Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Golongan milenial selesa melancong dengan anggota keluarga pelbagai generasi

Perjalanan dan percutian keluarga kini ditumpukan untuk cipta pengalaman bersama yang dapat rapatkan hubungan keluarga
Oct 26, 2025 | 5:30 AM
Antara destinasi yang dilawati Rabiatul Ilyana Mohd Idros bersama keluarganya adalah ke Melbourne, Australia, pada 2023. Mereka bergambar di salah satu tarikan popular di sana, iaitu The Great Ocean Road.
Antara destinasi yang dilawati Rabiatul Ilyana Mohd Idros bersama keluarganya adalah ke Melbourne, Australia, pada 2023. Mereka bergambar di salah satu tarikan popular di sana, iaitu The Great Ocean Road. - Foto ihsan RABIATUL ILYANA MOHD IDROS

Melancong bersama keluarga adalah satu perkara biasa bagi kebanyakan orang.

Namun, banyak perkara perlu difikirkan, terutama sekali jika melancong dengan anak kecil serta warga emas.

Antara perkara yang perlu dirancang sudah tentunya menempah tiket penerbangan, tempat penginapan dan kereta sewa.

Bagi Cik Rabiatul Ilyana Mohd Idros, perkara itu sudah menjadi kebiasaan untuknya dan suami.

Ini memandangkan mereka berdua sering melancong bersama kedua-dua ibu bapa mereka sejak berkahwin sembilan tahun lalu, pada 2016.

“Pada awal perkahwinan kami, saya dan suami telah berjanji untuk membawa ibu bapa kami melancong.

“Pertama kali kami melancong sekeluarga setelah berkahwin adalah bersama ibu bapa mentua saya pada 2017 dan membawa mereka ke Italy dan Perancis,” kata pengurus komunikasi itu kepada Berita Minggu (BM).

Niat Cik Ilyana dan suaminya, Encik Muhammad Sharizal Hassan, kedua-duanya 37 tahun, untuk membawa ibu bapa mereka, yang berusia lewat 60-an dan awal 70-an tahun, melancong tercetus kerana kedua-duanya kehilangan adik-beradik mereka.

“Kesedihan yang dilalui keluarga kami meninggalkan kesan yang mendalam. Disebabkan itulah kami memutuskan untuk membawa ibu bapa kami melancong ke luar negara, sebagai satu cara untuk meluangkan masa bersama mereka dan secara tidak langsung, membalas jasa mereka kerana membesarkan kami,” kata ibu dua anak lelaki itu.

Menurut Cik Ilyana, selain ke Italy dan Perancis, beliau dan suami juga telah ke Sepanyol dan Maghribi pada 2018, iaitu tahun berikutnya, bersama ibu bapanya sendiri.

Apa yang membuat percutian itu lebih istimewa adalah ia dibuat hampir setahun selepas beliau melahirkan anak sulungnya, Eylhaan Yusuf, yang ketika itu berusia 11 bulan.

Pada tahun berikutnya, mereka membawa ibu bapa mentuanya pula ke Phuket.

Namun, percutian tahunan mereka sekeluarga terpaksa dihentikan semasa Covid-19 melanda.

Pada 2024, beberapa bulan selepas melahirkan anaknya yang kedua, Ilhaam Fatih, beliau dan suami bercuti bersama ibu bapanya dan anak sulungnya ke Korea Selatan.

“Kami biasanya merancang percutian ini bergilir-gilir bagi kedua-dua ibu bapa kami. Contohnya, tahun ini kami membawa ibu bapa suami saya, jadi tahun seterusnya kami membawa ibu bapa saya pula,” ujarnya.

Cik Ilyana tidak mahu mendedahkan anggaran kos yang dibelanjakan untuk percutian bersama keluarganya, tetapi berkata beliau dan suami akan membelanjakan wang bagi tiket penerbangan, tempat penginapan, tiket ke tempat tarikan dan juga jika perlu menempah kereta sewa.

“Ibu bapa kami biasanya akan membelanja makan sewaktu kami bercuti, walaupun kami tidak mengharapkannya,” kata beliau sambil ketawa kecil.

Cik Ilyana menambah: 

“Bagi percutian bersama ibu bapa dan anak-anak, kami lebih suka menyewa apartmen daripada menginap di hotel, kerana adalah lebih mudah untuk mengumpulkan semua anggota keluarga di satu tempat, berbanding di hotel di mana ada kemungkinan mendapat bilik yang bukan bersebelahan.”

Dengan menginap di apartmen juga, Cil Ilyana menjelaskan mereka dapat meluangkan lebih banyak masa bersama sebagai sebuah keluarga dan antara perkara yang dihargainya adalah apabila mereka memasak bersama setelah seharian keluar berjalan-jalan.

“Kedua-dua ibu dan juga ibu mentua gemar pergi ke pasar tempatan dan berbelanja apabila kami melancong. Jadi dengan bahan yang dibeli, kami akan memasak hidangan yang mudah dan secara tidak langsung, dapat meluangkan masa bersama,” katanya.

Ditanya bagaimanakah beliau dan suami mengimbangi keperluan semua anggota keluarga ketika melancong, Cik Ilyana berkata mereka perlu mengambil kira keadaan kesihatan dan stamina ibu bapa mereka, memandangkan bapa mertuanya pernah menjalani pembedahan pada bahagian belakang badannya.

“Ini sangat penting supaya mereka tidak berasa penat, kerana pada akhirnya kita bercuti untuk merehatkan diri,” ujarnya.

Cik Ilyana menekankan untuk percutian pelbagai generasi sebegini, perancangan awal yang teliti amat penting.

“Biasanya, saya dan suami akan mula membuat perancangan kira-kira enam bulan lebih awal dengan menempah tiket penerbangan dan kemudian tempat penginapan setelah menetapkan destinasi yang ingin dituju,” jelasnya, yang akan menghabiskan sekitar 10 hari bagi percutian jarak jauh dan kira-kira seminggu bagi percutian di negara jiran.

Beliau berkata bagi percutian jarak jauh, mereka suami isteri lebih suka menempah penerbangan yang mempunyai ‘transit’ di satu bandar dan menghabiskan kira-kira dua hari di sana.

Kebiasaannya mereka akan menaiki pesawat syarikat penerbangan Emirates yang akan membuat perhentian di Dubai.

Dengan cara itu, Cik Ilyana, yang akan bercuti ke Thailand pada Disember ini bersama keluarga mentuanya, berkata ia membolehkan ibu bapa mereka untuk berehat seketika tanpa ada kegiatan dirancang.

Menurut tinjauan trend perjalanan laman Skycanner, percutian antara generasi semakin popular, dengan lebih ramai melakukan percutian dengan tiga generasi, iaitu datuk dan nenek, ibu bapa dan anak-anak.

Sebanyak 28 peratus pelancong daripada golongan milenial di Singapura pernah melancong ke luar negara bersama ibu bapa dan anak mereka dalam tempoh dua tahun lalu.

Data itu juga menunjukkan 62 peratus pelancong daripada golongan ini juga melihat percutian sebegini sebagai satu cara membuat kenangan baru bersama keluarga mereka, manakala  50 peratus melakukan percutian sebegini untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada ibu bapa serta datuk dan nenek mereka.

Mengulas trend tersebut, Cik Cindy Hui, Pakar Destinasi dan Trend Perjalanan Skyscanner, berkata terdapat peralihan yang menyaksikan perjalanan dan percutian keluarga kini ditumpukan untuk mencipta pengalaman bersama yang dapat merapatkan hubungan keluarga.

“Ia melangkaui manfaat yang didapati daripada perkongsian kos antara anggota keluarga,” katanya.

Cik Ilyana turut menasihati pelancong yang ingin melakukan percutian sebegini supaya bersikap fleksibel.

“Tidak mengapa jika tidak mengikut perancangan awal, kerana yang penting adalah keselesaan mereka.

“Melihat perasaan gembira ibu bapa serta anak-anak, itu yang paling membuat saya dan suami puas hati dan senang untuk membuat percutian bersama mereka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg