Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gandingan serasi, asal sahaja tidak ‘over’

Jangan sampai netizen jemu dengan gimik kempen jenama busana Raya yang kelihatan seperti jodohkan artis, tokoh awam
Mar 15, 2025 | 5:30 AM
Kekerapan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah muncul dalam video Instagram dan TikTok sepanjang menjadi duta baju Raya, Oh Bulan, menimbulkan respons bercampur baur netizen.
Kekerapan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah muncul dalam video Instagram dan TikTok sepanjang menjadi duta baju Raya, Oh Bulan, menimbulkan respons bercampur baur netizen. - Foto INSTAGRAM SYED SADDIQ

Awalnya, nampak comel sebab sama cantik, sama padan.

Tapi lama-kelamaan, kalau dah sering nampak dua selebriti atau tokoh awam yang belum ada ikatan perkahwinan kerap bersama dalam klip video TikTok atau Instagram (meskipun untuk pemasaran produk), naik meluat pula.

Sebabnya, jadi macam ‘over’, lebih-lebih lagi pada bulan mulia, Ramadan.

Ini bukan saya yang kata tetapi beberapa netizen, yang komennya saya baca di media sosial, di samping pengamatan beberapa teman yang cukup mengikuti perkembangan dunia hiburan di seberang Tambak.

Apa yang mereka sibukkan setiap kali menatap Instagram atau TikTok sambil menanti waktu berbuka atau sesudah bersahur?

Al-kisah Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul, Rahman, 33 tahun, dan pelakon, penyanyi dan usahawan, Bella Astillah, 31 tahun, atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah.

Soalan yang muncul di fikiran ialah apakah dua insan ini sedang bercinta atau setakat memenuhi tuntutan kempen pemasaran jenama busana, Oh Bulan?

Sebelum ini pun, mereka berdua kelihatan mesra apabila mengendalikan sesi ‘Live’ di TikTok bersama sambil menyiapkan hidangan lasagne dan puding karamel.

Gara-gara kemesraan yang kerap ditonjol di media sosial, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah, sempat mengusik Syed Saddiq, setelah menerima sepasang baju Melayu berwarna merah jambu daripada ahli politik muda itu.

Katanya: “Bella harus berada di sisi saya. Barulah saya boleh pakai baju Melayu ini,” jelas Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Syed Saddiq, sambil tersipu-sipu malu, dengan cepat, menjawab: “Janganlah kacau. Dia tu saya punya... berilah ‘chance’ (peluang).”

Susah nak buat tekaan apakah ahli politik itu setakat berkawan dengan Bella atau memang sedang dilamun cinta, sebagaimana bayangan yang diberi abangnya, Syed Abdullah, bahawa adiknya kelihatan lebih gembira daripada biasa sejak bertemu bekas isteri penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz itu.

Bagaimanapun, kerana kekerapan melihat video mereka bersama hampir setiap hari, ada netizen meluahkan rasa muak.

“Cukup-cukuplah, saya nak baca berita lain dan tengok video lain.

“Kalau pun bercinta, tak payahlah nak beritahu satu dunia,” tulis netizen bernama Hazrul King di salah satu ruang komen yang memaparkan kisah kata-kata manis Syed Saddiq kepada Bella.

Pada masa yang sama, sedang berita mereka begitu hangat diperkatakan, ada satu lagi pasangan yang diusik-usik netizen dan rakan artis kerana dilihat begitu serasi apabila bersama dalam kempen pemasaran baju Raya, Jakel.

Siapa lagi kalau bukan pelakon, Fattah Amin, 34 tahun, dan penyanyi, Amira Othman, 31 tahun?

Sebelum ini pun, mereka digandingkan dalam beberapa video promosi kambing perap jenama Pak Mat Western. Fattah adalah Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) jenama tersebut.

Amira juga kelihatan di reruai jualan produk Fattah Amin semasa acara dagangan produk selebriti, Celebfest 2025, yang dibanjiri artis Malaysia dan berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec City, antara 7 dengan 9 Mac.

Fattah yang sebelum ini merupakan suami pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin, pula muncul dalam klip video terkini Amira, Bila Nak Kahwin?

Bagaimanapun, kededuanya, sewaktu ditanya media seberang, menafikan ikatan mesra antara mereka sudah dimeterai dan menolak dakwaan netizen mereka sudah bertunang.

Menurut mereka, beberapa projek bersama itu hanya kolaborasi dan atas dasar kerja dan tidak lebih daripada itu.

Yang bermain di fikiran netizen adalah soalan “Ya ke?”, sebab kalau dilihat gerak tubuh masing-masing, bagaikan mata yang bersinar itu mengungkapkan satu rasa cinta.

Bahkan, Fattah tiba-tiba terpanggil Amira “Yang” (singkatan bagi Sayang), dalam satu sesi ‘live’ di TikTok.

Zaman memang sudah jauh berubah. Kalau dahulu, okey sahaja untuk artis lelaki dan wanita dipasangkan dalam kempen produk seperti pakaian, minyak wangi atau produk dandanan sempena Hari Raya. Tak timbul tanda tanya atau gosip liar tentang kedudukan hubungan mereka.

Bagaimanapun, pada zaman media sosial, kita kerap melihat taktik atau strategi yang kadangkala hanya gimik memasangkan selebriti sehingga sebilangan netizen begitu seronok melihat kisah cinta dua insan ini terbentang di depan mata.

Terasa macam tengok drama pula setiap hari sambil memikirkan apakah pasangan ini akan ke jenjang pelamin selepas digandingkan sebagai duta produk?

Pada pandangan saya, syarikat busana atau makanan juga perlu hati-hati apabila ingin menggunakan taktik sebegini sebagai kempen pemasaran.

Sebab biar sedang-sedang sahaja video promosi dan jangan sampai keterlaluan sehingga hari-hari nak ketengahkan kandungan bersama sehingga netizen naik muak.

Seorang wartawan veteran yang bertugas di majalah hiburan pernah memberitahu saya bahawa strategi memasangkan selebriti sehingga orang ramai benar-benar rasakan mereka ada sesuatu (hubungan cinta), bukan sahaja digunakan firma perniagaan untuk melariskan bisnes, malah, usaha wartawan masa lalu untuk membantu naikkan nama artis.

“Kadangkala kita ‘kenenkan’ (jodohkan) selebriti A dengan selebriti B. Bukan sahaja untuk lariskan majalah tetapi untuk naikkan nama artis yang malap atau dah lama tak dilaporkan beritanya mahupun artis baru yang sedang ‘naik’.

“Artis tu okey sahaja, asal namanya popular,” kongsi wartawan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg