Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘universiti kehidupan’ Christine Hakim

Legenda filem Indo berkarya 51 tahun untuk sebar kasih sayang dalam dunia yang tenat
Jan 5, 2025 | 5:30 AM
Christine Hakim rasa bertuah dapat menjadi karyawan filem selama 51 tahun kerana ia membuka jalan baginya merasakan kehidupan yang tidak dialami di alam nyata seperti mempunyai anak sendiri.
Christine Hakim rasa bertuah dapat menjadi karyawan filem selama 51 tahun kerana ia membuka jalan baginya merasakan kehidupan yang tidak dialami di alam nyata seperti mempunyai anak sendiri. - Foto INSTAGRAM CHRISTINE HAKIM

Bukan sekali dua terlintas di fikiran bintang dan legenda perfileman Indonesia, Christine Hakim, untuk berundur daripada tugas sebagai pelakon.

Sudah banyak kali Christine, yang nama sebenarnya, Herlina Christine Natalia Hakim, 68 tahun, mahu meninggalkan sahaja bidang yang awalnya tidak diminati kerana keperibadiannya yang pendiam di samping tanggapan negatifnya pada dunia hiburan yang sarat dengan gosip.

Bagaimanapun, apabila rancangan itu tidak menjadi, ditambah dengan lamaran bagi projek filem yang membuka matanya tentang isu kemanusiaan sejagat, Christine akhirnya akur ini jalan yang Tuhan tetapkan buatnya berbakti dan menyebar kasih sayang kepada dunia yang kian hari lelah dan tenat dengan konflik dan persengketaan.

Nama besar yang juga aktif sebagai aktivis kemasyarakatan dalam memperjuang isu pendidikan, membantu mangsa bencana alam dan menyebar kesedaran tentang autisme ini begitu tersentuh dan bersyukur apabila dilamar bagi filem meruntun jiwa, Bila Esok Ibu Tiada,

Filem arahan Rudy Soedjarwo ini mengisahkan tentang Rahmi (lakonan Christine) yang menjadi tunggak kehidupan empat anaknya, Ranika (Adinia Wirasti), Rangga (Fedi Nuril), Rania (Amanda Manopo) dan Hening (Yasmin Napper), sehingga pemergian suaminya, Haryo (Slamet Rahardjo) menjejas kesejahteraan hidupnya yang kian hiba sehingga sakit ke penghujung nyawa.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom pada 30 Disember 2024, Christine berkata:

“Kalau saya fikirkan kembali detik awal saya dilamar pengarah, Allahyarham Teguh Karya, untuk Cinta Pertama yang diterbitkan pada 1973, saya ke pejabatnya untuk menolak.

“Sebabnya, dari sejak saya di bangku sekolah, saya memang tidak sukakan subjek kesenian. Saya lebih pada subjek akademik lain. Saya juga tidak suka dunia hiburan dan memandangnya negatif kerana penuh diulit gosip.

“Namun, sudah tertulis dalam takdir bahawa inilah amanah yang Allah beri buat saya. Maka seberapa banyak kali saya mahu berhenti berlakon, ada sahaja yang membuatkan saya tidak teruskan niat itu. Sejak itu, saya pasrah. Jika Tuhan beri rezeki dan amanah saya di situ, saya tidak mampu menolak dan melawan kuasa-Nya.

“Ibu pernah ditegur saudara-mara mengapa izinkan saya masuki industri hiburan yang banyak menimbulkan kebimbangan mereka. Ibu kata ringkas sahaja, ‘Saya percaya pada anak saya’.”

Setelah memberitahu ibunya bahawa Cinta Pertama, filem pertamanya itu, hanyalah satu projek percubaan kerana kerjaya lakonan tidak cocok dengan keperibadiannya, beliau terkejut bahawa lakonan sulung itu membawa pada Piala Citra (persis Oscar di Indonesia) bagi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Indonesia 1974.

Sejak itu, lebih 10 Piala Citra dimenanginya bagi kategori pelakon wanita utama dan pelakon wanita pembantu.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Festival Filem Cinemanila dan menjadi panel juri Festival Filem Cannes.

Pada Ogos 2024, beliau diberi penghargaan Pencapaian Sepanjang Hayat pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia.

Christine yang bermula sebagai model remaja menarik perhatian Teguh yang melihat wajahnya dalam majalah langsung mengusulkan untuk melamarnya bagi filem Cinta Pertama.

Pihak penerbitan pula tidak setuju dengan pemilihan Teguh kerana melihat penampilan Christine yang masih di Sekolah Menengah Atas (SMA) yang kelihatannya kurus dan tidak seksi.

Namun, Teguh yakin gadis yang dipilihnya itu memiliki potensi besar untuk menyinar kerana perwatakannya yang unik dan daya inteleknya untuk menjiwai seni.

“Saya masih tertanya-tanya bagaimana orang yang tidak suka seni, apa lagi berlakon, boleh menang piala Pelakon Wanita Terbaik pada percubaan pertamanya.

“Saya hanya jatuh hati pada dunia seni pada 1975 selepas saya berlakon dalam filem Kawin Lari.

“Tapi pada masa yang sama, saya juga mula berminat mengkaji Al-Quran dan Hadis pada ketika itu. Yang menimbulkan percanggahan adalah dua dunia yang berbeza, agama dan seni.

“Ustaz saya berpesan apa yang saya lakukan sebagai penggiat seni bercanggahan sama sekali dengan pengajian saya.

“Namun, saya minta Allah berikan saya ketetapan hati...bagi saya, selain solat lima waktu, puasa, zakat dan menunaikan haji selaku landasan dan rukun Islam, agama mengajar kita berbuat baik kepada sesama manusia dan menebar silaturahim dan kasih sayang pada umat ciptaan Tuhan.

“Ini dapat dilakukan dalam wadah lakonan menerusi kerja seni saya. Saya yakin kalau saya masih bersandarkan agama dalam menerajui kerjaya saya, ia akan tetap mengawal saya dari segi etika diri. Setiap ada kegenjotan yang menggugat ketenangan, saya akan kembali kepada agama saya dan didikan keluarga bahawa agama itulah sandaran dan penawar,” ceritanya lagi.

Kerana senangi proses menimba ilmu baru dalam berkarya, Christine yang sudah hampir 25 tahun berkahwin dengan pelakon, penerbit dan usahawan Belanda, Jeroen Lezer, tidak menolak tawaran bahkan tidak berfikir dua kali apabila dilamar bagi filem Bila Esok Ibu Tiada.

“Ini kali kedua saya bekerja di bawah arahan Rudy. Mungkin saya boleh fikir dari sudut pandangan saya sebagai anak dalam keluarga besar serama tujuh adik-beradik lelaki dan perempuan.

“Tapi kini saya memikirkan perasaan seorang ibu. Saya boleh tinjau juga kehidupan anak sulung dalam keluarga ini iaitu Ranika yang merupakan wanita berkerjaya, terlalu sibuk dengan jadual padat merantau ke luar negara dan belum bernikah.

“Tiada sebab untuk saya menolak tawaran menjayakan Bila Esok Ibu Tiada. Selepas 51 tahun dalam dunia filem, setiap langkah itu merupakan peningkatan buat saya, ibarat masuk kelas satu, kedua dan selanjutnya sampai ke universiti.

“Institusi perfileman itu adalah sekolah dan universiti saya sampai ke hujung nyawa. Sebagai manusia, saya dapat memahami alam semesta dan bersyukur terlibat dalam projek filem ini yang mampu dikaitkan dengan kehidupan keluarga Asia Tenggara yang mempunyai ramai anak dan dilingkari masalah kehidupan,” ujarnya.

Beliau juga berharap bagi projek filem akan datang, beliau akan terus berkesempatan menyebar cinta pada dunia yang tenat meskipun teknologi maju dan mampu mendekatkan lagi negara yang jaraknya jauh dengan penggunaan ruang digital.

“Bila Esok Ibu Tiada menekankan nilai kasih sayang antara adik-beradik. Banyak adegan mereka memberi pelukan pada satu sama lain kerana ada perkara yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

“Tidak perlu orang tuanya tiada untuk mesra. Kalau tidak mampu mencintai sesama saudara, apa lagi ibu bapa, bagaimana dapat mencintai makhluk lain di bumi Tuhan?” jelasnya.

Banyak perkara positif yang Christine lihat daripada filem ini dan dua lagi karya yang dijayakan, Impetigore (Perempuan Dari Tanah Jahanam) dan The Last Of Us.

“Kita sebagai manusia harus menjaga kejernihan hati kita dan logika fikiran kita demi mutu hidup yang lebih baik. Jika hati kita tidak jernih atau logika fikiran kita tidak sihat, tenaga yang mengalir dalam diri kita akan menampakkan unsur negatifnya,” tambahnya lagi.

Christine senang sekali membawakan watak ibu yang terkesan dengan pemergian suami yang selama ini menjadi tempat bergantung harap.

“Menerusi filem, saya dapat merasakan perasaan isteri yang kehilangan meskipun saya tidak pernah melalui tempoh tersebut sebab alhamdulillah suami masih bersama saya.

“Saya tiada anak kandung sendiri tetapi menerusi kerja seni saya, saya dapat ramai anak termasuk empat orang yang berpotensi besar dalam dunia lakonan Indonesia dalam filem Bila Esok Ibu Tiada.

“Malahan, dalam kehidupan realiti, saya dan suami berpeluang menjadi datuk dan nenek kepada dua anak cef di restoran suami yang kebetulan sudah tiada bapa,” tambahnya yang sedang menyelesaikan filem terbitan dan lakonannya, Love Me As I Am, tentang ibu tunggal kepada anak berkeperluan khas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg