Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Finas terkilan tak sempat beri anugerah kepada Wahid

May 23, 2023 | 10:55 AM
HAJAT TIDAK KESAMPAIAN: Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim (tengah) pernah berkunjung ke rumah Allahyarham Wahid Satay (kiri) tahun lalu dan seterusnya merancang menyampaikan Anugerah Seniman Sepanjang Zaman kepadanya. Bersama mereka adalah seniwati Zaiton Abdullah.
HAJAT TIDAK KESAMPAIAN: Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim (tengah) pernah berkunjung ke rumah Allahyarham Wahid Satay (kiri) tahun lalu dan seterusnya merancang menyampaikan Anugerah Seniman Sepanjang Zaman kepadanya. Bersama mereka adalah seniwati Zaiton Abdullah. - Foto fail

KUALA LUMPUR : Hasrat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menghadiahkan trofi Anugerah Seniman Sepanjang Zaman kepada Allahyarham Wahid Satay pada penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM), tahun depan, tidak kesampaian apabila bintang veteran itu menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM) Finas merancang menganugerahkan trofi bagi mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham Wahid kepada dunia perfileman tahun depan.

“Saya berjumpa Allahyarham Wahid pada FFM Ke-32 di Melaka, Disember tahun lalu. Ketika itu, arwah sangat ceria diundang memeriahkan FFM 32 dan berjumpa ramai bintang veteran.

“Melihat keadaan beliau yang masih sihat ketika itu, Finas berhasrat memberi anugerah kepadanya pada FFM tahun depan, namun, nampaknya, tidak kesampaian,” katanya.

Md Nasir menyifatkan pemergian Wahid, 93 tahun, sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air.

“Saya sangat terkejut dengan pemergian arwah. Beliau memberi sumbangan kepada industri kreatif sejak era 1950-an. Malah, arwah antara aktor yang cukup popular pada zaman kanak-kanak saya.

“Saya sering menonton filem lakonan Allahyarham Wahid dan terhibur dengan lawak jenakanya yang spontan.

“Ketika bertemu dengan arwah di Singapura, tahun lalu, saya boleh sifatkan beliau sangat peramah hingga membuatkan saya rasa dekat dengannya.

“Arwah sempat menasihati saya agar terus memacu Finas ke peringkat yang lebih tinggi. Saya tidak akan melupakan pesanan itu,” katanya.

Allahyarham Wahid dilaporkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Teban Gardens Road, Singapura, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Wahid yang pernah digelar ‘Jerry Lewis of Malaya’ meninggalkan enam cahaya mata dan lebih 20 cucu dan 10 cicit. Arwah menetap bersama anak keduanya, Hafizah Abdul Wahid, selepas pemergian isterinya, Allahyarhamha Azimah Mohd Taib pada 1994.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg