Sempena ulang tahun Singapura yang ke-60, Legoland Malaysia telah memberikan ‘hadiah’ istimewa berbentuk sentuhan baru kepada ruang MINILAND Singapore, di mana mercu tanda ikonik negara ini dibina secara terperinci menggunakan batu Lego.
Dilancarkan pada 1 Ogos, tarikan seluas 240 meter persegi itu diperbuat daripada 1.5 juta batu Lego, menampilkan mercu tanda ikonik seperti Marina Bay Sands, Singapore Flyer, Merlion dan Gardens by the Bay dalam versi mini.
Pertama kali dibuka pada 2012, ruang MINILAND Singapore telah diubah menjadi lebih bertenaga dan interaktif, hasil usaha binaan selama lebih 16,000 jam.
Kini ia mempamerkan 16 model besar, 10 bot, 80 kenderaan dan lebih 100 adegan kompleks yang dihidupkan lebih 1,600 figura Lego kecil menyerupai manusia.
Bangunan Marina Bay Sands berdiri megah setinggi 4 meter, manakala roda Singapore Flyer setinggi 3.4 meter boleh berpusing.
Binaan ini juga lengkap dengan persembahan kebudayaan mini dengan adegan perayaan yang mengelilinginya.
Suasana riuh di bandar Singapura turut dihidupkan dengan figura Lego dilihat antaranya makan bersama keluarga, bersiar-siar dan menaiki bot.
Antara elemen interaktif yang diterapkan di ruang itu juga boleh dilihat menerusi mercu tanda Merlion di mana pengunjung boleh memancutkan air dari mulut Merlion hanya dengan menekan butang.
Pengunjung juga boleh melibatkan diri dalam permainan interaktif ‘One-Table-Left Race’ di mana mereka boleh mengawal dua keluarga Lego yang berlumba untuk melalui festival makanan supaya berjaya mendapat meja terakhir, lantas mencerminkan bagaimana makanan membentuk sebahagian penting budaya Singapura.
Tarikan Cloud Forest dan Flower Dome di Gardens by The Bay tidak terkecuali malah dipaparkan bersama aliran air terjun, suasana kabus dan kehijauan subur.
Bagi meraikan ulang tahun Singapura, Legoland Malaysia Resort mengeluarkan tawaran khas buat penduduk Singapura, yang membolehkan mereka menjimatkan $60 jika membeli tiga atau lebih Pas Tahunan Triple Park, yang memberikan akses kepada SEA LIFE, taman air dan taman tema Legoland Malaysia.
Pemegang pas tersebut dapat menikmati kunjungan tanpa had ke semua tiga taman itu, termasuk MINILAND Singapore yang baru dilancarkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg