Lazimnya, golongan ibu memerlukan masa untuk memanjakan diri setelah letih mengurus hal rumah tangga dan anak.
Rupa-rupanya, golongan bapa juga tidak mahu terkecuali!
Malah, sekumpulan 11 bapa ini benar-benar mengambil serius peluang ‘me time’ (masa sendiri) tersebut dengan melakukan kegiatan lasak yang tidak digemari isteri mereka – memburu air terjun.
Setiap empat hingga enam bulan sekali, golongan bapa ini, yang menggelar kumpulan mereka ‘Kelab Ayer Terjun’, akan menuju ke Malaysia, meneroka air terjun baru sebelum kembali ke Singapura untuk menyambung rutin harian mereka – sama ada memenuhi tuntutan kerja ataupun menguruskan anak.
Sejauh ini, mereka telah menjejakkan kaki di lima air terjun dan mempunyai misi mahu mengunjungi air terjun di setiap negeri Malaysia.
“Kami cuba untuk pergi ke tempat yang isteri kami sendiri tidak teringin pun nak pergi,” kata Encik Mohammad Ridzuan Abdul Aziz, 44 tahun, seorang penganalisis keselamatan.
Menambah, Encik Mohamad Firdaus Hasbullah, 44 tahun, berkata:
“Kalau kami ajak ke tempat begini, tentu mereka kata ‘taknak ikutlah pergi tempat tersorok-sorok! Lagipun kami perlu memandu masuk hutan dan sebagainya yang dianggap agak lasak.”
Berkongsi bagaimana idea memburu air terjun di Semenanjung Malaysia bermula, Encik Firdaus, seorang pengurus akaun teknikal, berkongsi bahawa mereka asalnya terdiri daripada lima sekawan.
Beliau dan rakannya yang sudah rapat sejak zaman sekolah menengah lagi mahu mencuba makanan burger ‘Five Guys’, lantas merancang perjalanan sehari ke cawangan halal terdekat yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia.
“Isteri kami pun risau kerana kami sudah memandu jauh dan perlu patah balik pada hari itu juga jadi mereka pun tanya kenapa tidak kami bermalam di sana sahaja. Apa lagi, kami pun kesukaan kerana hmmm dapat ‘approval’ (kelulusan)!” kata Encik Firdaus sambil ketawa.
Memanfaatkan sepenuhnya ‘lampu hijau’ yang diberikan isteri mereka, kumpulan bapa ini kemudian menganjurkan percutian kaum Adam atau ‘boys trip’ secara tetap, melakukan kegiatan lasak seperti ‘hiking’ dan memburu air terjun di samping menjamu makanan tempatan.
Lazimnya, percutian mereka diadakan pada hujung minggu supaya tidak terlalu mengganggu rutin harian di rumah.
Berkongsi tentang air terjun pertama yang dikunjungi mereka pada Ogos 2024, Encik Firdaus berkata mereka berdepan dengan kekecewaan setelah mendapat tahu air terjun di Kota Tinggi itu sudah tutup.
Namun tidak putus asa, mereka meneroka air terjun seterusnya di Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, Johor.
Air terjun lain yang kemudian diteroka mereka ialah Kanching di Rawang, Selangor, pada Januari 2025.
Pada Julai 2025, mereka ke Takah Pengkoi di Bekok, Johor, setelah mendapat tahu air terjun di Sungai Pandan, Pahang tutup.
Walaupun rancangan perlu berubah pada saat terakhir, Encik Firdaus akur bahawa ini lumrah pengembaraan dan bersyukur rakan sebaya lelaki lain turut bersikap santai.
Ditanya apa keistimewaan air terjun, Encik Firdaus, bapa dua anak berkata:
“Perasaan berendam dalam air terjun menenangkan fikiran. Lagipun airnya semula jadi dan apabila air gunung itu jatuh di badan anda rasa sangat tenang kerana ia ibarat tubuh anda diurut.”
Melebihi itu, Encik Firdaus berkata kegiatan sihat sebegini memberi mereka peluang untuk merapatkan semula hubungan mereka sebagai sahabat setelah sekian lama sibuk mengurus kehidupan masing-masing sejak sudah berkeluarga.
Menyentuh tentang kepentingan kaum bapa menjaga kesejahteraan diri, Encik Ridzuan, bapa dua anak, berkata:
“Kesihatan mental itu sebenarnya penting dalam zaman sekarang terutamanya apabila kita sedang mengimbangi tanggungjawab di tempat kerja dan keluarga. Jika kesihatan mental kita baik, urusan lain mudah ditangani.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg