Renda tampil sebagai pilihan utama ke majlis, yang menggabungkan gaya romantik dan klasik dengan sentuhan moden yang berani.
Jenis kain yang lembut beralun dipadankan dengan potongan kemas, menghasilkan gaya dengan ciri kewanitaan yang malar segar dan versatil.
Manakala gaya yang mengambil inspirasi daripada generasi muda, Gen Z, memberi nafas baru yang tampak lebih ‘cool’ dan menonjol.
Padanan renda dengan aksesori yang tepat menjadikan gaya klasik renda mampu menyerlahkan identiti pemakainya, sambil menyatukan nostalgia dengan sentuhan moden, lapor majalah wanita, Her World.
Padanan renda dengan potongan gaun beropol mencipta gaya klasik ala era Victoria, manakala kontras warna cerah menonjolkan ciri kreatif gaya Inggeris, atau padanan renda dengan fabrik berbeza boleh menampilkan sentuhan gaya jalanan (streetwear) ala penyanyi Lily Allen.
Apa pun cara ia digayakan, renda umpama sebuah kanvas yang menghasilkan penampilan sopan namun tetap memikat untuk hujung tahun yang lazimnya dipenuhi dengan majlis dan acara.
Bosan menghadiri acara dengan penampilan biasa? Mari raikan penghujung tahun dengan gaya mewah, elegan, serta memukau.
Gaun bertingkat dan mewah dengan hiasan halus pada renda menjadikan penampilan sederhana tampak luar biasa, terutama apabila dipadankan dengan potongan kembang.
Fabrik biasa, apabila diberikan sentuhan renda – yang biasanya dalam tekstur berbeza atau sulaman halus – boleh mencipta gaya lebih menarik.
Kuncinya adalah memadankan ciri-ciri yang ada dengan bijak, seperti menggabungkan renda dengan gaun yang diperbuat daripada kain lembut seperti sutera atau satin; serta menggunakan rona warna pastel agar penampilan tampak menyerlah namun tetap sedap mata memandang.
Gaya sebegitu bukan hanya menyerlahkan kehalusan dan kesopanan si pemakai, malah ia turut mencipta penampilan memukau, dengan gabungan tekstur dan bentuk pakaian.
Gaun daripada jenama dalam talian Zalora ini merupakan contoh rekaan yang menggabungkan ciri tersebut – renda diserikan dengan sulam bunga pastel pelbagai warna pada fabrik lembut beralun, serta lengan ropol yang memberi kesan dramatik.
Ia mencerminkan keanggunan serta keberanian dalam penampilan, sesuai untuk acara atau majlis istimewa.
Bagi mereka yang gemar gaya minimalis yang elegan, renda tetap boleh diterapkan dalam penampilan.
Ini kerana kekuatan renda terletak pada kemampuannya menambah tekstur dan kehalusan pada pakaian, tanpa menjadikan penampilan terlalu sarat atau ‘serabut’.
Jenama fesyen asal Bangkok, Pomelo Fashion, menampilkan rekaan gaun berjalur halus serta corak minimal yang dihiasi dengan renda halus berwarna putih dan kolar.
Rekaan gaun ini menghasilkan aura yang kemas namun tetap anggun, sesuai untuk majlis santai mahupun rasmi.
Blaus bercorak renda yang dipadankan dengan seluar jean atau skirt hitam memberi gaya anggun tetapi berani – satu gabungan klasik dengan aura moden.
Padanan blaus renda berwarna terang dengan but tinggi ala grunge, serta tali pinggang kulit menjadikan renda yang biasanya dikaitkan dengan gaya anggun dan romantik, tampil dengan gaya rok yang segar.
Keindahan renda bukan hanya untuk baju sahaja, ia turut menjadi ciri utama dalam penggayaan seluar dan skirt.
Apabila diterapkan dalam rekaan seluar kulot berkaki lebar, palazzo atau skirt, renda mencipta kontras yang menawan.
Untuk gaya santai, padankan seluar renda putih dengan corak halus bersama blaus berukuran besar (oversized) atau kardigan berkait dengan warna gelap, bagi menghasilkan perbezaan tekstur yang menarik.
Kontras warna pada pakaian ini menonjolkan kehalusan dan keanggunan renda dengan lebih jelas.
Untuk gaya lebih anggun dan feminin, skirt renda boleh dipadankan dengan blaus daripada sutera atau satin, sesuai untuk majlis istimewa.
Padanan renda pada seluar atau skirt memastikan penampilan tampak sofistikated dan menarik perhatian.
Daya tarikan renda terletak pada gayanya yang versatil – daripada gaun panjang penuh mewah hingga kepada penampilan harian, renda sentiasa menambah sentuhan keanggunan untuk sebarang majlis atau acara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg