KUALA LUMPUR: Selang seminggu diusik menjadi model pakaian, Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membuat kejutan apabila tampil menyampaikan persalinan baju Melayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syed Saddiq mengambil peluang menyampaikan baju Melayu berwarna biru dan merah jambu itu ketika berpeluang bertemu Datuk Anwar di Lobi Parlimen di sini pada 4 Mac.
Datuk Anwar ketika menerima pemberian itu sempat berseloroh, menyatakan selebriti Bella Astillah sepatutnya perlu ada ketika penyerahan sepersalinan baju Melayu itu.
Syed Saddiq menerusi reaksi spontan ‘meminta’ Datuk Anwar tidak ‘mengganggu’ Bella, seolah-olah mengiyakan gosip selebriti berkenaan adalah teman wanita kepada mantan Menteri Belia dan Sukan itu.
“Jangan kacau, itu (Bella) saya punya, kasi (bagi) chance-lah (peluang) Datuk Seri,” katanya dalam klip video yang dikongsi menerusi platform TikTok miliknya, lapor Berita Harian Malaysia.
Gurauan itu berterusan apabila Datuk Anwar bertanya sama ada Syed Saddiq mempunyai sebarang rancangan untuk berkahwin.
“Jadi bila?... dah tetapkan tarikhnya?” tanya Datuk Anwar.
“Kita doakan sahaja Datuk Seri, jangan risau. Apa pun yang berlaku, anda akan menjadi orang pertama yang tahu,” jawab Syed Saddiq, lapor The Star.
Khabar angin mengenai hubungan rapat Syed Saddiq dan Bella tercetus selepas kedua-duanya dipilih sebagai duta bagi jenama pakaian terkenal.
Di luar kerjaya profesional mereka, kedua-duanya dilihat menghabiskan masa bersama, daripada menyelesaikan sesi penggambaran sehinggalah mendaki ke puncak Gunung Kinabalu di Sabah.
Bella pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz.
Pasangan itu menjadi tumpuan pada Mac 2024 apabila Aliff ditahan pihak berkuasa agama Malaysia kerana disyaki berkhalwat dengan aktres Malaysia, Ruhainies.
Kisah adanya percintaan antara Syed Saddiq dengan Bella mendapat tarikan selepas anak Bella, Ayden, memanggilnya “ayah” semasa lawatan ke Parlimen baru-baru ini, lapor Kosmo!.
Ramai yang tersentuh dengan klip TikTok yang menunjukkan Ayden teruja berlari ke ibunya dan memanggil Syed Saddiq sebagai “ayah”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg