OLEH NAOMI ZOUWER, ANN HILL, BETHANEY TURNER
Cuti sekolah kadangkala boleh menjadi tempoh mencabar bagi keluarga, khususnya apabila keterujaan beberapa hari pertama mula pudar dan anak mula mengadu mereka bosan dan enggan bermain di luar.
Beberapa penyelidik dalam bidang kemanusiaan alam sekitar dengan tumpuan kepada pendidikan dan seni visual telah meneliti manfaat menghasilkan karya seni menggunakan cuaca sebagai penentu.
Sebagai contoh, cuaca berbeza akan menentukan cara kanak-kanak menghasilkan karya seni tersebut.
Jika cuaca panas, kanak-kanak boleh menyurih garis (trace) bentuk bayang-bayang sesuatu, dan jika cuaca mendung, mereka boleh melukis awan di langit.
Kegiatan bermain seperti ini bukan sahaja boleh menghiburkan kanak-kanak pelbagai peringkat umur, malah menyokong kreativiti mereka dan mengeratkan hubungan mereka dengan dunia di sekeliling.
Kajian kami menunjukkan bagaimana kegiatan demikian dapat meningkatkan kefahaman kanak-kanak tentang alam semula jadi, serta membentuk mereka menjadi warganegara yang lebih peka terhadap alam sekitar.
Menghasilkan karya seni berdasarkan keadaan cuaca ialah pengalaman pelbagai deria lapisan deria yang membolehkan kanak-kanak menyelami persekitaran setempat.
Kegiatan yang kami bakal cadangkan boleh menghasilkan karya seni yang menarik dan tidak dijangka, sekali gus menggalakkan kanak-kanak agar memberi perhatian kepada apa yang berlaku di sekeliling mereka.
1. Jika hari mendung
Cari tempat yang selesa di luar, baring dan letakkan sekeping kertas bersaiz A4 di atas perut. Dengan pensel atau pena, lukis awan yang bergerak di langit.
Teknik ini membantu kanak-kanak melukis apa yang mereka lihat, bukan apa yang mereka bayangkan, serta meningkatkan koordinasi antara tangan dengan mata.
2. Jika hari berangin dan hujan
Gunakan cat air untuk melukis pemandangan atau landskap. Biarkan kertas itu di luar dan dibasahi hujan serta ditiup angin.
Selepas kertas kering, sambung semula lukisan itu. Ini akan memberi kesan berbeza setelah kertas itu dikotori disebabkan terkena air hujan dan tanah liat.
3. Jika hari panas dan cerah
Cari bayang-bayang unik yang terhasil daripada pokok atau tumbuhan. Letakkan kertas di bawah bayang tersebut dan menyurih garis bentuk bayang-bayang itu.
Kegiatan itu mendedahkan bentuk daun, kelopak bunga, atau dahan, sambil membantu mengasah kemahiran kanak-kanak untuk memerhatikan persekitaran mereka.
4. Jika hari tenang tanpa angin
Suruh kanak-kanak pejam mata dan lukis apa yang mereka dengar.
Atau mereka boleh letakkan kertas di atas sesuatu seperti batu dan gosok pensel di atas kertas untuk menghasilkan lukisan bertekstur.
5. Pada bila-bila sahaja
Hasilkan ‘lukisan’ di atas tanah menggunakan ranting, daun, bulu, batu, atau apa sahaja yang boleh ditemui di luar.
Tujuannya ialah menggunakan bahan semula jadi yang sedia ada di alam sekitar, membuka ruang bagi kanak-kanak memerhati haiwan kecil seperti serangga tersembunyi, serta pentingnya melindungi habitat mereka.
Jadi, pada cuti sekolah ini, biarkan kanak-kanak berseronok menghasilkan seni, sambil meneroka bagaimana ia dapat membangunkan rasa kagum, ingin tahu dan kepekaan terhadap dunia kita.
Naomi Zouwer ialah Seniman Visual dan Pensyarah dalam bidang Pendidikan Guru di Universiti Canberra, Australia; Ann Hill ialah Pensyarah Kanan bagi Fakulti Pendidikan di Universiti Canberra, Australia; dan Bethaney Turner ialah Profesor Madya bagi Pusat Penyelidikan Kreatif dan Budaya, Fakulti Seni dan Reka Bentuk di Universiti Canberra, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg