapan setelah kemunculannya dalam drama bersiri, Love Story, yang ditayangkan di saluran SCTV di Indonesia pada 2021.
Sejak awal kemunculannya dalam arena hiburan di Indonesia pada 2018, Yasmin, 22 tahun, sudah menjayakan beberapa filem seperti, Imperfect: Karier, Cinta dan Timbangan, Persahabatan Bagai Kepompong, Satria Dewa: Gatotkaca dan 172 Days.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 30 Disember, beliau berkata:
“Awalnya, saya uji bakat untuk menjadi seorang model.
“Tapi, pihak pengurusan juga mendorong saya untuk uji bakat dalam bidang perfileman.
“Penglibatan sulung saya dalam dunia perfileman di Indonesia adalah melalui filem pendek pada 2018, Generasi Micin.”
Pada 2024, beliau tampil dalam sebuah filem meruntun jiwa bertemakan kekeluargaan, Bila Esok Ibu Tiada, terbitan Leo Pictures.
Filem yang mengisahkan kesulitan dan konflik yang melanda sebuah keluarga bahagia selepas bapa mereka meninggal dunia disusuli dengan ibu mereka itu kini ditayangkan di beberapa pawagam Cathay di Singapura.
Awal empat hari ditayangkan di Indonesia sahaja pada November 2024, filem itu sudah ditonton 1.2 juta orang.
Yasmin, anak bongsu empat beradik, begitu teruja dapat berlakon dalam filem berkenaan.
Lebih-lebih lagi apabila digandingkan bersama barisan pelakon berpengalaman seperti Christine Hakim, Slamet Rahardjo, Adinia Wirasti, Fedi Nuril dan Amanda Manopo.
Jelitawan itu turut menceritakan bahawa watak yang dilakonkannya sempat diubah pada saat penggambaran dimulakan.
Justeru, ia berlaku untuk menambah perbezaan ketara dalam keperibadian yang dimainkan pelakon lain dalam filem tersebut.
“Watak yang saya mainkan iaitu Hening sempat ditukar pada saat-saat akhir.
“Awalnya, dia seorang yang agak feminin dan penuh ciri kewanitaan tetapi pihak penerbitan mengubah wataknya menjadi seseorang yang cenderung ‘emo’ (mudah sensitif). Daripada pakaian pula, lebih kepada warna hitam dan gelap,” jelas Yasmin.
Filem arahan Rudi Soedjarwo menyelongkar perjuangan hidup ibu bernama Rahmi (lakonan Christine Hakim) yang membesarkan empat anaknya iaitu Ranika (Adinia Wirasti), Rangga (Fedi Nuril), Rania (Amanda Manopo) dan Hening, setelah pemergian suaminya, Haryo (Slamet Rahardjo).
“Hening ialah seorang yang suka memendam perasaannya dan dia tidak terlalu terbuka dengan adik-beradiknya.
“Meskipun saya juga seorang anak bongsu dan mempunyai empat adik-beradik, sifatnya yang tidak berani bersuara sangat bertentangan dengan diri saya,” jelas Yasmin.
Beliau yang masih menganggap dirinya baru dalam bidang perfileman, sangat mengagumi pelakon berketurunan Jawa, Adinia Wirasti, 37 tahun, yang menjadi kakak sulungnya dalam filem itu.
Baginya, Adinia lebih banyak makan garam dalam dunia filem Indonesia.
“Adinia seorang yang sangat profesional dalam pekerjaannya. Saya sering kali lihat coretan beliau dalam skrip untuk mendalami sebuah watak.
“Beliau selalu hadir tepat waktu. Yang lain juga begitu. Saya sangat menghargai dedikasi semua pelakon dalam menjayakan filem ini bersama-sama.
“Antara perkara yang dapat saya pelajari juga adalah bagaimana untuk benar-benar menelaah skrip yang diberi sehingga saya faham setiap plot dalam filem tersebut.
“Ini kerana dalam penggambaran filem, kita tidak merakam babak mengikut urutan. Jadi kita perlu memastikan bahawa penyampaian dari segi emosi ada kesinambungan dan tidak kelihatan tergenjot-genjot,” ceritanya.
Sebelum ini, Yasmin turut terlibat dalam sebuah filem seram berjudul Thaghut, yang juga merupakan terbitan Leo Pictures.
Lebih menarik lagi, ia merupakan filem seram pertamanya, sekali gus beliau memainkan watak hantu.
Selain perlu menyesuaikan diri dengan sesi penggambaran yang berlangsung pada waktu malam, Yasmin mengakui sukar menonjolkan perasaan takut secara jujur.
“Kalau sebut mengenai watak mencabar, memainkan watak hantu merupakan antara watak yang saya sukar bawakan memandangkan ia kali pertama saya berlakon dalam filem genre seram.
“Sebagai pelakon, nak tonjolkan perasaan takut sebenarnya paling susah sebab penonton boleh tahu jika kita sengaja buat-buat atau benar-benar dalam keadaan ketakutan.
“Apatah lagi apabila gambaran hantu itu tidak wujud depan mata sewaktu melalui proses penggambaran,” katanya.
Menyentuh cita-cita dan aspirasinya bagi 2025 pula, Yasmin menyuarakan keinginan untuk digandingkan bersama pelakon wanita Indonesia yang hebat, Putri Marino.
Pada 2025, dua lagi filem yang dibintanginya akan ditayangkan.
Salah satunya ialah Assalamualaikum Beijing 2: Lost In NingXia yang merupakan susulan kepada filem Assalamualaikum Beijing yang ditayangkan pada 2014.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg