Lagu klasik yang dianggap sinonim dengan penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip, atau lebih popular dengan gelaran Papa Rok, dengan tajuk lagu seperti Teratai, Kamelia, Bukan Kerana Nama dan Sejuta Wajah, sudah lebih empat dekad menjadi halwa telinga pendengar.
Kebanyakan lagu nyanyian vokalis daripada kumpulan Sweet Charity itu malar segar, hingga menjadi siulan ramai sampai ke hari ini.
Menyelami pengalaman seniman yang sudah lebih lima dekad mengabdikan diri dalam industri, Ramli mengakui tidak berpegang formula, sebaliknya berbekalkan akar dan jalan cerita kuat dalam karya, sesuai dengan ekspresi hingga lagu diterima.
“Saya pun tidak sangka lagu Teratai sudah berusia hampir 50 tahun, Bukan Kerana Nama, pula lebih 40 tahun, semua ini adalah anugerah Allah.
“Apabila sesebuah lagu mampu bertahan lama bermakna roh lagu itu sangat kuat. Apabila menghasilkan sesebuah karya, saya tidak fikir soal laris.
“Apa yang penting, karya kena bagus, ini bukan soal duit, tetapi setiap penyanyi perlu tambah karya mereka untuk memastikan jangka hayat dalam industri bertahan lama,” katanya kepada BH Online ketika memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujar Ramli, 70 tahun, suasana industri muzik sekarang amat berbeza. Penyanyi generasi baru tidak ramai memiliki album. Ada yang sudah 10 tahun dalam industri kreatif, namun, masih belum mampu menghasilkan album.
Ramli tidak menidakkan kebolehan generasi baru, malah kagum dengan populariti dan kemampuan melakar nama dengan mudah hingga berjaya bergelar penyanyi hanya melalui wadah TikTok.
“Penyanyi sekarang tidak banyak yang miliki album manakala penyanyi yang lahir daripada platform TikTok pula mungkin hanya ada satu atau dua lagu.
“Akhirnya, mereka kena naik pentas untuk menyanyi, tetapi, lagu apa yang mereka hendak nyanyi? Berapa lagu boleh orang boleh dengar? Berapa lagu yang mereka ada dan orang suka?
“Selepas habis nyanyikan dua lagu sendiri, nak buat apa lagi? Macam mana mereka hendak buat persembahan setengah jam?” katanya yang memulakan kerjaya nyanyian dengan menganggotai kumpulan rok ikonik, Sweet Charity.
Ternyata, Ramli masih aktif membuat persembahan dan dalam satu laporan akhbar Harian Metro pada Januari, turut dinyatakan band rok Sweet Charity mahu menebarkan sayap ke Sarawak dan Sabah.
Menurut Ramli, band itu merancang mengadakan konsert di kededua negara itu.
“Kami menantikan saat sesuai dan berasa dihormati apabila peminat kami berbelanja untuk menghadiri konsert kami,” kata Ramli.
Beliau juga masih seronok menghiburkan penonton walaupun sudah berada dalam industri muzik selama melebihi lima dekad kini, katanya kepada akhbar, StarLifestyle.
Beliau mahu terus membuat persembahan selagi beliau mampu.
“Muzik bukan sahaja tentang menyanyi. Ia juga main peranan dalam kehidupan. Saya akan cuba kongsi apa sahaja yang menyentuh saya kerana saya percaya seni adalah sesuatu yang ikhlas dan tulen,” kata Ramli.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg