Topik diikuti
Pergi ke BHkuHadiah pilihan hati para pendidik sempena Hari Guru
Nota tulisan tangan, kad penghargaan antara hadiah paling bermakna bagi guru
Hari Guru bakal tiba tidak lama lagi pada 4 September.
Biasanya, pelajar akan memberi hadiah kecil kepada guru sebagai tanda terima kasih di atas tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang diberikan sejak awal tahun.
Guru sememangnya menghargai setiap pemberian dan menerimanya dengan hati terbuka.
Namun, apakah sebenarnya yang mereka mahukan pada hari istimewa itu?
Dunia Anak (DNA) bertanya kepada beberapa pendidik (nama guru dirahsiakan, bagi menggalakkan jawapan paling jujur), tentang hadiah paling bermakna buat mereka.
Antara hadiah yang paling guru suka ialah nota atau kad yang ditulis sendiri oleh pelajar atau ibu bapa.
Seorang guru sekolah menengah berkata: “Saya suka menerima nota yang mengandungi ungkapan ikhlas tentang bagaimana seorang guru itu memberi kesan terhadap kehidupan murid tersebut.
“Inilah hadiah yang paling kami hargai, simpan dan ingati.”
Seorang lagi guru sekolah rendah berkata: “Sesetengah guru akan mempamerkan nota dan kad ini di meja kerja mereka kerana ia sentiasa mengingatkan mereka tentang tujuan dan sebab mereka terus berusaha setiap hari.”
Hadiah seterusnya yang guru hargai ialah makanan, kerana ia tidak ‘berlonggok’.
“Kalau kita dapat makanan, kita makan, dan ia habis.
“Ia sesuatu yang berguna dan tidak menambah kepada timbunan barang sedia ada,” kata seorang guru sekolah rendah.
Makanan ini sebaik-baiknya yang dibungkus satu per satu, atau makanan yang boleh disimpan untuk tempoh lebih lama seperti kudapan.
Pencuci mulut yang perlu dinikmati segera juga disukai, seperti aiskrim, kek dan makaron.
Beberapa guru, di prasekolah dan sekolah rendah, pula berkata antara hadiah paling bermakna dan mendatangkan kesan adalah testimoni daripada ibu bapa yang dikirimkan langsung kepada pengetua sekolah melalui e-mel.
“Hadiah yang bermakna bagi saya ialah nota penghargaan yang mengucapkan terima kasih kepada guru dengan menyebut namanya secara khusus, tetapi ditujukan kepada pengetua.
“Kami bukan mahu menunjuk-nunjuk atau mengejar pengiktirafan.
“Cuma, kebanyakan masanya, pengetua tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik darjah atau bagaimana kami membantu murid-murid tertentu.
“Apabila pihak sekolah mengetahui bahawa ibu bapa menghargai usaha yang kami lakukan untuk anak-anak mereka, ia memberikan perasaan yang baik.
“Sekurang-kurangnya kami rasa usaha kami dihargai,” katanya.
Hadiah lain yang dihargai adalah barangan yang dibuat sendiri, termasuk biskut, asalkan ianya halal.
Seorang guru prasekolah pula menghargai kad hadiah seperti daripada pasar raya, kafe atau kedai buku.
“Kalau saya mendapat kad hadiah, saya boleh membeli apa yang saya suka atau mahukan,” katanya.
Botol air juga antara hadiah yang dihargai bagi guru gunakan untuk melegakan kehausan setelah mengajar.
Seorang guru prasekolah pula berkata ibu bapa mungkin boleh membelikan tali untuk menggantung telefon pintar di badan atau handphone sling strap.
“Kami banyak mengambil gambar murid-murid semasa kelas untuk dokumentasi. Dengan adanya tali ini, mudah untuk kami membawa telefon kami ke mana-mana,” katanya.
Guru turut menghargai barangan yang diberi sentuhan peribadi seperti penanda buku, pena, sejadah, buku nota atau botol air yang dihiasi nama guru tersebut.
Seorang guru sekolah rendah pula berkata beliau suka menerima alat tulis seperti pena, pengokot atau stapler, pen penanda untuk papan putih atau whiteboard marker, dan kertas ‘post-it’.
“Ia barangan yang selalu diperlukan.
“Dalam bilik guru, mesti ada sahaja yang nak pinjam pengokot dan pen penanda papan putih,” katanya.
Seorang pengetua prasekolah pula berkata antara barangan berguna yang boleh diberikan ialah pensanitasi tangan.
“Guru sentiasa memerlukan pensanitasi tangan kerana mereka memang selalu menggunakannya.
“Pensanitasi tangan yang ibu bapa berikan selalunya berbau lebih wangi daripada yang disediakan di sekolah,” katanya.
“Namun, hadiah terbaik yang pernah saya terima sebagai seorang guru ialah sekotak koyok Salonpas!” seloroh pengetua itu.
“
“Saya suka menerima nota yang mengandungi ungkapan ikhlas tentang bagaimana seorang guru itu memberi kesan terhadap kehidupan murid tersebut. Inilah hadiah yang paling kami hargai, simpan dan ingati.”“
“Kalau kita dapat makanan, kita makan, dan ia habis. Ia sesuatu yang berguna dan tidak menambah kepada timbunan barang sedia ada.”
