Topik diikuti
Pergi ke BHkuRutin cuci, lipat baju cetus inspirasi koleksi pakaian wanita
Rutin cuci, lipat baju cetus inspirasi koleksi pakaian wanita
Rutin cuci, lipat baju cetus inspirasi koleksi pakaian wanita
Kegiatan mencuci dan melipat baju di rumah mungkin dianggap perkara biasa yang dilakukan oleh kaum Hawa.
Namun, bagi lulusan Diploma Rekaan Fesyen daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Cik Noor Farah Abdul Rashid, rutin harian itu menjadi inspirasi utama bagi koleksi pakaian wanita untuk projek akhir tahunnya.
“Minat saya bermula dengan melihat bagaimana pengalaman kaum Hawa dan sifat kewanitaan itu sering terbentuk dengan jangkaan masyarakat.
“Justeru, saya mendapat idea untuk mengupas tema kehidupan di rumah (domesticity) dan rutin harian seperti mencuci dan melipat baju melalui rekaan fesyen,” cerita Cik Noor Farah, 21 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Beliau bereksperimen dengan pelbagai siluet, tekstur dan struktur untuk menghasilkan tiga rekaan berbeza dalam koleksi yang diberi nama, The Raw Muse.
Menggunakan rona putih untuk melambangkan kesucian, Cik Noor Farah mahu menonjolkan dua sisi berbeza yang ada pada golongan wanita – mempunyai perwatakan lemah lembut namun, tetap kuat dan cekal mengharungi apa jua cabaran.
Berkongsi mengenai fabrik yang digunakan, beliau memilih fabrik batting yang sering digunakan dalam penghasilan sofa dan kusyen untuk memberi kesan rekaan lebih besar atau kembang.
Fabrik batting sering kali diperbuat daripada campuran bahan seperti kapas, poliester dan bulu biri-biri.
“Memandangkan saya memilih warna putih, saya harus bermain dengan siluet dan saiznya agar ia kelihatan menarik.
“Saya cuba untuk bereksperimen dengan fabrik itu untuk memberi struktur dan ciri kelembutan pada rekaan saya.
“Fabrik batting turut sesuai dengan tema kehidupan di rumah kerana ia sering digunakan dalam perabot,” jelas Cik Noor Farah, yang turut menitikberatkan ciri kesopanan dalam kesemua rekaannya.
Namun beliau mengakui terdapat cabaran menggunakan fabrik batting kerana ia agak tebal dan memerlukan kesabaran semasa menjahit.
“Kadangkala jarum mesin jahit tidak boleh tembus kerana fabrik itu jarang digunakan untuk membuat pakaian.
“Terdapat juga ketika apabila idea saya mungkin kelihatan sesuai namun tidak dapat direalisasikan jadi saya harus melakukan beberapa prototaip dahulu yang mengambil masa kira-kira sebulan,” ceritanya.
Cik Noor Farah merupakan antara 37 lulusan diploma dan sarjana muda daripada tiga jurusan berbeza di Nafa yang telah mempamerkan koleksi rekaan mereka di pertunjukan fesyen yang diadakan pada 22 Mei lalu di Pusat Reka Bentuk Nasional (NDC) yang terletak di Middle Road.
Beliau memasuki Nafa pada 2022 melalui Program Asas Nafa (NFP) dengan keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’.
NFP merupakan kursus yang membenarkan pelajar untuk mempelajari asas dalam bidang seni dan rekaan selama setahun sebelum mengikuti jurusan diploma yang diminati.
Cik Noor Farah berharap koleksinya dapat membuat orang ramai memahami terdapat perspektif yang berbeza terhadap ciri kewanitaan.
“Saya harap koleksi ini dapat menunjukkan bahawa pengalaman harian yang dilalui wanita di rumah turut bermakna,” ceritanya yang mula minat dalam bidang fesyen selepas menonton filem animasi anak patung Barbie sewaktu kecil.
Bergerak ke hadapan, Cik Noor Farah berharap dapat terus menghasilkan rekaan yang tertumpu pada tekstur dan siluet unik.
“Saya suka menggabungkan tekstil dan bermain dengan bentuk sesebuah pakaian sambil menerapkan ciri kesopanan melalui gaya yang kontemporari,” tambahnya.
