Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) telah mengadakan pertunjukan fesyen di Pusat Reka Bentuk Nasional pada 22 Mei. Berita Harian (BH) mewawancara dua pelajar yang telah menghasilkan rekaan dengan tema menarik. Ikuti laporan berikut. 

Sebagai pelajar dalam bidang seni kreatif, Cik Nurkharina Mohammad Khairullah, sering memerhati apakah yang berlaku di sekelilingnya untuk dijadikan inspirasi bagi rekaannya.

Antara perkara yang kerap membuatnya tertanya-tanya adalah mengapakah generasi muda kini sering terpengaruh dengan trend dan gaya Barat yang dipaparkan di pelbagai wadah media sehingga kurang mengetahui tentang budaya mereka sendiri.

Justeru, tatkala berpeluang mereka koleksi pakaian untuk projek akhir tahun bagi Diploma Rekaan Fesyen daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), beliau ingin meneroka isu tersebut sambil memberi tumpuan kepada budaya yang ada di Asia Tenggara.

“Saya sering bertanya mengapa ada kalanya kita mengikut budaya Barat sehingga kurang menghargai budaya kita yang unik dan patut diwarisi oleh generasi muda,” kata Cik Nurkharina, 21 tahun, kepada Berita Harian (BH), semasa wawancara melalui Zoom.

Beliau merupakan antara 37 lulusan diploma dan sarjana muda daripada tiga jurusan berbeza di Nafa yang telah mempamerkan koleksi rekaan mereka di pertunjukan fesyen yang diadakan pada 22 Mei lalu di Pusat Reka Bentuk Nasional (NDC), di Middle Road.

Koleksi yang diberi nama, Unrooted: How Washed Histories Create Stolen Culture (Tidak Berakar: Bagaimana Sejarah Yang Pudar Cipta Budaya Yang Dicuri) terdiri daripada tiga rekaan moden hasil cetusan inspirasi daripada beberapa kaum etnik berbeza.

Ia termasuk masyarakat Melayu/Jawa, Orang Laut dan kaum Peranakan yang ada di rantau ini.

Dalam sebahagian daripada proses kajiannya, beliau turut mendapatkan bahan rujukan daripada Galeri Nasional Singapura dan bahagian arkib di Perpustakaan Negara.

Menyingkap proses menghasilkan rekaan itu, Cik Nurkharina berkata beliau ingin menggunakan kain batik lepas dalam rekaannya kerana fabrik itu sesuatu yang cukup simbolik bagi masyarakat Melayu/Jawa.

“Semasa membuat kajian dan bereksperimen, saya merenung kembali asal usul saya iaitu orang Melayu/Jawa. Kain batik lepas merupakan sesuatu yang sering disimpan oleh setiap keluarga.

“Ia digunakan untuk pelbagai majlis dan upacara termasuk apabila memandikan jenazah.

“Bagi mereka yang tidak tahu, mereka akan menganggap batik sebagai kain biasa dengan corak tradisional.

“Namun, ia mempunyai makna yang tersirat,” ceritanya yang menggunakan motif batik parang di bahagian blazer dan seluar.

Rekaannya turut mengambil inspirasi daripada beskap Jawa iaitu jaket formal yang sering dipakai kaum Adam di Indonesia.

Cik Nurkharina turut tertarik dengan pakaian harian Orang Laut.

“Saya mendapat tahu bahawa mereka sering menggunakan kain untuk membalut kepala sebagai cara melindungi diri mereka kerana terdedah kepada sinaran matahari.

“Ia memberi saya idea untuk menerapkan elemen penutup kepala dalam rekaan saya,” tambahnya yang meminati bidang fesyen selepas sering melihat arwah neneknya menjahit sewaktu kecil.

Sebagai pereka yang suka bermain dengan fabrik dan tekstur, beliau turut menggunakan teknik Cyanotype untuk mencetak beberapa gambar lama daripada majlis perkahwinan Peranakan ke atas fabrik campuran kapas dan bahan sintetik.

Cyanotype merujuk pada proses mencetak atau mewarna dengan menggabungkan kimia tertentu yang akan menghasilkan warna biru selepas melalui proses reaksi daripada sinaran matahari.

“Adat istiadat yang diadakan di majlis perkahwinan kaum Peranakan kini jarang diadakan lagi.

“Fabrik itu memberi satu gambaran bahawa ia salah satu tradisi daripada budaya Peranakan yang semakin pudar,” ujarnya.

Mengakui koleksi itu agak rencam dan mendapat sentuhan maksima, Cik Nurkharina bersyukur gabungan pelbagai fabrik dan tekstur dalam rekaannya mencipta satu hasil yang menyerlah.

Beliau berharap menerusi rekaannya, ia dapat menjadi satu wadah untuk berkongsi kepada orang ramai agar menghargai budaya yang ada di rantau ini dan bangga dengan identiti masing-masing.

“Bagi saya, ia tidak salah untuk mengambil inspirasi dan mengikut siluet Barat seperti blazer dan jaket yang digunakan dalam kehidupan harian apabila menghasilkan pakaian.

“Namun, kita tidak boleh melupakan tentang budaya kita yang harus dipelihara,” tambahnya.

“Di Nafa, kami menggalakkan pelajar menggunakan pengalaman peribadi dan perkara yang berlaku di sekeliling mereka bagi membantu menghasilkan karya mereka. Pertunjukan fesyen tahun ini (2026) mencerminkan generasi pereka yang peka terhadap isu sosial dan tidak gentar untuk meneroka identiti, budaya dan rasa jati diri melalui fesyen. Pereka seperti Nurkharina dan Noor Farah menunjukkan bagaimana fesyen boleh menjadi satu bentuk penceritaan yang bermakna sambil mengetengahkan perspektif tentang warisan, komuniti dan masyarakat moden melalui reka bentuk.”
Encik Anthony Tan, Dekan Bersekutu (Sekolah Pengajian Fesyen), Fakulti Seni dan Reka Bentuk, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).