Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beto Kusyairy kembali ke S’pura dalam pementasan seram

Jayakan pementasan ‘Malam Seram: Teater dan Muzik’, pada 24 Mei di The Star Theatre anjuran Muse+
May 11, 2025 | 5:30 AM
gayong, beto kusyairy, malam seram
Dalam filem ‘Gayong’, Beto Kusyairy memegang watak sebagai, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, pengasas seni silat Gayong. - Foto INSTAGRAM BETO KUSYAIRY

Pelakon terkenal Malaysia, Beto Kusyairy, yang dikenali dengan lakonan hebatnya melalui filem seperti Mat Kilau dan Imaginur, kini bersedia untuk kembali ke pentas seni Singapura.

Kali terakhir Beto terlibat dalam penerbitan tempatan adalah melalui drama bersiri, Kisah Tok Kadi, terbitan Mediacorp Suria, yang berlangsung selama dua musim pada 2015 dan 2017. 

Dalam drama itu, Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 45 tahun, membawa watak utama sebagai Ustaz Shahrul, seorang tok kadi.

Setelah sekian lama tidak tampil di Singapura, Beto berasa teruja untuk menyertai pementasan, Malam Seram: Teater dan Muzik, sebuah persembahan teater bertemakan seram, anjuran Muse+. 

Pementasan tersebut dijadualkan berlangsung pada 24 Mei, bermula 8 malam di The Star Theatre.

Malam Seram ialah program popular di laman YouTube yang diterajui mantan penyampai radio, KC Champion. 

Selama hampir 17 tahun, KC Champion, atau nama sebenarnya Abdul Karim Sadali, dikenali sebagai ‘Pencerita Seram Otai’ sejak mengendalikan program radio, Misteri Jam 12, di stesen radio Ria 897.

Ketika ditemui pada sidang media, Malam Seram: Teater dan Muzik, di Malayan Council di Fullerton Road, pada 2 Mei, Beto meluahkan rasa syukur kerana masih diterima baik oleh masyarakat Singapura.

“Saya sangat berbesar hati dijemput untuk terlibat dalam naskhah ini. 

“Alhamdulillah, saya teruja untuk kembali selepas projek terakhir saya di Singapura, Kisah Tok Kadi, sebelum pandemik Covid-19,” kata Beto.

Antara cabaran untuk mementaskan sebuah persembahan teater bergenre seram, menurut Beto, adalah bagaimana pelakon dapat menggambarkan gerakan dan emosi dengan jelas.

“Memang ‘medium’ (perantara bagi meng­hasilkan sesuatu kesan) televisyen dan pentas teater berlainan, tetapi lakonannya tetap sama.

“Cuma, untuk teater, tiada zoom-in atau close-up. Jadi kita perlu menggambarkan lakonannya dengan jelas dan besar.

“Itulah perkara yang perlu saya utamakan,” ujar Beto yang mengakui sudah lama tidak berlakon pentas.

Beliau turut menekankan keunikan pementasan ini, yang menyatukan bakat dari Malaysia dan Singapura.

Di bawah arahan pengarah Singapura, Rafaat Hamzah, Beto akan beraksi bersama pelakon Nabila Huda dan pelantun lagu Angkat dan Serumpun, Mimifly.

Pementasan ini juga tidak akan lengkap tanpa kehadiran pencipta program Malam Seram, KC Champion, dan bakat tempatan seperti Dalifah Shahril dan Rizal Aiman. 

“Apabila diberitahu Rafaat Hamzah, yang saya panggil Chip, akan mengarahkan pementasan ini, saya tidak teragak-agak untuk menyertainya. 

“Kami pernah bekerjasama dalam drama Kisah Tok Kadi, dan saya amat menghormati beliau.

“Naskhah ini juga melibatkan gabungan tenaga seperti Nabila Huda, Mimifly, KC Champion dan pelakon Singapura lain. 

“Setelah memahami pesanan yang ingin disampaikan pementasan ini, tiada alasan untuk saya menolak peluang ini,” tambah Beto, yang turut terlibat dalam filem Gayong, baru-baru ini.

Apabila ditanya Berita Minggu (BM) tentang cara menyampaikan elemen seram di ruangan besar seperti The Star Theatre, Rafaat menjelaskan:

“Bagi saya, jalan cerita adalah elemen terpenting dalam naskhah ini. 

“Unsur seram yang sudah ada dalam kisah yang disampaikan oleh KC menjadi asas dan saya cuba membayangkan apa lagi yang boleh ditambah untuk memperkayakannya. 

“Di pentas, kita tidak boleh menggunakan teknik seperti zoom-in, jadi penonton hanya melihat dari sudut pandang yang luas.

“Bagi menonjolkan elemen seram, kita bergantung pada reka bentuk set pentas dan muzik.

“Namun, berdasarkan kajian saya terhadap podcast Malam Seram dan program MJ12, elemen audio memainkan peranan besar dalam mencipta suasana seram.”

Syarikat penganjur konsert, Muse+, yang diwakili oleh ‘rapper’ dan penggubah lagu, Atrez, turut menyifatkan elemen seram sebagai peluang unik bagi penonton untuk merasai debaran ketakutan dalam suasana ‘selamat’.

Selain itu, ia juga memberi ruang kepada penonton berehat daripada kesibukan realiti sambil menguji keberanian mereka.

Beliau berkata: “Ini adalah kali pertama saya menerbitkan sebuah teater dalam skala sebesar ini. 

“Konsepnya unik, gabungan seni teater dan muzik untuk membawa penonton ke satu perjalanan misteri yang luar biasa.

“Saya harap setiap penonton yang hadir akan merasai pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, malah membangkitkan rasa seram yang sukar dijangka. 

“Muzik memainkan peranan penting di sini, dengan alatan tradisional seperti rebab dan gendang yang dimainkan oleh legenda Malaysia serta pemain seruling kegemaran saya, Abang Mohar.”

Atas faktor kekangan jadual dan masa, persiapan dan latihan bagi pementasan Malam Seram: Teater dan Muzik ini akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, untuk beberapa hari secara intensif. 

Bertanya lebih lanjut mengenai penglibatan Beto dalam filem Gayong, beliau menjelaskan tugas bagi menjayakan sebuah filem biopik memerlukan penelitian menyeluruh. 

Filem Gayong, karya arahan pengarah kelahiran Singapura, Faisal Ishak, turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, bintang aksi terkenal dari Indonesia, Yayan Ruhian, serta pelakon dari Thailand, Chevanon Phukaokaew.

Dalam filem ini, Beto memainkan watak sebagai mahaguru silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.

Beto mengakui antara yang bermain di fikiran adalah penerimaan masyarakat terutama keluarga dan anak didik kepada tokoh berkenaan.

“Pada mulanya, saya berasa sedikit bimbang untuk membawa watak mahaguru silat Gayong, Datuk Meor Abdul Rahman.

“Namun, sebagai seseorang yang telah mendalami seni silat Gayong sejak usia tujuh tahun, saya melihat peluang ini sebagai satu penghormatan. 

“Ia adalah cara untuk memperkenalkan, mengangkat dan memartabatkan seni silat Gayong kepada generasi muda.

“Selain itu, saya juga berharap dapat menggambarkan kehebatan seorang pendekar Melayu sejati melalui filem ini,” kata Beto.

Tiket bagi pementasan Malam Seram: Teater dan Muzik, berharga antara $95 hingga $195, sudah laris dijual.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg