Topik diikuti
Pergi ke BHkuJual hasil tangan sendiri, peniaga cilik timba pengalaman kendali reruai
Dari layan pelanggan hingga urus jualan, kanak-kanak didedah kepada cabaran dunia keusahawanan
Cik Nur Hakimah Johari sudah biasa mendedahkan anak tunggalnya kepada dunia perniagaan.
Apabila beliau menjual bahan pembelajaran seperti kad imbas dan aksesori seperti kerongsang di reruai pesta buku, anaknya membantu untuk mengimbas kod bar dan memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg.
Maka, tidak hairanlah apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu menyuarakan hasrat mengendalikan reruainya sendiri setelah beberapa kali ikut berniaga.
Cik Nur Hakimah, 35 tahun, pun mendaftarkan anaknya, Hana Insyirah Ibrahim, untuk mengendalikan reruai sendiri, khas untuk kanak-kanak, di pesta buku Kids BookFest 5.0 yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 25 Julai.
Di acara anjuran penerbit tempatan The Safaa Safiyyah Publication itu, Hana Insyirah menjual lebih 50 barangan origami seperti permainan chatterbox dan penanda buku sudut, atau corner bookmark.
Dia turut menjual rantai kunci tiga dimensi (3D).
Kesemua barangan tersebut dibuat sendiri oleh kanak-kanak itu dan ibunya.
“Sebenarnya saya agak khuatir tentang bagaimana Hana akan menjual dan mempromosikan barangannya.
“Tetapi memandangkan ini adalah keputusan yang dia buat sendiri, saya pun menyokongnya dan menggalakkannya melakukan yang terbaik,” kata Cik Nur Hakimah, yang bekerja sebagai pegawai bersekutu operasi.
“Saya pun berulang kali mengingatkan Hana bahawa dia bertanggungjawab ke atas reruainya sendiri, dan tidak boleh bermain atau mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan di pesta buku itu seperti yang dia biasa lakukan,” tambahnya yang turut mengendalikan perniagaan dalam talian KimyJoe.
Namun Cik Nur Hakimah berkata beliau terkejut melihat anaknya mampu berdikari dengan baik, malah tidak mahu beliau ada di reruai, kerana mahu melakukan semuanya sendiri.
“Di reruai, saya melayan pelanggan, menerima bayaran dan memulangkan baki wang kepada pelanggan.
“Jika pelanggan tidak cukup duit kecil, saya menawarkan pembayaran melalui kod QR PayNow,” kata Hana, murid Darjah 2 di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.
“Saya juga membungkus produk yang dibeli, memberi pelekat percuma bagi setiap pembelian, dan menyerahkan barangan kepada pelanggan dalam bungkusan yang kemas.
“Selepas itu, saya menambah stok pada rak yang telah kosong,” tambah kanak-kanak itu.
Setelah berniaga selama lima jam, Hana berjaya menjual sekitar 70 peratus produknya dan mencatat penjualan sekitar $150.
Namun, melangkaui penjualan memberangsangkan itu, Cik Nur Hakimah berkata beliau kagum melihat anaknya begitu komited mengendalikan reruainya, dan nampak lebih yakin dalam menerangkan produk serta kerja tangannya kepada pelanggan.
“Saya berharap pengalaman berniaga ini membuatnya lebih bertanggungjawab, berdikari dan yakin dalam melakukan apapun tugas, sama ada di pesta buku atau dalam usaha lain,” kata Cik Nur Hakimah.
Bagi seorang lagi ibu, Cik Nur Izzati Ishak, beliau mendedahkan anaknya yang berumur enam tahun kepada dunia perniagaan untuk memberinya peluang meneroka kegiatan baharu, dan mengenal pasti minatnya.
Anaknya, Nur Iman Ilyana Muhammad Imran, menjual rantai kunci, sabun dan lilin jeli yang dibuat sendiri di reruai yang dikendali bersama saudaranya, Nur Adawiyah Ruqayyah Muhammad Syafiq, tujuh tahun, di acara pesta buku yang sama.
Apabila beliau mula-mula menyarankan idea membuka reruai itu, Cik Nur Izzati, 33 tahun, berkata anaknya tidak begitu berminat kerana tidak pasti apa yang boleh dijangkakan daripada pengalaman tersebut.
“Untuk menggalakkannya, saya menjelaskan bahawa ia merupakan projek yang menyeronokkan dan mencadangkan agar sepupunya turut serta.
“Saya juga meyakinkannya tentang bakat kreatif semula jadi yang dimilikinya serta memberitahunya bahawa hasil kerjanya pasti dihargai orang lain.
“Wang yang diperoleh pula boleh digunakan untuk membeli sesuatu yang diinginkannya atau disumbangkan kepada masjid tempat sekolahnya,” kata ahli teknologi makmal perubatan itu.
Cik Nur Izzati berharap pengalaman berniaga itu dapat memupuk sikap daya tahan, keyakinan diri dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri anaknya dan anak saudaranya.
Menurutnya, pengalaman berdepan dengan penolakan pelanggan atau tempoh jualan yang lembap juga dapat mengajar kedua-duanya supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.
“Apabila jualan mula perlahan pada jam terakhir acara dan mereka mula berasa letih serta gelisah, mereka sendiri mencari cara untuk mengatasinya.
“Mereka memutuskan untuk berjalan di sekitar lokasi bagi mempromosikan produk mereka secara aktif kepada pengunjung,” kata Cik Nur Izzati.
“Apabila usaha tersebut berjaya menarik pembeli dan menghasilkan gelombang jualan pada saat-saat akhir, mereka mempelajari satu pengajaran yang sangat berharga iaitu tentang pentingnya untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa walaupun ketika jualan sedang lembap,” tambahnya.
Bagi ibu tiga anak, Cik Terry Fontine, beliau menggalakkan anak bongsunya yang berumur enam tahun untuk terlibat dalam setiap aspek penghasilan dan penjualan barangan yang dibuat sendiri, seperti magnet kanvas dan tulisan kaligrafi di atas kanvas.
Si cilik yang bernama Khawla Alina Attyarahman itu turut diberi tugas membeli bahan yang diperlukan seperti kanvas, berus, cat dan pena kaligrafi.
“Anak saya memang gemar menghasilkan pelbagai barangan dan saya dapat melihat potensi serta bakat seni yang ada dalam dirinya.
“Bagi saya, pendedahan pada usia muda dapat memberi dia pengetahuan yang luas tentang dunia perniagaan, termasuk cara menguruskan pengeluaran produk dan pembahagian tugas,” kata Cik Terry, 40 tahun.
“Selepas acara, dia belajar mengira modal dan keuntungan, jadi ini adalah peluang untuk dia belajar matematik dalam dunia sebenar juga,” tambah suri rumah yang juga mengendalikan perniagaan dalam talian, Attyarahman.
