SHANGHAI: Ribuan pelancong tempatan membanjiri Legoland pertama China apabila ia membuka pintunya di Shanghai pada 5 Julai.
Legoland itu merupakan taman bertema terkini yang berharap dapat memanfaatkan peningkatan pelancongan domestik.
Cawangan China bagi francais taman tema milik British itu merupakan Legoland terbesar di dunia.
Ia menarik pelanggan awal yang berpusu-pusu ke tarikan yang ditawarkan termasuk permainan kereta api kecil dan rollercoaster bertema naga.
Meskipun pertumbuhan ekonomi China agak lembab dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan pelancong domestik naik 18.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu, menurut perangkaan.
Peminat Lego meluru masuk ke taman tersebut sebaik sahaja ia dibuka, mengenakan baju bertema dan mengibarkan bendera berjenama sedang mereka menikmati pekarangan seluas 318,000 meter persegi itu dalam cuaca terik.
Beijing telah mengumumkan subsidi yang bertujuan menjadikan pelancongan dalam negara tersebut lebih dimampui bagi warganegara China, dan sedang menggesa pemerintah tempatan agar giat memasarkan tarikan mereka di media sosial.
Syarikat-syarikat telah mengambil kira peningkatan pelancongan tempatan yang lebih luas dan mempertingkat rancangan mereka di China.
Tarikan Spider-Man baru di Disneyland Shanghai mula pembinaan pada Mei, manakala Warner Brothers bersedia menyediakan pengalaman Harry Potter di Shanghai menjelang 2027.
Gergasi mainan Hasbro berkata sebelum ini bahawa taman Peppa Pig besar di bandar itu kini “dalam fasa reka bentuk kreatif”.
Pembuat mainan koleksi China Pop Mart juga telah membuka tarikan di Beijing yang menampilkan versi bersaiz sebenar mainan Labubu yang popular.
Namun keuntungan kekal menjadi masalah, terutamanya buat syarikat tempatan yang kurang pengiktirafan jenama.
Sehingga akhir 2024, kira-kira 40 peratus taman masih gagal memperoleh keuntungan, menurut laporan media negara.
Bagaimanapun penganalisis berkata peningkatan bilangan pesara dan perubahan pasaran pekerjaan sebagai faktor utama yang mendorong lebih ramai penduduk tempatan melawat tarikan domestik.
“Pasaran buruh berubah menjadi lebih fleksibel,” kata penganalisis pengguna China di Gavekal Research, Cik Ernan Cui.
“Lebih ramai orang ada masa lapang untuk mengembara.” - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg